Tuesday, January 30, 2007

pROjeK meMbaNTu maNGsa baNJiR jOhOr - siRi 7




Semalam petang setelah bergolfing dengan Antu dan Che Dat di Bangi Golf Resort, saya sempat berbincang dengan Che Dat berkenaan eM2bJ yang telah dirancang untuk diadakan pada hujung minggu ini. Setelah berbincang dengan Che Dat, saya terus pula menemui Kitang dan beberapa kawan-kawan kita yang telah menunggu di Sri Petaling untuk perjumpaan yang telah diatur oleh Kitang pada sebelah pagi semalam. Walaubagaimanapun kerana beberapa urusan Che Dat dan Antu tidak dapat menyertai perbincangan yang di adakan semalam di sebuah Restoran Mamak di Sri Petaling.

Saya sampai di Sri Petaling kira-kira jam 9-30 malam dan disana telah sedia menunggu Kitang, Nor Anita dan Kudeng. Tidak berapa lama kemudian Syed Hamid dan Fadil Othman juga turut serta sampai. Malangnya FG selaku Ketua Penyelaras eM2bJ tidak menjawab panggilan telefon dan terus tidak menghadirkan diri langsung.

Jadi kami berenam pun berbincang lah. Setelah semuanya mengeluarkan pandangan masing-masing maka hasilnya semua bersetuju untuk mengadakan eM2bJ seperti cadangan di bawah:

1. eM2bJ akan dilaksanakan dengan cara mengadakan sukaneka kanak-kanak dengan kerjasama Pejabat Belia dan Sukan Batu Pahat di salah sebuah Pusat Pemindahan Banjir di Batu Pahat yang akan dipilih mengandungi lebihkurang 30 keluarga mangsa banjir.

2. Sumbangan pakaian yang telah dikutip di Kuantan akan disalurkan juga kepada mangsa banjir sementara sumbangan pakaian dan barangan lama di Kuala Lumpur tidak akan diadakan memandangkan sambutan dan respon yang amat menyedihkan daripada kengkawan.

3. Sumbangan tunai daripada beberapa individu yang terkumpul setakat ini akan digunakan untuk membeli barangan yang akan di sumbangkan kepada mangsa banjir nanti.

4. Oleh kerana keperluan barangan seperti makanan dikatakan sudah terlampau banyak terkumpul di Pusat-Pusat Pemindahan Banjir, maka perbincangan semalam bersetuju untuk memberikan sumbangan berbentuk Kain Pelikat, Kain Batik, Sejadah, Al-Quran, Telekung dan beberapa barangan yang akan di fikirkan bersesuaian dengan kutipan yang ada. Setiap keluarga mangsa banjir akan menerima satu bungkusan mengandungi barang-barang tersebut nanti.

5. Satu acara sukaneka kanak-kanak seperti permainan dan pertandingan lukisan dan mewarna akan diadakan di Pusat Pemindahan Banjir itu nanti dengan kerjasama Pejabat Belia & Sukan Batu Pahat yang akan diuruskan oleh Che Dat. Kita akan menyediakan hadiah-hadiah untuk setiap acara permainan dan pertandingan sebagai satu cara sumbangan kepada kanak-kanak serta memastikan semua kanak-kanak akan menerima sumbangan. Sumbangan hadiah itu nanti ialah seperti peralatan alat tulis sekolah, pensil warna, beg sekolah, buku rampaian dan sebagainya. Kita akan turut terlibat sebagai pembantu kepada Jabatan Belia & Sukan dalam mengendalikan acara itu nanti disana.

6. Acara penyerahan sumbangan dan sukaneka itu nanti berkemungkinan akan diadakan pada pukol 2-30 petang 3hb Februari 2007 bertempat di Pusat Pemindahan Banjir yang akan dipilih nanti di Batu Pahat. Pada hari itu konvoi BUDIMAN (Budak ITM Pahang) akan berkumpul di Kedai Mydin Nilai dan dijangka akan bertolak ke Batu Pahat pada jam 10-30 pagi 3hb Februari 2007. Kita menjangkakan perjalanan tersebut akan mengambil masa 2 1/2 jam dan akan sampai di Batu Pahat pada lebih kurang jam 1-00 tengahari. Setakat ini yang telah mengesahkan penyertaan untuk konvoi nanti ialah :

- Bilal dan keluarga
- saya dan keluarga
- Kitang
- Syed Hamid
- Nor Anita
- Fadil Othman
- Kudeng

Sementara Che Dat akan menunggu kita semua di Batu Pahat dan itulah antara sebilangan kecil antara kita setakat ini yang sudi menyertai konvoi nanti. Kepada mereka yang sudi membuat kerja-kerja kebajikan sebegini, marilah kita bersama-sama nanti. Luangkanlah satu hari ini untuk mengejar pahala akhirat yang berkekalan dan tinggalkanlah kerja-kerja dunia yang sementara dan penuh mainan ini. Hanya untuk satu hari sahaja. Mereka yang pergi ini nanti akan turut mengendalikan acara penyerahan sumbangan serta membantu dalam acara sukaneka. Di fahamkan kebanyakan sukarelawan yang ditempatkan di Pusat-Pusat Pemindahan Banjir kini telah keletihan akibat terlalu lama berada di situ dan amat mengharapkan usaha dan bantuan dari kita semua. DRESS CODE : Semua peserta yang akan menyertai konvoi BUDIMAN nanti di galakkan memakai T'shirt berkolar putih plain dengan seluar gelap samada jeans atau khakis biru gelap atau hitam. Ini supaya menampakkan kita dalam satu kumpulan akan lebih terserlah.

7. Acara penyerahan sumbangan dan sukaneka tersebut di jangka selesai selewat-lewatnya dalam pukol 6-00 petang dan selepas itu konvoi akan bertolak balik ke Kuala Lumpur.

8. Sehingga tengahmalam semalam sumbangan tunai terkumpul hanyalah sebanyak RM1,400 dan sumbangan tunai amatlah diperlukan lagi bagi menampung cadangan perbelanjaan yang akan di lakukan nanti. Ini kerana kita memerlukan sekurang-kurangnya sebanyak RM3,000 bagi melaksanakan tujuan ini dan masa amatlah suntuk bagi kita. Ramai lagi antara kengkawan kita yang masih belum menyumbang dan saya amatlah berharap dalam bulan Muharam ini agar Allah swt membuka pintu hati anda semua untuk menyumbang dan sama-sama merasakan belas ihsan dan kepahitan mangsa-mangsa banjir di Johor. Kesengsaraan yang ditanggung oleh mereka bukanlah sedikit, si bapa hilang punca pendapatan, hilang harta benda, anak dan isteri harus di bela, persekolahan anak-anak terganggu, makan dan minum tidak menentu, tidor dan jaga tak seperti dulu. Bukalah pintu hati anda semua, sumbangkanlah mana yang termampu, mana yang terdaya, masa ini masa mereka, masa kita tak siapa yang tahu. Sumbangan anda nanti yang akan diberikan dalam bentuk sejadah dan Al Quran akan berkekalan pahalanya selagi ianya di gunakan, selagi Al Quran itu dibaca sehingga ke akhir hayatnya. Kawan-kawan, rebutlah tawaran dan ganjaran pahala ini, bukan selalu ianya menjelma, bukan selalu ianya datang.

2 comments:

Anonymous said...

Tersentuhnya hati aku membaca artikel ini...ini masa mereka...masa kita,mudah2an ada insan yg datang membantu/menghulurkan belas ihsan...

Anonymous said...

Aku dah confirmkan dgn Pegawai di BP kita akan ke sana pd 3/2 seramai 20 org.Lokasi kita Sri Medan.Sumbangan kita utk 30 keluarga.Program kita adakan pertandingan mewarna/melukis utk pra sekolah n sek rendah.Kita sediakan 10 hadiah n 100 kotak pensil warna.Kemudian sampaikan sumbangan utk 30 keluarga n gotong royong membersih rumah bersama sukarelawan Rakan Muda.Peralatan dah ada.Lepas tu kita balik.Semoga ramai lagi RODONGS yg akan bersama dan sumbangan wang amat diperlukan lagi supaya lebih byk barang blh diberi kpd saudara kita di BP