Monday, September 08, 2008

noStaLGia to ANNiversary

Dalam masa 20 hari lagi blog budiMaN, insyaallah akan menyambut ulangtahun yang ke 2 sejak penubuhannya pada 28hb September 2006 yang kebetulan sentiasa tarikh tersebut jatuhnya dalam bulan Ramadhan yang amat mulia ini. Mengenang kembali sejak bermulanya blog ini kira-kira 2 tahun yang lepas penuh dengan pelbagai peristiwa dan kenangan yang tidak dapat saya dan rakan-rakan budiMaN lupakan. Dengan tujuan utama untuk merapatkan kembali silatulrahim antara rakan-rakan UitM Kuantan tidak mengira batch yang telah terputus hubungan kira-kira lebih dari 20 tahun yang lalu, blog ini juga selain dari mengadakan acara-acara pertemuan semula juga merancang halatujunya dengan mengadakan pelbagai aktiviti amal dengan tujuan merapatkan silatulrahim bersama budiMaN di samping berbakti kepada masyarakat sekeliling.

Aktiviti Amal
Mengenang kembali aktiviti-aktivit amal yang telah di lakukan oleh budiMaN, saya senaraikan secara ringkas nostalgia amal yang telah kita lakukan sepanjang 2 tahun ini. Ini ialah selain dari satu aktiviti amal pada awal 2007 (tidak silap saya sekitar April 2007)dimana rakan-rakan budiMaN telah membuat kutipan sumbangan sebanyak RM1,500 bagi membantu seorang rakan budiMaN yang tidak mempunyai wang untuk memasukkan anak beliau ke sekolah asrama penuh.

Aktiviti amal pertama budiMaN ialah pada 3hb Februari 2007 iaitu Ekspedisi Membantu Mangsa Banjir Johor (eM2bJ) yang mana hampir 10 buah kereta budiMaN dari Kuantan, Temerloh dan Kuala Lumpur bersama-sama keluarga berkonvoi ke Johor bagi membantu mangsa-mangsa banjir di Batu Pahat dan Parit Yani, Johor dengan memberi bantuan pakaian dan peralatan dari rumah ke rumah di Kg Parit Basri Laut, Sri Medan, Batu Pahat dan rakan-rakan budiMaN lelaki dan wanita bersama keluarga bergotong royong membersihkan balairaya dan surau kampung tersebut. Selain itu turut mengunjungi Pusat Pemindahan Banjir Parit Yani dan mengadakan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak di samping menyampaikan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir.

Aktiviti amal yang ke 2 pula ialah pada 23hb Jun 2007 yang mana rakan-rakan budiMaN bersama keluarga dari Kuala Lumpur, Temerloh dan Kuantan lebih kurang 50 orang telah mengunjungi Rumah Anak-Anak Yatim Darul Izzah di Temerloh, Pahang dan mengadakan beberapa acara dengan anak-anak yatim di mulai dengan Program Motivasi Pelajaran, minum petang KFC bersama anak-anak yatim, Acara Riadah bersama anak-anak yatim, Sembahyang Maghrib dan Isyak serta Tahlil dan Doa Selamat untuk anak-anak yatim serta penyampaian sumbangan wang tunai dan peralatan kepada anak-anak yatim.

Aktiviti amal yang ke 3 pula berlangsung pada 7hb Oktober 2007 di mana rakan-rakan budiMaN dari Kuala Lumpur, Temerloh, Maran dan Kuantan lebih dari 10 buah keluarga telah menghadiri Majlis Berbuka Puasa di rumah Apamz diA di Taman Balok Makmor, Kuantan bagi menyampaikan bantuan kepada keluarga Apamz di samping bersilatulrahim sesama budiMaN. Majlis berbuka puasa tersebut di biayai sepenuhnya oleh ahli-ahli budiMaN yang hadir dan Sembahyang Terawih beramai-ramai juga di adakan di situ.

Aktiviti amal yang terakhir yang di lakukan oleh rakan-rakan budiMaN pula ialah mengadakan Ekspedisi Membantu Mangsa Banjir Pahang pada 26hb Januari 2008 di mana rakan-rakan budiMaN telah berkonvoi dari Kuala Lumpur, Temerloh, Maran dan Kuantan lebih dari 30 orang semuanya bersama keluarga dengan mengunjungi Kg Tanjung Belengu, Temerloh, Pahang dengan aktiviti utama membaikpulih Madrasah Kg Tanjung Belengu yang dinaiki banjir. Rakan-rakan budiMaN bersama-sama penduduk kampung telah bergotong royong membersihkan madrasah, membaiki kolah air dan sistem paip mengambil wuduk, mengecat luar dan dalam seluruh madrasah, membaiki serta menggantikan permaidani dan langsir baru. Selain itu peruntukan dari kutipan sumbangan budiMaN juga di salurkan kepada madrasah untuk dibina tangga dan lantai serta tempat mengambil wuduk yang di buat dari tiles yang lebih sempurna. Rakan budiMaN wanita pula bergotong royong bersama penduduk kampung memasak dan menyediakan makanan pagi, tengahari serta minum petang.

Aktiviti Silatulrahim
Selain dari aktiviti amal, rakan-rakan budiMaN juga kerap berkumpul seperti sessi teh tarik dan gathering untuk bertemu sambil mengeratkan silatulrahim serta berbincang untuk menjayakan aktiviti-aktiviti budiMaN. Antara pertemuan-pertemuan besar-besaran yang sempat di lakukan oleh budiMaN ialah :

Sessi pertemuan budiMaN di Satay Hj Samuri, Kajang telah di adakan pada 7hb Disember 2006 yang telah di hadiri oleh beberapa rakan budiMaN dari Kuantan, Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur. Meriah dengan berbagai cerita menarik dan cadangan-cadangan untuk aktiviti-aktiviti budiMaN.

Namun pertemuan pertama budiMaN setelah blog ini di tubuhkan adalah Pregathering 2006 di Mercu Resort Cherating pada 18hb dan 19hb November 2006 dimana lebih dari 35 buah keluarga telah hadir dan menginap bersama-sama serta mengadakan pelbagai aktiviti selama 2 hari 1 malam. Amat meriah dengan kehadiran pelbagai batch dengan acara sukan keluarga, suaikenal keluarga, Jamuan Makan Malam dan mesyuarat pertama budiMaN telah di adakan. Dengan bayaran penyertaan sebanyak RM150 bagi setiap keluarga tanpa mengira jumlah ahli keluarga, yang telah diusahakan oleh Wan Rozain@ Niazor dbS bagi setiap keluarga untuk aktiviti, makanan dan penginapan chalet sebuah untuk setiap keluarga amatlah berpatutan. Dari pregathering 2006 inilah bermulanya aktiviti-aktiviti budiMaN seterusnya sehinggalah ke hari ini.

Sessi pertemuan ke 3 budiMaN ialah dengan mengadakan PotLuck di Rumah Walid @ Syed Hamid diA yang telah berlangsung pada 24hb Disember 2006 di Sungai Buloh yang telah dihadiri lebih dari 15 buah keluarga dengan membawa pelbagai juadah dan makanan. PotLuck tersebut bermula pada pukol 8-00 malam dan berakhir hampir jam 2-00 pagi meriah dengan kehadiran rakan-rakan budiMaN yang bersuaikenal dengan keluarga masing-masing. Ianya juga bersempena dengan meraikan Walid yang berpindah ke rumah baru beliau di Sg Buloh.

Sessi pertemuan ke 4 pula telah berlangsung ala PotLuck juga pada 6hb Januari 2007 di rumah Jepun@ Hairul Salleh dan isterinya Shema dbS di Shah Alam dengan dihadiri juga lebih dari 10 buah keluarga dengan membawa pelbagai juadah dan makanan. Sessi yang bermula lebihkurang jam 5-00 petang itu juga telah berlangsung sehingga jam 12-00 tengah malam dan meriah dengan pelbagai cerita dan kenangan-kenangan lama antara rakan-rakan budiMaN.

Sessi pertemuan ke 5 iaitu PotLuck di Temerloh pula telah berlangsung pada 20hb Februari 2007 yang telah dihoskan oleh saya sendiri dan SK di rumah keluarga saya di Kg Paya Pulai, Temerloh, Pahang. Ianya telah dihadiri lebih dari 20 buah keluarga budiMaN yang datang dari Kuala Lumpur, Temerloh dan Kuantan dengan membawa pelbagai juadah dan makanan serta acara Barbeque. Acara yang bermula lebihkurang jam 4-00 petang itu juga telah berlangsung sehingga jam 1-00 pagi dengan penuh kemeriahan.

Manakala sessi pertemuan terakhir budiMaN secara besar-besaran setakat ini pula telah berlangsung di Komplek Sukan Daerah Maran yang diberi nama Gathering budiMaN 2007 pada 2hb dan 3hb Disember 2007 selama 2 hari 1 malam. Kehadiran rakan-rakan budiMaN dari Kuala Lumpur, Alor Star, Temerloh, Maran dan Kuantan memeriahkan perjumpaan tersebut. Beberapa acara telah di atur seperti Sukan Keluarga, Sukan Antara Kursus, Golf budiMaN, Jamuan Makan Malam dan Karaoke serta Sukaneka Keluarga di Air Terjun Teladas. BudiMaN bersama keluarga menginap di Asrama Komplek Sukan dan Chalet Kelab Golf Maran dalam suasana meriah dan terharu dengan pertemuan beberapa rakan-rakan budiMaN pelbagai batch lebih dari 120 orang yang hadir.

Rumusan
Alhamdulillah, mengenang kembali nostalgia aktiviti-aktiviti budiMaN, begitu mengharukan dengan pertemuan dan kerja-kerja amal yang dilakukan hasil perpaduan dan sumbangan dari ahli-ahli budiMaN sahaja tanpa mengharapkan bantuan atau sokongan dari mana-mana pihak yang lain. Sesungguhnya kerja-kerja amal budiMaN tidak bersandarkan politik, fahaman atau kepentingan individu tetapi di buat dengan niat ikhlas ahli-ahli budiMaN yang ingin bersilatulrahim secara berfaedah dan bermanfaat untuk berbakti kepada masyarakat dan agama.

Dengan harapan yang ikhlas, mungkin sebelum berlabuhnya tirai 2008 ini, suatu pertemuan besar-besaran budiMaN atau suatu kerja amal dapat dilakukan lagi oleh budiMaN sebagai meneruskan tradisi silatulrahim dan berbakti kepada masyarakat yang budiMaN lakukan setiap tahun semenjak 2 tahun yang lepas. Penyatuan, kerjasama, silatulrahim, berbakti dan beramal akan dapat terus di lakukan insyaallah dengan semangat ahli-ahli budiMaN.

2 comments:

Anonymous said...

Salam Budiman,
Memang terharu jugak baca sorotan aktiviti dan gathering yang telah dapat kita jalankan..byk juga pertemuan telah diadakan melalui pelbagai aktiviti..Memang terasa jugak dah lama x jumpa dan makan-makan x kiralah sesama kita ke, bersama yang susah ke, anak yatim ke..meriah gitu..
Tahun ni kat mana pulak cadangannya..Nak buat kat rumah Apamz, susah sikit kot sebab wife dia duk berpantang dan bila cuti sekolah tentu Apamz pun nk jenguk wife dia di Maran..

Ummi ni mengikut aja saranan dan sediakan hulurkan bantuan yang diperlukan, insyaAllah dan yang paling penting, hubby sentiasa bagi green light dan anak2 turut seronok join aktiviti Budiman..

(*psst..Anim, kali ni mesti nak join sekali dgn Anim, dah berapa kali aktiviti kita asyik x bertembung jek! hehe..Kitang jgn lupa bawa Lily, lama jgk x jumpa dia, huhuuu..LK pun kena bw Jun join sekali ni eh! Walid, jgn asyik dtg sorang je tau..! dan ramai lg kaum wanita hendaknya eh!)

Anonymous said...

Salam Ummi,
Saya sebenarnya rasa ada tempat yang sesuai kalau nak buat majlis buka puasa. Komplek Sukan Maran saya rasa sesuai... tengah2 antara KL dan Kuantan dan ada kemudahan. Nak buat qiamulai pun boleh. Makanan kita boleh catering..murah skit...sembahyang terawih pun boleh.. sempurna skit....hostel pun ada kalau tak mahu balik dan nak terus sahur sekali. Nak panggil anak yatim pun boleh... contoh kalau takat Darul Izzah ada 30 anak yatim dan belanja makan sekepala RM10...baru RM300 jumlahnya...insyaallah kalau kumpul sikit2 seorang...boleh dapat dari kengkawan budiMaN. Nak buat stail PotLuck pun boleh.

Saya nak suarakan kat blog sebenarnya tak berapa berani sebab saya tak ada upaya untuk memulakan inisiatif ini akibat kesibukan tugas.

Dok tunggu kengkawan buat cadangan pun takde jugak... kalau ada pun saya tahu balik-balik dari orang yang sama... sebenarnya saya kasihan sebab orang yang sama terpaksa beriya2 dan bekerja keras sedangkan kerjanya bukan mudah dan perlu penuh dengan kesabaran.

Jadi terpulanglah kepada feedback kengkawan semua... Ramadhan pun cuma tinggal 3 minggu lagi... baki wang sumbangan pun ada RM410 ... kalau disedekahkan dalam Ramadhan tentunya pahala berlipat kali ganda.

Saya rasa mana rakan2 yang lapang tu dan tak pernah menganjurkan majlis sebegini dengan budiMaN, harap sila2 kanlah... kontek saya tru email dan nyatakan perancangan anda dan insyaallah akan saya siarkan dan bantu menerusi blog ini dan lain2 cara yang terdaya.

Tapi kalau tiada juga Ummi, then terpaksa kembali kepada orang-orang yang sama lah untuk minta bantuan menganjurkannya(saya panggil Kesatria budiMaN... ada 4 org yang saya sanjung selalu... U,B,K dan S kerana setiap aktiviti hasil usaha mereka ini)... nak buat camno... terima je la.