Saturday, July 11, 2009

beRitA

1. Kudeng dsS telah selamat menerima cahayamata pada petang semalam setelah isteri beliau selamat melahirkan seorang bayi lelaki menerusi pembedahan. Beliau mengirimkan sms kepada saya kira-kira jam 6-57pm semalam untuk memberitahu berita gembira ini. Baby baru beliau yang beratnya 3-74kg berada dalam keadaan selamat dan sihat. Tahniah kepada Kudeng dsS.

2. Hari Khamis yang lalu sewaktu saya ke bengkel Kudin Mekanik, sempat saya bertemu dengan Walid diA yang turut menghantar kereta beliau ke bengkel Kudin. Walid nampak berisi sedikit dan katanya tidak lama lagi beliau mungkin akan menumpukan sepenuh masa dalam perniagaan barangan yang di impot dari China. Sekarang ini pun beliau giat mempromosikan beberapa barangan dan website beliau pun sedang dalam pembikinan untuk tujuan penjualan barangan tersebut. Selamat Maju Jaya kepada Walid dalam usaha menjadi seorang lagi usahawan berjaya budiMaN.

3. Sebelum itu saya juga ada bertemu dengan Raman Kerbau dbS dan beliau beritahu melalui promosi yang saya sampaikan di blog berkenaan kemudahan pinjaman peribadi Ar-Rajhi Bank yang di lakukan oleh beliau, beberapa rakan budiMaN ada menghubungi beliau untuk bertanyakan perkara tersebut dengan lebih lanjut. Teruskan usaha anda Raman Kerbau.

Thursday, July 09, 2009

teRbaNG laGi 2

Penat tak habis lagi beb sebab malam semalam baru sampai dari Sabah bah. Kiranya perjalanan ke Sarawak dan Sabah pada kali ini memang memenatkan dengan pelbagai aktiviti dan urusan yang masih banyak perlu diselesaikan.

Perjalanan bermula pada pukol 7-00 pagi Jumaat lepas bilamana saya bersama 3 orang lagi rakan perniagaan saya ke LCCT untuk menaiki penerbangan ke Kuching pada pukol 11-00 pagi. Kami sampai di LCCT kira-kira jam 9-30 pagi setelah berhenti breakfast di Nilai dan check in beg golf di kaunter. Penerbangan Air Asia macam biasa delay hampir 1 jam setengah dan kami berlepas kira-kira jam 12-30pm.

Kami sampai di Kuching kira-kira jam 2-00 petang dan di airport sudah menunggu beberapa rakan kami dengan kenderaan untuk membawa kami ke hotel. Pengarah SPRM Sarawak turut berada di airport menanti saya dan saya menaiki kenderaan beliau ke hotel. Kami check-in di Merdeka Palace Hotel di mana kami mendapat Royal Suite di tingkat 18 bersebelahan dengan Agong Suite dan Presidential Suite di tingkat tersebut. Memang best giler suite yang kami duduk seramai 4 orang kerana mempunyai 3 bilik yang luas dengan dining hall, kitchen, bar dan sebagainya. Tingkat tersebut pula lengang dengan hanya kehadiran kami sahaja. Saya duduk bilik seorang, Sani duduk bilik seorang sementara Mat Sam dan Mat Nan berkongsi bilik.

Selesai check-in, kami diberikan sebuah kenderaan untuk kami bergerak oleh hos kami di Kuching dan malamnya kami di bawa menjamu selera di Top Sport Ah Seng ABC Corner, tempat seafood dan makanan Sarawak famous dengan sajian bermacam2 jenis seafood seperti udang galah, ambak (belitung), sharks fin, midin dan bermacam2 lagi. Lepas makan malam, kami balik semula ke hotel dan sambung santai di suite kami bersama hos kami. Selepas itu pada pukol 12-00 malam kami sambung lepak di Victoria Arms di Basement Merdeka Palace sampai pukol 2-00am.

Sabtu, rancangan untuk melawat beberapa tempat sempena urusan kami terpaksa di batalkan kerana seharian hujan turun di Kuching dan segala perbincangan terpaksa di lakukan di suite kami di mana beberapa ketua jabatan kerajaan hadir. Jadi kami kerja sambil santai kat suite dan makanan di hantar oleh hos kami. Memang best la..sebut jer apa nak makan..mesti sampai... Pizza Delivery... Coffee Bean Delivery...semua sampai beb. Memang best giler la tukang jaga kami kat Kuching tu.

Malamnya kami di bawa makan malam di Pondok Laguna di City Center dimana kami dijamu dengan Nasi Padang dan makanan Indonesia. Best dan pedas giler2 beb. Lepas makan malam, kami balik semula ke hotel dan sambung sembang di suite. Jam 11-00 malam, kami sambung lagi santai kat Victoria Arms sampai pukol 2-00am.

Esoknya pagi2 lagi after breakfast kat hotel, kami buat satu lagi discussion final round dengan wakil Sarawak dan kira-kira jam 12-30 tengahari kami semua check-out dan berlepas pula ke The Sarawak Club untuk balun golf plak beb. 2 flight dan kami tee-off jam 1-45 petang dan selesai bermain jam 5-00 petang. Kami mandi dan makan sedikit di Club House dan hos kami sediakan pula Urut Kaki di sebuah private club dalam perjalanan menuju airport. Selesai urut kaki, kami bergegas ke airport untuk flight ke Kota Kinabalu pada jam 10-30pm.

Kami bertolak dari Kuching ke KK pada jam 10-30 malam dan tiba di KK pada jam 11-55 malam dimana Hos kami di KK iaitu Komander Rahman (Pemerintah Navy Sabah - gua tanya dia kenal Man Troq, dia kata dia kenal) sudah sedia menunggu dan membawa kami ke Prominade Hotel untuk check-in. Kerana keletihan kami pun santai di bilik masing-masing.

Isnin, hujan seharian di Kota Kinabalu membataskan pergerakan dan menyebabkan perbincangan terpaksa di lakukan di hotel sahaja di mana beberapa pegawai kerajaan dan ahli perniagaan turut serta. Jam 3-00 petang segala urusan selesai dan kami berlima kini setelah di sertai oleh geng oil n gas semenanjung yang turut berada bersama kami, mencari tempat untuk menjamu selera di kawasan sekitar CenterPoint yang berada di belakang hotel.

Malamnya kami pergi pula ke kawasan makan di tepi laut untuk sekali lagi menikmati Nasi Padang dan selesai makan malam, kami di bawa pula santai di sebuah Bistro di hadapan Le Meridien.

Esoknya setelah breakfast, kami sempat ke Pasar Filipina untuk mencari beberapa barangan untuk di bawa pulang. Kami tinggalkan hotel sekitar jam 4-00 petang untuk ke Airport dan penerbangan ke Kuala Lumpur ialah pada jam 6-30 petang. Penerbangan delay kerana hujan ribut dan akhirnya jam 7-15 malam, baru kami bertolak balik. Touchdown di Sepang kira-kira jam 10-00 malam dan sekitar jam 12-00 malam baru saya sampai ke rumah.

Walaupun trip kali ini pada saya agak kurang berjaya kerana faktor cuaca tetapi 60% menepati matlamat dan terima kasih saya ingin ucapkan kepada semua yang telah terlibat membantu kami semasa di Sarawak dan Sabah. Walaubagaimanpun saya tetap enjoy dengan trip ini terutama semasa di Kuching. Sabah pun tak kurang jugak...hehe

Saturday, July 04, 2009

WeeKeND - SK dgN aNak2


Dah 2 hari Kida tak ada di rumah rindulah pulak kat Kida ahaks! Jarang sekali Kida outstation on weekend. Kebiasaannya bila weekend Kida mesti bawak SK jalan2 dan lepak2. Kebetulan Sarah balik minggu ni jadi taklah sunyi sangat. Terasa bosan sungguh duduk di rumah jadi SK pun sms Kida mohon izin untuk keluar bersama2 Sarah dan Aimin. Kami ke Pavillion dan berwindow shopping. SK suka ke Pavillion sebab tempat tak sesak lepas tu layan tengok baju-baju kat situ cantik2.

Sampai di Pavi, perut terasa lapar pulak. So kami makan di Carl’s Jr. Lepas makan kami masuk dari satu kedai ke satu kedai hehehehe. Sekarang ni tengah sales, kalau ada Kida bestnya leh mintak itu ini muahahaha. Tapi Kida tak ada pun SK rembat jugak, ahaks! Kida darling...jangan marah eh…SK beli yang murah2 je *wink* Bukan semua barang di Pavi tu mahal ada jugak yang reasonable pricenya.

Penat berjalan dan jamu mata, kami makan dan lepak di tempat biasa, mana lagi kalau tak di Carlos Canteena. Nak solat pun tak susah sebab kemudahan surau ada di B2 dan jugak tingkat 3. Dulu surau tingkat 3 ni diubahsuai, sekarang ni dah siap kot tapi tak pasti masih di tingkat 3 atau 5. Selalunya SK bersolat di B2 je.

Sekejap je masa berlalu, walaupun pun dah pukul 10.00 malam tapi orang semakin ramai. Kalau di kampung tentu dah senyap sunyi. Tapi di KL ni semakin jauh malam semakin ramai orang. Macam2 gelagat boleh kita tengok, lucu ada meluat pun ada hahahaha...

p/s Kida jangan lupa ole2 dari Kucing dan KK tuk SK ye!

Friday, July 03, 2009

teRbaNG laGi

Dah habis bab nikah kat Siam ni dengan bermacam-macam komen oleh kengkawan, so let's get back to business. Tapi macam saya beritau kat artikel bawah tu..kalau nak minta nasihat pasal nak nikah kat Siam, kontek la Mizi kita kat Songkhla tu. Setakat waktu ni, saya sendiri takde la hajat lagi dan kalau boleh biarlah yang satu tu sampai bila-bila. Godaan tu memang banyak beb, maklum zaman sekarang ni, kita tak mintak pun, dia datang sendiri tapi masih bisa di elakkan lagi la beb setakat ini.

So hari ini, pagi-pagi pukol 8-00, saya bersama 3 orang lagi sahabat perniagaan saya akan meninggalkan Kuala Lumpur untuk ke lapangan terbang. Kami akan ke Kucing, Sarawak menaiki penerbangan pada pukol 11-30 pagi untuk beberapa urusan dan pertemuan dengan beberapa agensi kerajaan di Sarawak. Mungkin stay 2 malam di Kucing dan kalau sempat boleh golfing juga nanti. Beg golf tu memang kandar kat bahu memanjang kalau berjalan ni..hehe

Dari Kucing, saya akan terus ke Kota Kinabalu pula mungkin pada hari Ahad nanti dan stay juga 2 malam. Kat Sabah nanti geng oil and gas saya dari Kuala Lumpur akan datang sekali dan join dan di Sabah juga beberapa pertemuan dengan pegawai beberapa agensi kerajaan akan di adakan. Mungkin sempat juga golfing nanti. Bagus juga geng oil n gas tu datang, apa-apa hal financial decision, senang. Geng ni ada 2 pelantar minyak dengan overhead sebanyak USD280k sehari setiap satu pelantar. Memang penyamun betul geng-geng oil n gas ni..lepas tu geng dia jer..orang luar nak masuk business oil n gas..mintak maaf la. Tu pun baru-baru ni, ada satu Tan Sri yang baru kena jual syarikat air dia tu pun nak turut sama juga dalam oil n gas... Halim Maksom dpA mesti tau punya ni..

Tapi geng UitM kita takde pulak dengar cerita ada di Sabah dan Sarawak ni, kalau tak boleh la juga ajak ngeteh2 malam-malam. Apa-apa pun enjut jer la sementara ada bisnes ni, takde esok, duduk jer la melangut...bisnes ni macam tu la..ada pasang..ada surut. Sabah-Sarawak..here we come!

Thursday, June 25, 2009

niKah di siAM

Setelah angau dan cintan habis kat girlfriend dan rasa-rasa mampu nak bernikah lagi satu maka berpakatlah dengan girlfriend tu nak menikah. Malangnya bini nombor satu tak kasi pulak atau nak suarakan kat bini tak berapa berani sebab dah tahu dah jawapannya. Maka langkah seterusnya ialah bernikah senyap-senyap kat Siam.

Cara nak menikah kat Siam ni senang je sebenarnya. Cari jer tukang atur pernikahan kat Siam ni yang berlambak kat sempadan tu tapi kena hati-hati jugak sebab banyak konsultan tipu buat nikah dengan jurunikah tak bertauliah. Bagi geng budiMaN yang rasa-rasa ada hajat..tanya2 lah kat Mizi sebab hari tu dia pun pelawa kalau ada kengkawan nak nikah. Konsultan tipu ni ada yang pernah charge sampai RM13,000 urus nikah ni beb. Betul punya cerita ni.

Dah dapat konsultan nikah tu beritahu dia bila nak pergi nikah. Tetapkan tarikhnya then bertolak la dengan bakal bini ke Bukit Kayu Hitam atau Golok ker...mana-mana la yang senang. Sampai kat sempadan agen nikah ni akan tunggu dan bawa pasangan angau tadi ke Siam. Kena ada passport beb, tidak nanti susah nak daftar. Bawak passport dan bawak Kad Pengenalan.

Agen nikah akan uruskan akad nikah dengan Jurunikah yang bertauliah dan di iktiraf oleh Jabatan Agama Islam Thailand di Songkhla. Saksi akan di sediakan oleh Agen Nikah. Akad nikah ni tak sampai 10 minit dan kalau di buat di Songkhla, boleh terus dapat Sijil Nikah yang sah. Kalau nikah di Narathiwat ker, Golok ker, Danok ker, Satun ker..sijil nikah hanya boleh di buat di Songkhla. Jadi kalau nak cepat, nikahlah kat Songkhla. Tidak mahu kena tunggu seminggu beb.

Lepas nikah, pasangan pengantin baru kena menghadirkan diri di Konsulat Malaysia di Songhkla untuk Surat Pengesahan Konsulat. Jadi kalau nikah kat Narathiwat kena pergi Songkhla jugak beb. Surat ni ambil masa jugak sebab Konsulat sibuk, banyak acara...hehe tapi kalau kengkawan budiMaN punya pasal...setengah jam jer siap..atas padang golf pun Mizi boleh sign. Tidak kena la tunggu 2-3 hari kot sebab banyak permohonan nikah ni... kan Mizi.

Selesai dapat 2 surat tu iaitu Sijil Nikah dari Pejabat Agama Thailand dan Surat Pengesahan dari Konsulat, pengantin pun boleh balik Malaysia. Lepas tu pergi lah pejabat Agama di Malaysia tempat bermastautin atau seperti alamat kad pengenalan dan daftar perkahwinan tersebut. Kena denda tapi tak melebihi RM1,000. Kan senang proses tu...semuanya tu kalau geng budiMaN punya pasal, saya rasa dalam 2 jam siap la semuanya nikah di Thailand.

Lepas tu korang pandai-pandai la jawab dengan bini tua korang kalau rahsia terbongkar. Habis kuat 3-4 bulan jer mengamuk sakan pun...tahan je la...ibarat kerak nasi kata orang tua2...lama2 lembut la beb. Tu pun gua mau ajar jugak ker?

Tuesday, June 23, 2009

toLoNG

Raman Kerbau kini bekerja dengan Al Rajhi Bank sebagai pegawai pinjaman peribadi. Driving Range di Maran yang diusahakannya nampaknya tidak begitu berjaya. Jadi kepada sesiapa yang nak buat personal loan dengan Al Rajhi boleh mengubungi Raman Kerbau di 013-9189221. Kakitangan kerajaan saya rasa boleh pinjam sampai 35 kali gaji manakala swasta sampai 8 kali gaji. Apa-apa pun maklumat lanjut boleh di dapati dengan menghubungi Raman Kerbau sendiri dan saya percaya beliau boleh menolong rakan budiMaN yang ingin membuat pinjaman dengan Al Rajhi. ( Untuk Abg Amid epF - gambar atas tu gambar caddy kelab golf Siam masa pergi ari tu...hehehe)

Saturday, June 20, 2009

siAM

Pada petang Selasa lalu saya bersama 5 lagi rakan saya meninggalkan Kuala Lumpur menuju ke Thailand dengan menaiki 1 kereta dan 1 SUV. Kami bertolak dari KL kira-kira jam 2-30 petang dan singgah di beberapa perhentian. Sampai di Ipoh, kereta Mercedes Benz yang saya naiki buat hal pula dan hanya boleh dipandu sekitar 110 km/j sahaja. Rupa-rupanya gearbox rosak tetapi kami teruskan perjalanan juga kerana saya sudah berjanji dengan rakan Mizi Songkhla untuk sampai sekitar waktu Maghrib di sempadan. Akhirnya kami sampai di Bukit Kayu Hitam jam 8-00 malam dan gearbox Benz memang out terus cuma boleh dipandu sekitar 60 km/j sahaja.
Sampai di Bukit Kayu Hitam, rakan Mizi yang menguruskan kedatangan saya iaitu Ed Siam sudah siap menunggu dan membuat 2 trip menaiki kereta beliau untuk masuk ke Danok dan check-in di KPK Hotel. Amin dsS juga ada menghubungi saya dan memberitahu beliau juga sudah berada di Danok dan akan tidur di sana juga untuk bertemu dengan saya. Selepas selesai mandi, kami semua pergi menjamu selera di Restoran NurLaila yang terkenal di Danok. Di restoran tersebut saya bertemu dengan Amin dsS bersama 2 lagi rakan beliau dari Alor Star. Restoran NurLaila memang terkenal dengan masakan Thai dan banyak jenis makanan yang istimewa seperti Asam Pedas Ikan Keli, Kerabu Kaki Ayam, Somtam dan bermacam-macam lagi.
Selepas makan, kami semua sambung sembang dan rilek di sebuah pub bersama-sama Amin dsS sehingga jam 1 pagi. Selepas itu kami pulang ke hotel menaiki teksi motosikal. Amin dsS duduk di hotel berlainan dan beliau beritahu bahawa beliau akan pulang ke Alor Star pagi2 esok kerana beliau tidak cuti.
Pagi esoknya Ed Siam sudah sedia menunggu di lobby hotel untuk membawa 2 rakan saya untuk urusan di Kedutaan Songkhla. Saya menghubungi Mizi untuk mengaturkan beberapa urusan tersebut dan kemudiannya saya dan Mizi berjanji untuk bertemu di Kelab Golf Southern Hill, Hatnyai sekitar jam 2-00 petang. Jadi 2 rakan saya bersama Ed Siam terus ke Songhkla sementara saya bersama 3 lagi rakan saya stay di hotel menunggu kereta yang diuruskan oleh Mizi untuk membawa kami ke Kelab Golf Southern Hill. Kira-kira jam 12-00 tengahari, kereta yang membawa kami sampai dan kami bertolak ke Hatnyai dan sampai kira-kira jam 1-00 tengahari dan sementara menunggu Mizi, kami menjamu selera di Kelab Golf Southern Hill. Tidak lama kemudian Mizi sampai dengan seorang pegawai beliau dari PDRM dan kami berenam memulakan golfing kami.
Habis bergolfing sekitar jam 7-00 petang dan kami teruskan bersembang di Coffee House Club sampai jam 9-00 malam. Mizi kemudiannya menghantar kami ke Van Kedutaan yang disediakan oleh beliau untuk pulang semula ke Danok di hotel penginapan kami. Sampai di Danok sekitar jam 10-00 malam dan kami mandi dan terus sekali lagi ke Restoran NurLaila untuk makan malam dengan di sertai oleh 2 rakan kami yang ke Songkhla tadi. Amin dsS ada menelefon dan beliau kata kalau lapang beliau akan datang untuk sertai kami tetapi akhirnya beliau tidak dapat datang kerana ada sedikit urusan. Habis dinner sekitar jam 12-00 malam dan kami tapau pula Pulot Mempelam, Pulot Ayam untuk kami sambung makan dan sembang di hotel.
Pada hari Khamis tengahari, kami berenam check-out dari hotel di Danok dan Ed Siam sudah sedia menunggu untuk membawa kami keluar melepasi sempadan dan masuk ke Malaysia. Urusan kami tidak selesai lagi dan 3 orang rakan kami menaiki SUV untuk ke Kangar pula bagi urusan selanjutnya sementara saya dan 2 rakan lagi menaiki Mercedes yang rosak gearbox perlahan-lahan ke pekan Jitra untuk di tukar gearbox baru.
Sampai di Jitra lebihkurang pukol 2-00 petang dan terus ke bengkel Mercedes Benz dan saya terima panggilan dari rakan di Kangar bahawa beliau sudah menempah hotel di Putra Palace untuk kami. Gearbox hanya boleh disiapkan pada tengah malam jadi kami berjanji untuk mengambil kereta pada pagi Jumaat dan mereka memberikan kami sebuah Mercedes Kompressor untuk ke Perlis.
Kami sampai di Putra Palace sekitar jam 8-00 malam dan selesai check in dan mandi, tuan rumah kami di Perlis telah sedia menunggu di lobby hotel Putra Palace untuk membawa kami makan malam di Han Tien Restoran di Kuala Perlis. Memang kow-kow udang galah besar ( Seekor2 besar betis kita ) dan macam-macam seafood lagi dijamu kat kami. Urusan kami di Perlis dapat di selesaikan pada hari itu juga.
Esok paginya untuk breakfast, Pengarah BPR (SPRM) Perlis, Dato' Yusof Shamsudin sudah sedia menunggu saya di lobby hotel dan kami semua breakfast bersama. Macam-macam sembang dan tak sedar dah pukol 11-00 dan kami minta diri untuk ke Jitra semula mengambil kereta yang sudah siap di pasang dengan gearbox baru. Sampai di Jitra sekitar jam 2-00 petang dan rakan saya menguruskan mengambil kereta sementara kami berlima lagi di bawa pula ke sebuah dusun durian untuk menjamu buah-buahan seperti durian, rambutan dan lain-lain lagi.
Kira-kira jam 4-30 petang, kami semua berenam bertolak balik ke Kuala Lumpur dan sampai jam 8-00 malam di pejabat kami di Wangsa Maju. Di sini saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Mizi Songkhla yang telah bersusah payah mengaturkan urusan perjalanan kami di Thailand, terima kasih kepada Amin dsS yang sanggup bersama kami tidur di Danok dan membawa kami pusing-pusing di sana dan alhamdulillah segala urusan seperti yang dirancangkan telah berjalan dengan lancar dan berjaya. Pada saya this is one of the best top 10 outstation trip walaupun kereta Benz kami mengalami sedikit kerosakan. Alhamdulillah dan terima kasih kepada semua.