Monday, June 25, 2007

eMay - Ekspedisi Meraikan Anak Yatim ( siRi 12 )



Akhirnya eMay yang kita nanti-nantikan sampai jua. Pada 23hb Jun 2007, hari Sabtu yang lalu, eMay telah selamat berlangsung dengan jayanya. Ekspedisi Meraikan Anak Yatim (eMay) di Rumah Anak-Anak Yatim Darul Izzah, Temerloh Pahang telah dihadiri oleh Bilal sekeluarga, saya sekeluarga, Ummi sekeluarga, Fadil Othman sekeluarga, Kudeng DSS sekeluarga, Kitang sekeluarga, Raman sekeluarga, AR dan temannya Mawi dan juga Zambran yang datang solo tak bawa 2 keluarganya. Wan Rozain sekeluarga yang dalam perjalanan dari Kuantan ke Kuala Lumpur juga telah singgah sebentar di Darul Izzah. Semua BUDIMAN yang hadir telah diberikan tag nama BUDIMAN yang telah disediakan oleh saudara Bilal.

Kehadiran BUDIMAN pada petang itu telah disambut dengan mesra oleh Ustazah Nurhuda dan anak-anak yatim yang telah menunggu dengan pakaian baju kurung lengkap bewarna hijau. eMay telah dimulakan pada jam 2-30 petang dengan Segmen Motivasi yang telah dikendalikan oleh saudara Bilal yang telah memberikan beberapa panduan dan nasihat kepada anak-anak yatim tersebut. Ini diikuti oleh penerangan oleh Puan Rohani, isteri kepada Bilal kepada anak-anak yatim tersebut berkaitan panduan menjawab peperiksaan. Anak-anak yatim tersebut yang pertama kali mengikuti program motivasi sebegini begitu tekun dan penuh minat. Ustazah Nurhuda memuji BUDIMAN kerana sebelum ini tiada lagi kumpulan yang datang mengadakan segmen motivasi sebegini untuk anak-anak yatim itu.

Segmen Motivasi selesai kira-kira jam 4-30 petang dan BUDIMAN serta anak-anak yatim tersebut di hidangkan dengan minuman petang. BUDIMAN telah meraikan anak-anak yatim tersebut dengan KFC Kids Meal dan kelihatan kegembiraan terpancar di muka anak-anak yatim tersebut semasa BUDIMAN beramah mesra sambil minum petang dengan mereka. Dari apa yang di bualkan dengan anak-anak yatim itu sememangnya sebelum ini tiada kumpulan yang datang dan beramah mesra sebegini cuma yang datang hanya menyampaikan derma sahaja. Caterer kita, Raman Kerbau telah menyediakan 2 jenis kuih muih beserta bubur kacang yang amat enak dan ramai yang makan bubur kacang 3-4 kali.

Selesai solat Asar kira-kira jam 5-30 petang, segmen pertandingan mewarna dan game telah dikendalikan pula oleh AR. BUDIMAN bersama AR berganding bahu menjayakan segmen ini di mana anak-anak yatim tersebut telah dibahagikan kepada 5 kumpulan. Pertandingan mewarna di mulakan diikuti dengan game yang telah dibuat di perkarangan bangunan asrama anak-anak yatim tersebut. Anak-anak yatim tersebut begitu terhibur dengan gelagat dan kendalian AR dan mereka bernyanyi dan menari mengikut rentak yang telah di lakukan oleh AR.

Segmen bersama AR selesai kira-kira jam 6-30 petang dan BUDIMAN serta anak-anak yatim bersiap sedia pula untuk Solat Maghrib berjemaah. Kira-kira jam 7-25 malam, azan Mahgrib telah berkumandang oleh saudara Bilal dan Kudeng telah mengimamkan solat Maghrib untuk BUDIMAN bersama-sama anak-anak yatim. Selesai Solat Maghrib dilakukan pula Solat Hajat dan diikuti dengan bacaan tahlil dan Doa Selamat mendoakan kesejahteraan dan moga beroleh kejayaan dan keberkatan kepada BUDIMAN dan anak-anak yatim tersebut. Selepas itu kami menunaikan Solat Isyak bersama-sama pula.

Selesai Solat Isyak, Majlis Penyampaian Sumbangan telah dilakukan kepada anak-anak yatim tersebut dan juga kepada AJK Darul Izzah, Ustaz Zul yang turut hadir. Ustazah Nurhuda pula menerima sumbangan barangan iaitu kain untuk baju kurung dan tudung beserta peralatan riadah yang disumbangkan untuk anak-anak yatim tersebut oleh BUDIMAN. Hadiah-hadiah untuk pertandingan mewarna juga telah diberikan dan kesemua anak-anak yatim telah menerima hadiah masing-masing.

Selesai majlis ringkas penyampaian hadiah dan sumbangan, anak-anak yatim Darul Izzah bersama-sama BUDIMAN telah diraikan dengan Jamuan Makan Malam pula. Nasi putih berlaukkan Ikan Patin Masak Tempoyak, Ayam Masak Merah, sayur dan ulam-ulam kampung begitu menyelerakan. Caterer kita Raman Kerbau telah menyediakan makanan yang mendapat banyak pujian pada malam itu.

Akhirnya kira-kira jam 10-00 malam dengan perasaan yang amat berat dan terharu, BUDIMAN dan anak-anak yatim telah bersurai setelah hampir 8 jam bersama dalam suasana penuh kemesraan dan keinsafan. eMay telah berlangsung dengan jayanya walaupun berbagai kepayahan dalam mengusahakannya. Pihak pengurusan Darul Izzah begitu terharu dengan kedatangan BUDIMAN yang hadir bukan sekadar untuk menyampaikan sumbangan tetapi dengan mengadakan beberapa segmen yang menggembirakan dan menyukakan hati anak-anak yatim itu. Ada seorang anak yatim telah menangis kesayuan kerana teringatkan dirinya yang tiada berayah bila melihat BUDIMAN hadir bersama keluarga untuk meraikan mereka dan akhirnya berasa amat gembira dengan kemesraan yang di tunjukkan BUDIMAN kepada mereka.

Pada kesempatan ini saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua pihak yang telah menyumbangkan wang ringgit yang bukan sedikit jumlahnya, sumbangan tenaga, idea dan usaha yang tidak kenal penat lelah dalam menjayakan eMay ini. Kepada yang tidak berpeluang untuk menyumbangkan apa-apa, mungkin di lain waktu dan ketika, Insyaallah boleh berbuat demikian di program yang akan datang.

4 comments:

Anonymous said...

ALHAMDULILLAH. TAHNIAH. TERUSKAN SEGALA NIAT MURNI.

Anonymous said...

salam. syukur semuanya berjalan dgn baik dan sejahtera.Walid mintak maaf teramat sgt kerana tak dpt menyertai program BUDIMAN kali ini.InsyALLAH jika ada peluang lagi, walid akan ikut serta.
Sekali lagi sekalung tahniah buat BUDIMAN ats usaha n kerjasama yg telah disempurnakan dan lebih lagi kpd yg turut serta diprogram ini.Walid mendoakan semuga ALLAH swt merahmati atas usaha2 murni BUDIMAN sekeluarga. Amin.

p/s. sedih gak x dpt bersama kali ni.

Anonymous said...

mmhhh baru berkesempatan jenguk kat sini. alhamdulillah syukur sangat sebab sumenya berjalan dengan lancar. Banyak kenangan manis dan iktibar yang SK dapat kat sana.

Pada kengkwan yang memberi sumbangan tak kira tenaga, idea, dan juga wang ringgit SK doakan moga Allah swt murahkan rezeki dan berkati hidup anda sume.

Untuk teman SK (yg donate kain tuk baju kurung)- Warden asrama tu suka banget dengan warna kain tu... katanya sweet color. Thanks to Bilal, pandai pilih kain.

To Bilal n Ani - untuk raya nanti leh mintak Bilal dan Ani pilih kain untuk SK wat baju kurung ahaks!

To Raman@Kerbau - bubur kacang memang superb! sedap banget! SK siap tapau lam tuppwerware avon lagi. Menu dinner pun sedap! Raman, nanti kasi resepi bubur kacang tu SK nak cuba buat.

To Lily - Lily memang bestlah! Mesti ada oleh2 dari Lily. Kali ni dapat 2 tupperware avon (tulah siap tapau bubur kacang tu) ngeh...ngeh...ngeh...

Terasa sekejap sangat berlalu harap anak2 yatim tu terhibur...

Anonymous said...

Salam sume...
Emm smlm ummi cuti tolong uruskan pendaftaran anak saudara (angkat) baru.

Memang sedap patin tempoyak Raman masak tu..perghhh!! Bubur kacang lak terangkat!! Abang Nu makan kat Darul Izzah je dah 3 mangkuk. Ummi pun siap tapau tuk abang Nu 2 tupperware Avon (*thanx Lily..). Masuk peti kat rumah mak, emm..pagi Ahad jer Abang Nu tibai lagi 1 tupperware..(*ishh Abang Nu kalu dapat bubur kacang emm x ingat apa daahh..).

Sonok sangat dapat jumpa dan bermesra dengan anak2 yatim..(*tunduk sebak..). Sian kat diaorang..Ada pulak sorang tu menangis duk kat tingkat atas xmau turun, teringat ibunya yang lama x menjenguk dia...(*mungkin susah nak datang kot)..Pujuk2 baru dia turun...Harap anak2 kita sume yang pergi akan sentiasa berasa bertuah dan beruntung berada bersama kita..

Apapun, SYABAS tuk BUDIMAN!!!!