Saturday, August 30, 2008

bReakiNg neWS 3 - apAMz

Miza telah selamat melahirkan baby perempuan sebentar tadi ( waktu yang tepat belum dapat disahkan dengan Apamz lagi ). Kedua-dua emak dan baby di beritakan dalam keadaan selamat dan sihat. Syukur alhamdulillah, dapat juga Apamz dan Miza baby perempuan untuk jadi penyeri keluarga mereka. Ummi sekeluarga serta Kitang sekeluarga dalam perjalanan semasa artikel ini ditulis untuk menziarahi Apamz dan Miza serta Baby Merdeka di HTAA pada lewat petang nanti. Terima kasih atas keprihatinan sebilangan kengkawan budiMaN dan doa yang dipanjatkan sehingga semua ini berjalan dengan selamat dan sejahtera. Insyaallah, berita lanjut akan terus disiarkan apabila gambar dan informasi terkini di perolehi.

bReakiNg neWS 2 - apAMz

Sebentar tadi Apamz ada sms kepada saya memberitahu bahawa Miza, insyaallah akan bersalin dalam pukol 2 petang nanti. Semoga semuanya dipermudahkan, selamat dan sihat. Harap kengkawan semua dapat mendoakan untuk Apamz dan Miza sekeluarga.

bReakiNg neWS - apAMz

Kira-kira jam 12-30 tengahmalam tadi Apamz ada sms saya memberitahu bahawa Miza, isteri beliau telah di masukkan ke HTAA sebentar tadi dan kira-kira jam 1-30 pagi tadi, Apamz mengesahkan bahawa Miza akan bersalin dalam masa terdekat ini. Namun sehingga artikel ini ditulis, masih tiada lagi khabar terbaharu dari Apamz. Ummi pun ada sms kepada saya kira-kira jam 2-30 pagi memberitahu bahawa beliau telah mendapat berita tersebut dan akan menziarahi Apamz pagi ini. Apamz juga meminta kawan-kawan mendoakan agar Miza dan baby yang akan di lahirkan nanti selamat, sihat dan dipermudahkan. Sama-sama kita tunggu kelahiran BABY MERDEKA Apamz.

Thursday, August 28, 2008

beRitA aPaMZ

Pagi tadi Apamz ada menelefon saya untuk memberitahu bahawa pada hari Rabu (semalam) sewaktu beliau berniaga di pasar malam, seorang rakan budiMaN batch Jan 86 telah bertemu beliau. Menurut Apamz, nama rakan tersebut ialah Syamril telah bertemu dan bertanyakan khabar beliau sekeluarga. Selain itu Syamril juga turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM500 hasil sumbangan beberapa rakan-rakan batch beliau yang berada di Kuantan. Terima kasih kepada Syamril dan rakan-rakan yang telah menunjukkan keprihatinan kepada Apamz sekeluarga dan bertemu sendiri dengan beliau. Apamz juga ada memberitahu bahawa Miza akan menjalani pemeriksaan di HTAA pada 9hb September ini dan hasil pemeriksaan tersebut akan menentukan samada Miza akan dimasukkan ke wad kembali untuk melahirkan anak mereka nanti. Sama-samalah kita berdoa semoga Apamz sekeluarga akan sihat dan sejahtera dan semoga Miza dipermudahkan apabila bersalin nanti.

Wednesday, August 27, 2008

tabuNG aMaL budiMaN

Isnin lepas, Bendahari budiMaN, saudara Kitang ada menghubungi saya memberitahu bahawa sehingga hari Isnin, jumlah sumbangan di dalam akaun Tabung Amal budiMaN berjumlah RM610 hasil sumbangan daripada beberapa rakan budiMaN. Namun begitu seperti yang dinyatakan oleh Kitang, penyumbang telah meminta/berhajat supaya sejumlah tertentu di sumbangkan kepada Apamz dan penoreh getah. Oleh itu seperti yang diminta oleh penyumbang tersebut, sebanyak RM400 akan di sumbangkan kepada keluarga Apamz manakala RM100 untuk keluarga penoreh getah. Kitang memberitahu berkemungkinan hujung minggu ini beliau akan menyampaikan sumbangan tersebut terus kepada Apamz dan penoreh getah apabila beliau menziarahi mereka nanti. Terima kasih kepada penyumbang dan Kitang.

Sunday, August 24, 2008

beRitA laGi

1. Semalam 23hb Ogos 2008, Man Troq sekeluarga telah berangkat ke Jakarta untuk bertugas selama 3 tahun di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta. Pada Selasa 19hb Ogos 2008, saya bersama beberapa rakan-rakan budiMaN seperti Walid, Fadil Sutok, penoreh getah (kebetulan beliau datang untuk membuat pendaftaran dengan Petronas Dagangan di KLCC) dan Lan Kentei telah meraikan Man Troq dalam satu acara perpisahan di Kuala Lumpur. Kitang yang pada mulanya telah bersetuju untuk hadir tetapi terpaksa balik ke Temerloh di saat-saat akhir. Kami bersembang hampir 5 jam sebelum kami semua mengucapkan selamat kepada Man Troq sekeluarga semoga penghijrahan ke Jakarta menjadi titik permulaan kepada perubahan kehidupan yang lebih sempurna dan sejahtera.

2. Pada Khamis malam juga saya sekeluarga telah pulang ke Temerloh untuk menghadiri kenduri kahwin cucu kepada datuk saudara saya di Paya Pulai pada hari Sabtu. Sempat menjenguk untuk mengetahui keadaan rakan-rakan lama di Kampung Bukit Kelulut. Nampaknya ramai yang sedang sibuk berkempen sempena pemilihan cawangan dan bahagian UMNO yang sedang berlangsung sekarang. Macam-macam cerita dan meriah juga dengan pelbagai cara kempen walaupun di Temerloh. TokEmpat, Ketua Kampung memang kenyanglah di hidangkan dengan berbagai-bagai acara dan hiburan. Ahli Majlis pun ada sekali. Banyak wang terpaksa di belanjakan untuk berkempen merebut pelbagai jawatan.

3. Semalam juga iaitu hari Sabtu, Rumah Anak Yatim Darul Izzah di Temerloh mengadakan gotong royong membersihkan kawasan kerana Pondok Orang-Orang Tua yang terletak berhadapan bangunan Darul Izzah telah siap untuk diduduki dan persediaan untuk kedatangan warga tua yang menginap di situ perlu dilakukan. Makcik (emak tiri saya) saya sendiri membeli sebuah pondok di situ berharga RM20 ribu sebuah dengan tujuan untuk di wakafkan suatu hari nanti. Orang-Orang tua yang akan menginap di situ akan mendalami pengajian agama di surau yang telah siap di bina di atas tanah yang diwakafkan oleh Tuan Haji Idris dan Tuan Haji Abdul Wahab. Ianya serupa seperti konsep rumah pondok Orang-Orang Tua di Pangsenam, Temerloh cuma di Pangsenam pondoknya sebuah-sebuah manakala di Darul Izzah dibuat dalam bentuk rumah teres. Di Pangsenam, makanan terpaksa di sediakan sendiri oleh orang-orang tua manakala di Darul Izzah, ianya akan di masak oleh pihak sekolah. Banyak pihak menyampaikan sumbangan di Pangsenam manakala di Darul Izzah masih mengharapkan sumbangan orang ramai.

Tuesday, August 19, 2008

baBy

Baru-baru ini saya sekeluarga menziarahi adik SK yang telah mendapat baby baru. Baby baru itu merupakan anak sulung adik SK dilahirkan di Pusat Perubatan Naluri Wangsa Maju. Kita semua di budiMaN pula mungkin ternanti-nanti baby baru dari Miza isteri Apamz yang bakal di lahirkan tidak lama lagi. Tadi saya cuba menghubungi Apamz tetapi mungkin sudah terlalu lewat. Beliau yang biasanya baru sampai ke rumah dari berniaga di pasar malam tidak menjawab panggilan saya. Saya ingatkan nak bersembang bertanya khabar beliau dan Miza sekeluarga serta bertanya-tanya persediaan kelengkapan baby yang beliau telah ada. Hasrat saya mungkin boleh membantu beliau jika masih ada kelengkapan yang belum dibeli lagi. Saya percaya dengan keadaan beliau, masih banyak kelengkapan baby yang tiada. Insyaallah mungkin esok pagi atau tengahari saya akan bertanyakan beliau lagi. Kalau ada kengkawan lain yang telah bertanya kepada Apamz berkenaan perkara ini, haraplah dapat memberitahu saya supaya kita boleh coordinate sumbangan yang diperlukan Apamz nanti.

Tabung Amal budiMaN yang telah dilancarkan pada 27 Jun 2008 yang lalu setakat ini telahpun memperolehi sumbangan berjumlah RM850. Sebanyak RM300 telahpun di sumbangkan kepada Apamz semasa isterinya Miza di masukkan ke Hospital HTAA tempohari dan kini baki Tabung Amal budiMaN berjumlah RM550. Ingin saya tegaskan, setakat ini tiada sumbangan lagi di berikan kepada penoreh getah atau program amal yang lain dari Tabung budiMaN.

Cuma saya difahamkan ada penyumbang individu yang telah menghubungi saya dan saya berikan nombor telefon penoreh getah untuk beliau hubungi sendiri telahpun membuat sumbangan individu kepada penoreh getah berjumlah RM300. Penoreh getah memberitahu saya perkara ini dan memanfaatkannya dengan membeli barangan keperluan dapur untuk makanan keluarganya dan selebihnya di simpan untuk keperluan anak-anak beliau nanti. Perbelanjaan lain yang mana beliau datang ke KL dan sebagainya masih lagi atas ihsan beberapa rakan-rakan di KL untuk tambang bas dan makan minum serta tempat tidur. Kedatangan beliau ke KL pun adalah pelawaan sebilangan rakan-rakan budiMaN bagi membantu beliau mendapatkan pekerjaan dan sedikit peluang perniagaan. Moga-moga niat ikhlas kengkawan budiMaN yang ingin membantu beliau beroleh kejayaan.

Masih banyak lagi kerja-kerja amal selain sumbangan kepada rakan budiMaN yang memerlukan di harap dapat dilaksanakan terutama menjelang Ramadhan nanti. Untuk itu saya dengan tidak pernah merasa penat dan jemu dan malu, merayu kepada rakan-rakan budiMaN semua supaya sudilah kiranya menghulurkan sumbangan setakat mana yang termampu. Ingatlah kepada Apamz, Penoreh Getah dan Maahad Tahfiz Darul Fikri yang ketiadaan makanan. Memberi makan kepada mereka yang berpuasa di bulan Ramadhan nanti tak perlulah saya huraikan kebaikan yang akan diperolehi.