Sunday, June 17, 2007

eMay ( siRi 9 )

Alhamdulillah, sehingga pagi Sabtu jumlah sumbangan untuk eMay telahpun melepasi tahap sasaran dan kini jumlahnya telah terkumpul sebanyak RM1,780 yang telah di sumbangkan oleh 7 orang penyumbang. Ini tidak termasuk sumbangan yang telah diterima dari penyumbang luar negara berjumlah RM1,090 ( sumbangan melalui wire transfer ) untuk sumbangan baju kurung baru bagi 25 orang anak-anak yatim tersebut. Kesemua penyumbang-penyumbang ini terdiri dari BUDIMAN dan saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih dengan sumbangan tersebut. Merealisasikan impian untuk eMay ini semakin hampir menjadi kenyataan, insyaallah. Walaubagaimanapun sumbangan-sumbangan yang lain dijangka akan terus diterima kerana beberapa kawan-kawan BUDIMAN seperti Fatimah/Mohideen dan Antu sedang mengusahakan kutipan dari beberapa sumber lain lagi.

Menjawab beberapa komen dan kenyataan seperti dari beberapa Anonymous dan Meg ( ruangan chatbox GTG) yang tidak berpuashati dengan tindakan saya menganjurkan dan meminta sumbangan derma untuk anak-anak yatim ini, saya terima dengan hati yang terbuka. Tujuan saya mengadakan blog ini selain dari tujuan untuk mengembalikan silatulrahim antara kawan-kawan semasa di Uitm dulu sememangnya untuk mengajak kawan-kawan semua membuat seberapa banyak amal kebajikan seperti ini. Pada saya dari kita hanya mengembalikan silatulrahim tanpa sebarang aktiviti yang bermanfaat, adalah lebih baik halatuju kita difokuskan dalam bersilatulrahim sambil membuat kebajikan.

Pada saya tak payah lah kita nak tunggu Meg jadi YB baru kita nak bersedekah. Saya sendiri sebelum ini pun dah lama membuat kerja-kerja kebajikan sebegini sebelum BUDIMAN ditubuhkan lagi. Begitu juga beberapa kawan-kawan yang lain seperti Bilal. Bila adanya BUDIMAN saya rasakan elok kerja-kerja kebajikan begini dipanjangkan pula disini selain dari apa yang saya buat bersama-sama kawan-kawan korporat saya yang lain. Pada saya inilah contoh teladan yang baik yang seharusnya ditinggalkan kepada anak-anak cucu kita sebagai mengenang kita semua apabila kita semua telah tiada nanti bahawa kita semua suka dan selalu beramal kebajikan di masa hidup kita.

Saya juga tidak mencari nama dalam membuat amal kebajikan sebegini. Saya tidak memasuki mana-mana parti politik dan setakat ini tidak berminat lagi untuk menyertai atau mencampuri bidang tersebut. Kegiatan kebajikan yang saya anjurkan ini tidak ada kaitan samada untuk mempopularkan diri atau BUDIMAN. Itu sebabnya bila saya anjurkan sebarang kegiatan amal, pada saya lebih suka jika ianya dijalankan antara kita sahaja, dengan kutipan dan sumbangan daripada kita sahaja ahli BUDIMAN, mana yang termampu oleh kita. Kalau kita lihat kerja amal yang kita buat, ianya tidak memerlukan peruntukan kewangan yang banyak sangat pun. Sebenarnya kalau kita bersatu hati, sikit seorang, jumlah yang terkumpul menjadi banyak.

Saya juga tidak mengheboh-hebohkan kegiatan amal yang kita jalankan. Bukan tujuan mencari publisiti. Kalau nak ikutkan, saya juga ada kenalan seperti Newscaster NTV7 dan Astro, teman rapat saya, tapi sepanjang kerja amal yang saya buat saya tak pernah melibatkan mereka semua mahupun kegiatan amal yang saya jalankan bersama kawan-kawan korporat saya. Pada saya dan kawan-kawan saya, biarlah takde siapa yang tahu sumbangan kecil kami semua, kerana niat kami ikhlas membantu mana yang termampu. Ada satu kisah di mana kami buat satu majlis amal di mana ada YB dari UMNO dan wakil dari PAS nak join kami untuk tumpang publisiti dimana saya dan rakan-rakan korporat saya halau mereka macam tu je suroh balik, ADUN kena halau, sebab kami bukan cari publisiti dan tidak perlukan mana-mana parti politik untuk buat kerja amal.

Saya ni pun bukan manusia yang alim dan baik pun. Pada saya inilah jalan terbaik untuk saya dan kawan-kawan semua membuat sedikit kebaikan bagi mengimbangi kesalahan-kesalahan yang kita lakukan. Kalau kita lihat banyak fadilat bersedekah dan membuat amal kebajikan ni. Antaranya sabda Rasulullah saw : "Sedekah itu dapat menutup tujuh puluh pintu kejahatan".

Firman Allah swt dalam Surah Al-Baqarah ayat 271 :
" Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang) maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu; dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan ".

Insyaallah, jika kita semua bulatkan tekad bersilatulrahim sambil membuat kerja amal sebegini, ianya akan membawa keberkatan kepada hidup kita semua.

Berbalik kepada program eMay kita nanti, pada pagi Sabtu tadi saya juga telah menghubungi AR, Bilal, Raman Kerbau, Rozain dan pada sebelah malamnya Kudeng DSS juga ada mengubungi saya. Bilal telah memaklumkan kutipan sumbangan yang terkumpul setakat ini iaitu berjumlah RM1,780. Beliau juga memberitahu bahawa urusan wire transfer dari sahabat kita di luar negeri juga telah selesai dan wang sebanyak RM1,090 untuk pembelian sepasang baju kurung bagi setiap anak yatim berjumlah 25 orang telahpun sedia.

AR pula saya telah maklumkan untuk menyediakan list dan budget bagi program Colouring Contest dan Game yang akan dijalankan nanti. Saya memperuntukan sebanyak RM300 untuk peralatan dan hadiah untuk program ini.

Raman Kerbau pula saya telah hubungi untuk memberitahu beliau berkenaan catering makanan yang akan di bekalkan oleh oleh beliau nanti. Raman akan membekalkan minum petang dan jamuan makan malam untuk BUDIMAN dan anak-anak yatim nanti. Jumlah anak yatim dan staff seramai 32 orang. Untuk minum petang saya juga minta beliau sediakan KFC Kids Meal sebanyak 25 bungkus untuk anak-anak yatim nanti. Saya memperuntukan lebih kurang RM550 bagi membiayai makanan seramai 32 orang anak yatim dan staff termasuk KFC Kid Meals yang bernilai RM8-80 setiap bungkus.

Rozain juga saya hubungi untuk bertanyakan harga baju kurung yang akan beliau bekalkan nanti. Beliau berjanji kepada saya untuk memberikan harga tersebut pada hari Selasa minggu depan. Peruntukan ini diperolehi dari rakan BUDIMAN kita di luar negara yang dikirimkan melalui wire transfer berjumlah RM1,090.

Kudeng DSS pula menghubungi saya untuk memaklumkan bahawa beliau tidak dapat hadir ke eMay nanti kerana keluar 3 hari fisabilillah pada tarikh tersebut. Saya ada pesan dengan Kudeng 10 naskah Al-Quran untuk disedekahkan kepada anak-anak yatim nanti. Kudeng kata dia akan mendapatkan naskah tersebut dan dia sedekahkan saja 10 naskah itu untuk BUDIMAN bagi program eMay ini. Terima kasih untuk Kudeng.

Saya juga ada menghubungi Slamber dan bertanyakan beliau untuk membeli T'shirt dan Track Bottom untuk anak-anak yatim yang saya peruntukkan RM30 sepasang untuk 25 orang berjumlah RM750. Saya juga akan belikan beberapa alatan permainan indoor seperti 2 papan carom, scrabble, saidina, 4 raket badminton dan saya peruntukan sebanyak RM300.

Lily isteri kepada Kitang juga ada menghubungi saya pada Jumaat lepas dan memberitahu bahawa beliau akan menyumbangkan sebanyak 30 pack hamper barangan Avon bernilai RM30 setiap satu untuk cenderahati kepada anak-anak yatim tersebut. Malangnya beliau dan Kitang sekeluarga mungkin akan lewat atau tidak dapat menghadiri eMay kerana mempunyai urusan di sekolah anaknya di Jerantut pada hari tersebut.

Berdasarkan peruntukan perbelanjaan saya seperti di atas maka ianya berjumlah RM1,900 lebih kurang dan jika ada lebihan mungkin akan saya fikirkan untuk memberikan sumbangan tunai kepada anak-anak yatim tersebut. Bagaimanapun semuanya akan dibincangkan nanti dalam suatu sessi teh tarik yang akan diadakan pada hari Selasa malam minggu depan di Kuala Lumpur bersama-sama kawan-kawan BUDIMAN.

Setakat ini juga belum ada sesiapa lagi yang mengesahkan untuk menyertai eMay di Temerloh nanti selain dari keluarga saya, Bilal, Raman Kerbau dan AR yang terlibat secara langsung dalam eMay ini. Penyertaan kawan-kawan dan bayaran makanan hendaklah dibuat dengan Bilal selewat-lewatnya sehingga petang Rabu minggu depan 20hb Jun 2007. Selepas tarikh itu saya tidak dapat menerima lagi penyertaan kerana urusan catering makanan tidak boleh dilakukan. Jadi minta kawan-kawan yang nak datang confirmkan segera dengan Bilal. Janganlah datang terkejut nanti pada hari Sabtu, susah plak, nak pelawa makan pun salah, tak pelawa makan pun salah, jadi sendiri mau ingat lah beb. Detail akaun Bilal boleh semak balik dalam artikel eMay yang terdahulu.

5 comments:

lan kida said...

Kalau ada lebihan sumbangan, maybe selain dari pemberian tunai, saya cadang untuk tambah lagi pemberian naskah AlQuran untuk kesemua 25 orang anak yatim tersebut, sejadah dan beberapa keperluan lain lagi. Mungkin ada cadangan lain bolehlah diutarakan di sini.

Since kita pun takde pakaian rasmi untuk aktiviti seperti ini, saya cadangkan juga semasa eMay nanti BUDIMAN berpakaian seperti eM2bj di Johor iaitu T'Shirt putih dan seluar jeans biru gelap atau khakis supaya nampak keseragaman.

Selasa malam nanti semasa sessi teh tarik mungkin boleh bincang juga berkaitan MC untuk acara itu nanti dan aturcara majlis semasa pemberian sumbangan. Harap Bilal, AR, Anita, Kudeng dan kawan-kawan lain yang memberi sokongan untuk eMay dapat hadir untuk sessi teh tarik sambil berbincang nanti. Maybe boleh buat kat Restoran Mamak di Jalan Yap Kwan Seng kerana saya rasa Lotus atau Pelita tempat tu terlalu bising dan sukar nak berbincang. Kalau takpun kat Nasi Lemak Jalan Dewan Sultan Sulaiman Kg Baru pun boleh juga.

lan kida said...

Pembetulan sikit.. Sumbangan wire transfer yang diperolehi dari rakan BUDIMAN di luar negara berjumlah RM1,190 dan bukannya RM1,090.

niazor aka anak wan said...

Kida, koi sekeluarga akan ke Gombak untuk majlis perkahwinan kawan koi kat sana, so koi akan singgah kat Temerloh untuk urusan baju tersebut. Persoalannya sekarang, baju tu perlu dibungkus ke atau bagaimana? Koi nak minta supplier koi cari untuk satu saiz tu lebih sikit, contohnya Bilai ada minta saiz S, 4 pasang, koi minta supplier tu bekalkan utk 10 pasang (4 yang akan ambil dan 6 akan dikembalikan - bayar mana yang ambik aje). Petang tu pukul berapa koi perlu sampai, sbb baju tu biar budak tu cuba dulu masing-masing dan kalau dah padan bagaimana, adakah nak bagi terus atau macamane?
Harga untuk baju tu, koi minta supplier koi maklumkan pada hari Isnin @ Selasa dan akan koi maklumkan jumlah sebenarnya kemudian. Koi rasa cukup dgn duit yang diberikan tu..klu tak cukup pun koi dah maklumkan kat penderma tu koi akan tambah sendiri.. untuk urusan baju tu janganlah risau, Insya Allah, supplier koi cuba dapatkan juga.
Berbalik pada jadual pada 23.6 tu nanti, koi kena bertolak ke Gombak sekurang-kurangnya kul 4 @ 5 petang sbb majlis pada kul 8 mlm.
Satu lagi persoalan, Rumah anak yatim tu kat mana? klu ikut highway kuar tol chenor ke tol temerloh yg dekat?
Koi akan berada di Kelatan sehingga hari Selasa, Rabu baru naik kerja..so apa2 pun koi akan jengok kat sini hari Rabu.. tapi masalahnya tuangan komen ni kadang2 boleh buka, kadang2 tak boleh..so harap dapat difikirkan macamane nak menyampaikan persoalan koi..koi rasa kalau e-mail Insya Allah akan sampai at wanrozain@phg.moh.gov.my atau phgc125@cube.moh.gov.my.
Sekian n wasallam, harap persoalan koi kena pada tempatnya dan tak menyinggung mana-mana pihak.

LaN KidA said...

Niazor, program kita akan start dalam pukol 2-30 petang so rasanya kalau awak boleh sampai di situ pukol 2-30, boleh terus kita uruskan baju kurung awak tu dulu bagi settle dulu then baru kita start dengan Bilal punye program.

Kalau ikut hiwghway dari Kuantan better keluar Tol Chenor then proceed ke Temerloh ikut jalan Maran. Sebelum Hospital Temerloh di sebelah kanan ada simpang dengan signboard " Kg Berhala Gantang dan Gunung Senyum " tak silap rasalah, so ambik simpang ke kanan tu dan 100 meter kemudian di sebelah kanan akan nampak Rumah Anak Yatim tu.

Kalau awak boleh baca komen ni, sila komen balik kat sini.

niazor said...

Kida, sehingga hari ni supplier aku masih mencari baju tersebut di semua pasar borong yang beliau masuk (supplier aku jual di setiap pasar borong). Petang semalam (selasa) aku call dia, dan dia mencari di sekitar Kuala Lumpur..sekarang stok utk baju kurung masih belum dikeluarkan, mereka akan keluarkan apabila bulan puasa..so apa-apa pun aku akan confirmkan setiap hari dgn beliau..klu ada apa2 aku akan cfmkan dengan kalian.. Wasalam