Semasa di LKPP, aku ditugaskan untuk menguruskan usahasama antara LKPP dengan pelabur2 dari luar negeri yang mengadakan joint venture dengan LKPP. Sempat jugalah aku merasa ke luar negeri beberapa kali semasa bertugas tu. Bila aku berenti dari situ pun aku recomendkan Syed Hamid gantikan tempat aku dan terus dia dapat peluang pergi Canada.
So masa kat LKPP tu aku ditugaskan bersama seorang rakan aku untuk menubuhkan satu anak syarikat LKPP yang akan berusaha sama dengan seorang pelabur dari Taiwan. So aku pun dengan member aku tu start dari mula la, buat ofis dan kami di berikan sebuah kilang LKPP di Kaw. Perindustrian Semambu berharga RM2.5 juta beserta dengan 2 buah ladang kelapa sawit LKPP dan ladang sayur2an seluas 1000 hektar di Lepar sebagai menjana pendapatan sementara. Pening jugak aku. So aku bincang dengan member aku tu untuk ambik staff dan memulakan pengurusan pejabat yang sempurna. Kebetulan aku dapat tau masa tu Apamz tengah cari kerja, so tanpa berlengah lagi aku terus menghubungi dia dan suroh dia datang kerja, tak payah interview apa pun. So disitu la aku start kenal Apamz dengan lebih rapat.
So aku akhirnya duduk satu rumah bujang dgn Apamz dari flat kat Indera Mahkota sampai la kat Cenderawasih. Apamz ni memang kawan yang baik dan sepanjang perkenalan aku dengan dia memang aku tak pernah lihat atau tengok dia berkelakuan tak baik dan sentiasa bersedia menolong sesiapa sahaja. Bukan aku nak promote dia giler2 tapi itulah hakikat yang sebenarnya. Apamz ni memang seorang yang lurus dan baik hati. Tak percaya boleh tanya kengkawan serumah dengan aku dulu seperti Kla-Kla, Ismail Rodzi serta kawan2 yang lain seperti Syed Hamid, Man Teruk, KB, Bob MG dan lain2. Masa kerja kat LKPP ni juga aku sempat bagi bisnes kat Hantu Raya sampai dia kata dia dapat beli kereta dan mungkin dari situ lah bila balik USA pun dia terus nak berniaga dan tak nak kerja makan gaji.
So takdirnya lepas tu aku pulak dapat kerja kat Badan Pencegah Rasuah kat Kuala Lumpur dan aku pun nak bernikah masa tu dan bini aku duduk kat KL, so aku terpaksa tinggalkan Kuantan dan berhijrah ke Kuala Lumpur. Apamz masih bekerja kat LKPP dan aku hanya berhubung dengannya sesekali sahaja selepas tu. Syed Hamid menggantikan tempat aku kat LKPP tu dan dia banyak dengan Syed Hamid selepas tu. Tapi Apamz ni sempat la jadi pengapit aku semasa aku bernikah dengan bini aku dulu pada tahun 1991.
Kemudian aku dengar Apamz pun beritahu aku dia dah ada awek dan dia nak bernikah jugak tak lama lepas tu. Nama awek tu Miza, masa tu kerja kat Bakery tingkat bawah Komplek Teruntum tak silap aku. So Apamz pun bernikah dengan Miza. Aku pergi kenduri dia bernikah tu, masa tu buat kat rumah ayah dia kat kuarters depan Hospital Pekan. Aku pergi dengan bini aku, anak pompuan aku dan Arfah Zakiah, tumpang aku dari KL.
Lepas tu aku kurang mendengar cerita dari Apamz, maybe sibuk dengan hal masing2 membuat kami jarang berhubung. Cuma aku dapat berita bila berhubung sekali sekala, dia dapat anak pertama, lelaki dan kemudian dia dapat anak ke 2.
Apamz pun sebenarnya jarang bercerita pasal kehidupannya dengan kengkawan. Sesuai dengan sifat2 humble dan rendah dirinya, aku mendapat cerita yang amat menyedihkan kemudiannya dari seorang staff LKPP bahawa isteri Apamz, Miza, mendapat sakit lumpuh setelah melahirkan anak yang ke 2. Dan anak yang ke2 nya juga mengalami penyakit down sindrom dan masalah penglihatan. Anaknya yang ke2 sejak lahir terpaksa memakai contact lenses yang mempunyai power sebanyak 3000.
Pada masa itu aku terus menghubungi Apamz dan baru lah aku tahu kesulitan yang dialaminya. Aku rasa ianya berlaku kira2 8 atau 10 tahun yang lepas. Apamz pada masa tu bekerja di sebuah syarikat di Pelabuhan Kuantan. Apamz berusaha bermacam2 untuk mengubati isterinya yang sakit disamping menjaga anaknya yang juga tidak sihat. Perubatan tradisional, perubatan moden semuanya dicuba oleh Apamz. Perubatan di Pahang, Terengganu, Kelantan, Selangor, Kuala Lumpur, semuanya telah dicuba oleh Apamz.
Miza, isteri Apamz pada mulanya hanya lumpuh sedikit sahaja dan masih lagi boleh bergerak secara mengensot di lantai dan menjaga anak2nya. Tapi lama kelamaan, Miza menjadi lumpuh terus dan tak berdaya untuk bergerak lagi. Percakapannya juga tidak jelas dan sukar difahami. Pernah seorang staff aku masa di LKPP berkata dia menitiskan airmata kerana pernah terserempak dengan Apamz semasa bulan puasa di Komplek Teruntum. Apamz mendukung isterinya sambil memegang anak2nya untuk pergi membeli baju raya di Komplek Teruntum. Sebak rasanya kata staff aku tu, seorang suami, seorang ayah begitu tabah dan sabar dan masih lagi sanggup membawa isterinya yang tak sihat serta anak2nya berjalan2 seperti orang biasa untuk membeli barangan untuk mereka.
Begitu besar pengorbanan Apamz, sehinggakan dia sendiri berasa segan untuk meneruskan khidmat dengan syarikatnya di Pelabuhan Kuantan yang banyak bertolak ansur dengannya kerana terpaksa selalu balik untuk menjaga isteri dan anak2nya yang tidak sihat. Akhirnya Apamz mengambil keputusan untuk berhenti dari syarikat tersebut kerana berasa serba salah dengan kebaikan yang ditunjukkan oleh syarikat itu.
Dengan pertolongan Syed Hamid yang mencadangkan Apamz berniaga di pasar malam dengan menjual minuman, Apamz pun memulakan perniagaan pasar malamnya. Sebelum ini beliau dapat meninggalkan isteri dan anak2nya dirumah kerana keluar berniaga kerana anaknya yang sulong boleh menjaga isteri dan anaknya yang ke2. Tapi kini anak sulongnya berjaya mendapat bantuan ke sekolah asrama penuh di Kuantan dan Apamz kini tinggal 3 beranak sahaja dirumah.
Oleh itu Apamz terpaksa membawa isteri dan anaknya yang tidak sihat tadi berniaga di pasar malam dari pukol 4 petang sehingga pukol 10 malam. Isteri dan anaknya terpaksa duduk di dalam van sementara Apamz berniaga. Kalau panas, berpanas lah mereka, kalau hujan, berhujan lah mereka. Kalau lapar, disitu lah mereka makan malam dan disitu lah kehidupan mereka demi mencari sesuap nasi.
Apamz pernah memberitahu aku, kalau hujan kuranglah pendapatannya terutama sekali di musim tengkujoh antara bulan2 November dan Disember dimana pada masa tu lah perbelanjaan kita untuk anak2 ke sekolah dan sebagainya harus di cari. Namun Apamz tetap gigih demi isteri dan anak2nya dan dia sentiasa di sisi mereka yang amat memerlukan dirinya.
Dan Apamz tak pernah menyuarakan kesusahannya kepada kita semua, kepada kawan2nya yang pernah sekali makan, minum dan tidur di ITM dulu. Kesusahan dan ketabahannya ditanggung sendiri kerana memang sifatnya dari dulu tidak pernah menyusahkan kawan2. Apamz lah yang menguruskan segala2nya, urusan rumah tangga, memasak, membasuh pakaian, memandikan isteri dan anak2, menyuapkan makanan, persediaan untuk berniaga.
Oleh itu kepada kawan2 yang pernah mengenali Apamz, marilah kita sama2 menjengok dan berjumpa dengannya, bertanyakan khabar, berjumpa keluarganya. Mungkin kadang2 kita terlupa kita pernah mempunyai sahabat bernama Apamz. Aku rasa Apamz tak pernah mengharapkan apa2 dari kengkawan tapi jengoklah, tanyakanlah khabar, berikanlah dia semangat dan supaya dia tahu bahawa kawan2nya masih mengingatinya, rasanya itu semua sudah cukop untuk Apamz.
Buat Apamz, maafkan aku kerana berkongsi cerita ini dengan kawan2 kita semua. Aku cuma nak mereka ingat bahawa mereka mempunyai sahabat bernama Norhisham dan aku nak mereka tahu bahawa aku dan isteriku menganggapmu sebagai KAWAN, SUAMI DAN AYAH MITHALI yang sukar untuk dicari.
1 comment:
Thks kida.dpt gak aku gi kanada...hehe..
Post a Comment