Friday, March 07, 2008

uNdi eSok

Esok 8hb Mac 2008 akan berlangsunglah Pilihanraya ke 12 di negara kita. Sebagai rakyat yang layak dan berdaftar untuk mengundi, marilah kita semua budiMaN melaksanakan tanggungjawab kita kepada negara, bangsa dan agama untuk mengundi bagi memilih sebuah kerajaan yang kita rasakan boleh membawa kemakmuran, kesejahteraan dan meninggikan syiar Islam sebagai tunggak utama segala bentuk tindakan kita.

Walau di mana sahaja kita berada, baik di Kuala Lumpur atau di Kuantan, tanggungjawab untuk mengundi di tempat yang kita berdaftar, haruslah dilaksanakan tanpa mengira jauh atau dekat tempat tersebut. Satu undi dari kita semua belum tentunya boleh merubah suatu keputusan tetapi satu undi yang dicampur dengan undi-undi yang lain, akan membawa perubahan dan suara kita sebagai rakyat yang menjadi penentu kepada masa depan negara dan anak cucu kita nanti.

Kita juga berharap agar pilihanraya ini akan dijalankan secara telus dan bersih tanpa ada sebarang penipuan, tanpa ada kotak-kotak undi yang entah dari mana akan muncul secara tiba-tiba, tanpa kertas-kertas undi yang pernah ditemui bersepah-sepah di kotak sampah dan dari segala bentuk ketidakjujuran semata-mata untuk terus berkuasa atau mengambil kuasa.

Selain dari saranan-saranan yang mungkin rakan-rakan budiMaN telahpun ketahui, saya juga ingin memanjangkan saranan agar setiap dari kita baik dari penyokong Barisan Nasional dan juga Barisan Alternatif untuk mengadakan solat hajat di malam sebelum pilihanraya ini, memohon agar Allah swt memberikan kemenangan dan kejayaan kepada angkatan muslimin yang benar-benar ikhlas, jujur, beriman, beramal soleh, tidak rasuah, tidak melakukan dan membenarkan maksiat serta yang benar-benar ingin meninggikan syiar Islam dalam pemerintahan negara Malaysia ini nanti. Doakan juga agar pilihanraya kita akan dapat di jalankan dengan penuh jujur dan tiada penipuan dan agar segala bentuk rancangan penipuan di dalam pilihanraya akan beroleh kegagalan dan mereka-mereka yang menipu itu mendapat balasan yang setimpal dari Allah swt. Semoga segala perancangan jahat akan menemui kegagalan kerana perancangan Allah swt jugalah yang akan terlaksana akhirnya.

Insyaallah, saya akan pulang untuk mengundi di Sek Men Jalan Bahagia, Temerloh nanti bagi memilih calun untuk DUN Semantan serta Parlimen Temerloh, manakala SK pula akan mengundi di Sek Men Jalan Cochrane, Kuala Lumpur bagi memilih calun Parlimen Titiwangsa. Cadangan asal pada malam Sabtu nanti saya akan berada semula di Kuala Lumpur kerana beberapa kengkawan mencadangkan untuk berkumpul beramai-ramai di pejabat salah seorang rakan kami di Pusat Bandar Wangsa Maju bagi mengikuti keputusan pilihanraya sampai ke pagi. Namun begitu tiada ketetapan lagi bagi rancangan tersebut tetapi kalau ada kengkawan budiMaN yang rancang untuk berkumpul beramai-ramai bagi mengikuti keputusan pilihanraya di suatu tempat, maka lebih elok lagi.

Pilihanraya Umum ke 12 ini sebenarnya begitu mendebarkan dan keputusan-keputusan bagi sesetengah negeri seperti Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Wilayah yang agak panas begitu di tunggu-tunggukan. Keputusan bagi negeri-negeri lain mungkin tidak begitu mendebarkan kerana suasana di negeri-negeri panas itu yang telah saya ziarahi sesetengahnya begitu condong untuk membawa perubahan baru. Rata-rata yang saya temui yang selama ini sebagai penyokong kuat kepada kerajaan sedia ada telah berubah arah dan bersedia untuk menjalani suatu perubahan baru yang drastik. Kalau pilihanraya ini di jalankan secara telus dan adil serta tiada penipuan seperti di tahun 1999, maka saya berpandangan suatu kejutan perubahan mungkin akan berlaku.

Jadi malam Sabtu nanti, siapkan kopi O banyak-banyak, senarai keputusan pilihanraya untuk catat keputusan, kalau ramai-ramai mungkin boleh buat PotLuck, barbeque atau makan-makan dan sembang-sembang dan boleh bersorak kuat sikit, lebih seronok dan taklah ngantuk sangat. Jadi kalau ada geng budiMaN yang nak cadang suatu tempat untuk kumpul ramai-ramai, memang elok sesangat lah. So macam biasa kat ruangan komen bagi cadangan atau kalau tiada, sila call atau sms saya sebab saya ada cadangan kalau tiada cadangan daripada kengkawan semua.

1 comment:

walid said...

salam.
kida.ada cdgn ker?...cdgn kumpul tu best gak..tp jgn la jauh sgt...hehee...
lain2 ada brani???