Pagi tadi dalam perjalanan ke Selayang kerana beberapa urusan kerja, Che Dat telah menelefon saya untuk memberitahu bahawa jadual seperti perancangan kita di artikel 10 dibawah telah disahkan. Sebagai tambahan maklumat terkini pula adalah :
1. Program bersama-sama Jabatan Belia Dan Sukan Batu Pahat di Pusat Pemindahan Banjir Sri Medan akan dimulakan sekitar jam 10-00 pagi iaitu apabila konvoi kita sampai. Oleh kerana itu kita sememangnya terpaksa bermula awal pagi dari Kuala Lumpur seperti rancangan iaitu bertolak dari Tol Sg Besi sekitar jam 7-00 pagi. Semua kawan-kawan yang menyertai konvoi di minta keluar rumah awal dan kalau terpaksa nampaknya kena lah sembahyang suboh di mana-mana dalam perjalanan itu. Perjalanan ke Exit Yong Peng Utara mengambil masa 2jam setengah dan dari Tol Yong Peng Utara kita akan bertemu konvoi Kuantan terdiri dari Bilal dan Puan Ummi dan keluarga. Dari Tol Yong Peng Utara ke Sri Medan perjalanan sejauh 15km pula untuk ke Pusat Pemindahan Banjir tersebut. Eloklah kita bermula awal kerana pengalaman seperti di Pregat dulu perjalanan dari KL ke Kuantan mengambil masa 6 jam bila berkonvoi ramai-ramai macam tu padahal sepatutnya dalam 3 jam sudah sampai ke Kuantan.
2. Minuman dan kuih-kuih, makan tengahari dan minum petang akan disediakan oleh Jabatan Belia & Sukan Batu Pahat dan kita mungkin akan membayar mengikut kiraan kepala yang akan diberitahu nanti. Oleh itu sesiapa yang namanya telah disenaraikan dibawah untuk pergi atau ada sebarang perubahan sila beritahu saya dengan kadar segera. Sesiapa yang nak menyertai konvoi ini juga diminta membuat keputusan dengan segera dan memberitahu saya supaya penyediaan makanan dan minuman nanti dapat disediakan untuk semua peserta konvoi. Makanan dan minuman itu juga nanti adalah ala kadar sahaja dan mungkin juga nasi bungkus jadi harap semua peserta tak banyak cikadak sangat lah.
3. Jumlah keluarga mangsa banjir yang akan kita ziarahi nanti berjumlah 30 keluarga dan semuanya adalah keluarga beragama Islam.
4. Acara gotong royong yang akan diadakan pada sebelah petang bersama-sama Team Rakan Muda Daerah Batu Pahat akan membersihkan kawasan surau di sebuah kampung berdekatan. Peralatan pembersihan akan disediakan oleh Jabatan Belia & Sukan BP.
5. Untuk makluman semua kawasan gotong royong masih lagi dalam keadaan becak dan berlumpur, jadi bawalah pakaian yang bersesuaian untuk kerja-kerja pembersihan tersebut. Walaubagaimanapun pakaian konvoi di sebelah pagi adalah tetap seperti pakaian yang digalakkan iaitu T'Shirt Putih Plain dengan seluar jeans/khakis biru gelap atau hitam. Dinasihatkan membawa tuala dan pakaian gantian kerana mungkin selepas gotong royong ada yang nak mandi dan bertukar pakaian dsb.
6. Sebenarnya kalau kita ingin bermalam di Melaka, rasanya tempat Che Dat di Komplek Sukan Alor Gajah mempunyai asrama yang boleh digunakan. Siap ada Futsal lagi katanya. Tapi terpulanglah kepada kawan-kawan kerana maybe ramai yang nak balik juga selepas selesai eM2bJ di Sri Medan, Batu Pahat nanti. Kalau nak tido Melaka ramai-ramai pun gua tak kisah beb.
7. Pembelian barangan untuk sumbangan keluarga dan hadiah serta sumbangan untuk kanak-kanak akan digunakan dari duit sumbangan tabung eM2bJ yang setakat ini berjumlah RM1,770. Sumbangan barangan keluarga akan dibeli dari Kedai Mydin Nilai untuk 30 keluarga dan hadiah pertandingan mewarna sebanyak 10 hadiah manakala sumbangan alat tulis dan peralatan sekolah adalah untuk 100 kanak-kanak di sana nanti. Saya dengan kawan-kawan akan cuba mendapatkan kewangan yang secukopnya bagi mengadakan barang-barang tersebut. Sumbangan untuk keluarga dalam bentuk barangan adalah seperti sejadah, Al-Quran, Telekung, kain pelikat dan kain batik adalah sebagai keutamaan.
Setakat ini itulah perkembangan terkini berkaitan eM2bJ yang akan kita laksanakan insyaallah pada 3hb Februari 2007 nanti. Kepada kawan-kawan yang belum menyumbang silalah membuat sumbangan dengan kadar segera dan sumbangan akan ditutup pada jam 5-00petang 2hb Februari 2007. Kepada sesiapa yang nak menyertai konvoi amatlah di alu-alukan kerana kita masih kekurangan peserta untuk konvoi. Terkini Clark Gable dan Kudin Mekanik akan menyertai konvoi ke Sri Medan.