Tinggal satu hari saja lagi dan kita semua akan melangkah ke Tahun Baru 2007. Bermacam-macam peristiwa yang berlaku sepanjang tahun 2006 kini tinggal kenangan yang akan menjadi satu lagi titik sejarah dalam kehidupan kita semua. Sesungguhnya masa berlalu begitu pantas dan tahun 2006 telah melakar bermacam-macam catatan sejarah bukan sahaja kepada negara tetapi juga kepada individu-individu seperti kita semua. Antara peristiwa-peristiwa menarik kepada kita disini ialah terciptanya blog Budak ITM Pahang bermula pada 28hb September 2006 yang mana setelah 21 tahun kita semua terpisah, kini kita di satukan semula menerusi blog dan alam siber. Kita juga berjaya mengadakan satu acara pregathering bertempat di Mercu Resort Cherating, Kuantan, Pahang dimana lebih kurang 30 keluarga telah berjaya berkumpul selama 2 hari 1 malam. Kita juga di kejutkan dengan berita sedih dengan pemergian isteri Razani @ Bulu yang mengidap demam denggi berdarah. Kita juga mempunyai beberapa kawan-kawan yang telah menukar haluan kehidupan dengan berhenti kerja dan bekerja di tempat baru atau memulakan perniagaan sendiri yang mana kegetiran dan cabaran adalah permulaan dalam mengharungi tahun 2007 yang mendatang. Kita juga mempunyai sahabat yang akan memulakan tahun baru ini di rumah baru. Kita juga ada sahabat yang akan memulakan tahun baru dengan kehadiran baby baru dan sebagainya. Sesungguhnya dengan peningkatan kos taraf hidup yang begitu mendadak dalam tahun 2006 telah memberikan kita satu jalur kehidupan yang begitu mencabar untuk kita melangkah lebih jauh ke tahun 2007 nanti.
Hari Raya Eidul Adha akan di sambut esok 31hb Disember 2006. Para jemaah haji yang kini telah mula berkumpul di Arafah dan kita di sini akan meraikannya dengan acara-acara kurban dan sembahyang Hari Raya. Ramai di antara kita akan meraikannya samada dengan pulang ke kampung halaman masing-masing atau di rumah sendiri. Inilah peluang kita untuk mengunjungi ibubapa, adik beradik, saudara mara dan juga rakan taulan di hari yang mulia ini.
Sementara itu pada hari Rabu nanti iaitu 3hb Januari 2007, sessi persekolahan yang baru akan bermula semula. Persediaan untuk anak-anak ke sekolah dengan pakaian, alat-alat tulis, peralatan seperti bag sekolah, kasut dan sebagainya sudah tentulah menjadi perkara-perkara yang akan menjadi tumpuan kita ibubapa semua. Selain itu persediaan untuk membayar yuran sekolah juga harus di sediakan di samping perbelanjaan lain seperti wang saku, yuran bas sekolah, yuran sekolah agama, yuran tuition dan sebagainya. Ada anak-anak kita juga akan menghadapi peperiksaan-peperiksaan besar seperti UPSR, PMR dan juga SPM pada tahun 2007 nanti. Oleh itu tumpuan dan persediaan yang lebih rapi perlu di beri perhatian yang besar oleh kita untuk tahun 2007 nanti.
Walaubagaimanapun, dengan peristiwa-peristiwa sepanjang tahun 2006 dan juga tahun-tahun sebelumnya yang telah menjadi titik kenangan buat kita semua sudah tentunya akan lebih mendewasakan kita dalam tindakan dan pemikiran untuk menjadi lebih cemerlang lagi di tahun-tahun yang mendatang ini. Dengan adanya blog ini dan terjalinnya semula ikatan persahabatan antara kita semua di harap akan memberi lebih banyak manfaat daripada hanya bersembang di blog dan bertemu bual kosong. Bunga-bunga kemanfaatan dan kematangan pemikiran telah mulai tersemai di sini dan di harap ianya akan terus berkembang mekar dipupuk dengan kasih sayang persahabatan dan dibajai dengan idea-idea innovatif untuk kita semua bersama-sama bergerak maju dan terus maju, Insyaallah.
No comments:
Post a Comment