Thursday, April 30, 2009

kaWaN

Kira-kira sebulan lepas ada seorang rakan budiMaN menelefon saya bertanyakan nombor telefon seorang lagi rakan budiMaN. Menurutnya, beliau beberapa kali cuba menghubungi rakan tersebut melalui panggilan dan sms tetapi tidak berjawab dan beliau bertanya saya mungkin nombor telefon yang beliau hubungi itu sudah tidak digunakan lagi. Saya beritahu beliau nombor tersebut tidak bertukar kerana saya ada menghubungi rakan tersebut menggunakan nombor yang sama.

Selang 2-3 hari kemudian beliau memberitahu bahawa rakan tersebut masih tidak menjawab atau membalas sms yang di hantar. Saya beritahu beliau, mungkin rakan kita itu sibuk, maklumlah semenjak berhenti kerja dan berniaga ni, rasanya baru ini pertama kali dia dapat peluang niaga yang besar sedikit.

Baru-baru ini, rakan budiMaN itu menelefon saya lagi dan menceritakan bahawa panggilan dan sms beliau masih tidak berbalas lagi. Beliau turut memberitahu saya bahawa apa yang saya beritahu beliau itu ada kebenarannya. Beliau dapat merasakan bahawa kawan budiMaN yang baru dapat peluang niaga besar itu sudah mula lupakan kawan dan berlainan sedikit apabila sudah mula senang ketika ini. Saya kata, biarlah dengan kawan kita itu, asalkan dia tak menyusahkan kengkawan yang lain, dia nak kedekut dengan duit dia ker, dah tak mahu berkawan lagi dengan kita ker, biarlah kat dia.

Memang ada sesetengah kengkawan apabila senang sedikit, berpangkat besar, dah ada duit lebih sedikit akan berubah. Itu memang biasa terjadi. Pada hal kengkawan tersebut bersama membesar dengan kita dari remaja sehinggalah dewasa, dari zaman remaja yang sama-sama ada seringgit jer dalam poket, sama-sama jatuh bangun, duduk rumah bujang, menyelamatkan kengkawan tu masa dia overdose ganja dan terlentang kat jalan belakang Masjid India tengah2 malam (mesti dia lupa dah tu). Kini bila dia dah senang sedikit, berpangkat besar dan sebagainya, mula menjauhkan diri dari kengkawan sebab kawan tu tak setaraf, tak mendatangkan faedah berkawan, menghabiskan duit dia jer minum teh dengan kawan dan tak boleh sembang perkara-perkara yang dalam taraf dia.

Saya cuma beritahu rakan budiMaN yang telefon tu...biarlah...tak kemana orang macam tu, dan tak rugi apa-apa pun kat kita...yang rugi dia kerana menjauhkan diri dari kita dan kehilangan hormat dari seorang kawan.

P/S : Esok cuti Hari Buruh, insyaallah saya sekeluarga balik Temerloh. Mungkin ada gathering golf dengan beberapa rakan budiMaN di Kelab Golf Maran pada petang Jumaat, insyaallah.

Wednesday, April 29, 2009

piNjaMaN

Semalam saya sempat bersembang dengan seorang rakan budiMaN di Kuala Lumpur. Rakan budiMaN ini menceritakan beliau ingin menjalankan suatu projek pertanian tetapi tidak mempunyai modal permulaan. Beliau mempunyai tanah milik keluarga seluas 3 ekar yang telah siap di terangkan tetapi tidak mempunyai modal permulaan bagi mengadakan beberapa perkara asas permulaan seperti berikut :

1. Belanja membuat pagar - Pagar mestilah dengan konkrit (concrete) di bahagian bawah bagi mengelakkan binatang seperti babi dsb dari membuat lubang untuk masuk. Sementara di bahagian atas pagar pula mestilah ada apa yang di panggil pagar@ wayar elektrik bagi menghalang dari binatang seperti monyet memanjat. Kos membuat pagar sebegini di anggarkan berjumlah RM4,000 paling kurang untuk seekar.

2. Belanja untuk membuat paip sprinkler bagi pengairan tanaman. Kos termasuk mengadakan batang paip, sprinkler dan juga janakuasa penyedut air dan juga tempat takungan air. Belanja untuk ini paling kurang RM2,000 seekar.

3. Belanja permulaan untuk membajak tanah, anak benih, baja, racun dan keperluan penanaman yang lain. Belanja ini pula paling kurang RM1,500 seekar.

Beliau sebelum ini telah ada berjumpa dengan Pegawai Jabatan Pertanian dan bertanyakan jika terdapat bantuan yang boleh dipohon. Pegawai tersebut memberitahu bahawa Jabatan Pertanian hanya boleh memberikan bantuan jika pekebun sudah memulakan tanaman dan membuat sekali penuaian. Hanya selepas itu barulah bantuan boleh di berikan.

Beliau juga ada berjumpa dengan pegawai dari Lembaga Pertubuhan Peladang untuk meminta bantuan. LPP ada memberikan pinjaman sehingga RM30,000 kepada pekebun tetapi dengan syarat pekebun mestilah sudah memulakan tanaman.

Ini bermakna kedua-dua agensi kerajaan itu hanya boleh membantu pekebun jika tanaman sudah di mulakan yang bermakna pekebun mestilah mempunyai modal sendiri dahulu yang tidak kurang dari RM20,000 bagi memulakannya. Masalahnya bagaimana pekebun hendak memulakan jika tiada modal permulaan. Lainlah kalau tanah tersebut sudah siap di pagar elok, di terangkan rata dan sebagainya.

Saya kata kepada beliau, kenapa tidak cuba 1 ekar dahulu sebagai permulaan sebelum memohon bantuan pinjaman. Beliau kata bagaimana nak mulakan kerana untuk 1 ekar pun sekurang-kurangnya hampir RM7-8 ribu di perlukan sedangkan beliau tiada wang sebanyak itu.

Inilah sebenarnya yang selalu menjadi masalah kepada petani dan pekebun kecil kita di Malaysia. Niat murni untuk berkebun dan menjadi petani sentiasa ada kepada sesiapa yang mempunyai tanah dan tiada pekerjaan. Namun kalau niat semata-mata tanpa material untuk di laksanakan, ianya tidak akan menjadi kenyataan. Tidak hairan kalau ada petani, pekebun, nelayan terpaksa berhutang dengan towkey-towkey Cina atau orang tengah semata-mata untuk memulakan sesuatu usaha pertanian atau perikanan. Punca pangkal adalah kepada pembuat dasar pinjaman dan bantuan kepada petani dan pekebun. Tiada maklumat tepat membuatkan kesilapan dalam membuat dasar. Pelaksana dasar pula seharusnya memberikan maklumbalas kepada pembuat dasar tetapi ianya di diamkan atau tidak di sampaikan. Pembuat dasar juga seharusnya turun sendiri bertemu petani dan pekebun sebagai orang yang dipilih oleh rakyat untuk mengetahui masalah-masalah sebegini. Bukan hanya sekadar membuat dasar dari kerusi empuk berhawa dingin di BiliK Mesyuarat Hotel di Langkawi atau di Tioman atau bertegang urat di Parlimen sahaja.

Mungkin kengkawan budiMaN ada cara yang lain bagi memperolehi bantuan, harap dapat khabarkan.

Monday, April 27, 2009

doKtoR

Hujung minggu ini terdapat 2 berita menerusi web Bernama yang menarik perhatian saya.

Berita 1
Kementerian Kesihatan akan mengkaji masalah kekurangan doktor di hospital-hospital kerajaan dimana ketika ini hanya 53% sahaja doktor berkhidmat dengan kerajaan. Kerajaan juga bercadang untuk mengambil 700 doktor pakar dari negara asing bagi mengisi kekosongan jawatan di hospital kerajaan. Pada masa ini terdapat 15,000 doktor berkhidmat dihospital kerajaan manakala 9,000 doktor berkhidmat dengan hospital swasta.

Berita 2
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M Saravanan semasa menziarahi seorang pesakit telah menangkap 2 orang doktor yang curi tulang semasa bekerja sedangkan semasa itu terdapat 20 orang pesakit yang sedang menunggu untuk di periksa di Bahagian Kecemasan HKL. Beliau menyatakan kekesalan dengan sikap 2 doktor tersebut yang sepatutnya tidak berlaku terutamanya di Bahagian Kecemasan HKL.

Daripada 2 berita di atas itu nampaknya negara kita masih lagi tidak dapat mengadakan suatu perkhidmatan kesihatan yang cekap dan professional. Masalah kekurangan doktor yang ketara dan masalah sikap sesetengah doktor yang berkhidmat di hospital kerajaan akan menyebabkan orang biasa semacam kita yang tidak mampu mendapatkan khidmat doktor swasta akan terus terpaksa bergantung dengan tahap perkhidmatan kesihatan sebegini.

Sebab itulah kalau kita lihat kepada orang-orang kaya, jikalau sakit akan berubat ke luar negara tidak kira sakit apa. Mereka sebenarnya tidak yakin dengan kemampuan doktor kita untuk menyediakan tahap perkhidmatan kesihatan yang betul-betul professional dan cekap.

Friday, April 24, 2009

tuRN ofF tV

Ada satu kempen yang dinamakan "Turn Off The TV Week" sedang di jalankan oleh Consumer Research and Resource Center Malaysia (CRRC) bertujuan merapatkan hubungan kekeluargaan melalui tiada tontonan TV, Komputer ataupun Alat Permainan Games. Rupa-rupanya kempen ini telah di mulakan semenjak tahun 1995 lagi. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif CRRC, kempen ini perlu kerana banyak masa keluarga di habiskan dengan menonton TV, komputer dan permainan PS2 dan ini menyebabkan kurangnya komunikasi antara ahli keluarga.

Saya berpandangan kempen ini ada baiknya kerana dengan tiada tontonan TV, masa tersebut boleh di gunakan untuk lebih berkomunikasi antara keluarga seperti makan malam bersama keluarga dan kemudian boleh pula bersembang sambil minum kopi dan sebagainya tanpa gangguan TV. Selain dari itu, keluarga juga boleh bersembahyang jemaah bersama. Tanpa TV juga, anak-anak kita boleh menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran tanpa memikirkan rancangan kegemaran yang sedang di tayangkan di TV.

Mungkin dengan kempen ini, kita boleh mengurangkan penggantungan pengisian masa lapang semata-mata dengan menonton TV dan boleh mencari alternatif lain seperti pembacaan, berkomunikasi dengan keluarga atau mengadakan suatu perbincangan ilmiah bersama-sama keluarga. Kurangnya penggantungan kepada TV saya percaya membawa banyak kesan yang positif kepada diri dan keluarga, insyaallah.

Thursday, April 23, 2009

sChoLaRshiP

Alhamdulillah, saya sekeluarga selamat sampai dari Kedah kira-kira jam 10-00 malam tadi. Setelah mandi dan makan sedikit, saya membuka laptop dan dengan azam untuk cuba menulis setiap hari di dalam blog, saya membuka e-mail dan mendapati ada e-mail dari Afezah diB, yang kini sedang mengikuti pengajian di peringkat Doktor Falsafah di United States bersama-sama keluarganya, Amir diB dan anak tunggal mereka. Fezah ada memberikan sedikit pandangan peribadi beliau kepada rakan-rakan budiMaN yang mempunyai anak baru sahaja lepas SPM dan ada mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke luar negara. Di bawah ini saya siarkan pandangan Fezah seperti di dalam e-mailnya.

Salam kepada rakan budiMaN,
Pada sapa2 yg anak dia dapat result bagus dlm SPM baru2 ni, in case dapat byk offer scholarship dari Petronas, MARA, JPA, Bank Negara (BNM) etc sampai tak tahu nak pilih. Eloklah ambil BNM coz allowance dia banyak compare to MARA or JPA kalau kat US ni lah. Kalau local univ tak tahu lah macamana. Kat sini students tajaan BNM or Petronas,dapat allowance lebih byk dari students under MARA & JPA. BNM contohnya, allowance utk student bujang adalah lebih byk dari allowance students with family under JPA. Banyak tu kan. So imagine lah, family under tajaan BNM-Bank Negara ni dapat allowance byk mana-dah macam gaji kerja kat sini pulak. Yg obvious, dia orang memang loaded lah compare to students under MARA/JPA.Kat sini, mana2 tajaan selain dari MARA/JPA allowance dia selalunya lebih. Contoh Proton, Proton pun bagi allowance byk. Tahun 1995 every month budak Proton dapat allowance lebih USD$250.00 dari budak MARA. Bestkan. Advantage MARA/JPA: tak payah balik kerja dgn sponsor. So kalau dapat kerja kat US ni, tak risau pasal contract dgn penaja. Tulah secara ringkasnya pasal scholarship utk belajar kat US.

Wednesday, April 22, 2009

jaLaN LaMa

Semalam saya, SK dan Aimin bergegas ke Kedah setelah mendapat panggilan dari ayah SK mengatakan nenek SK sakit tenat. Kami sampai di Mahang, Selama, Kedah kira-kira pukol 12-30 tengahari dan keadaan nenek SK sudah stabil sedikit setelah doktor datang ke rumah memberikan beliau rawatan. Insyaallah jika keadaan beliau terus stabil, petang ini kami akan kembali semula ke Kuala Lumpur.

Perjalanan ke Kedah semalam membawa kami menerusi Lebuhraya Utara Selatan dan saya lihat tidak banyak kerja-kerja membaiki jalan dan membuat perjalanan kami lancar. Sampai di Taiping, kami tinggalkan Lebuhraya dan memasuki jalan lama. Saya lihat jalan-jalan lama menghala ke Utara sudah bertambah baik dan ada sesetengah tempat mempunyai 4 lorong. Cuma hadlaju di jalan lama cuma 90km sejam kerana memang susah untuk memecut dengan keadaan jalan yang bengkang bengkok dan tidak selurus seperti di Lebuhraya.

Apa yang sangat menarik kalau melalui jalan lama ialah pemandangan di sekelilingnya. Kampung-kampung, sawah-sawah dan sebagainya membuatkan kita terpesona dalam perjalanan. Begitu juga kalau melalui jalan lama untuk ke Pahang atau ke Kuala Terengganu. Pemandangan menarik dan tidak perlu bayar tol. Cuma kalau mengejar waktu, lebuhraya lebih sesuai.

Tuesday, April 21, 2009

teRnaK

Dalam kegawatan ekonomi dan masalah pemberhentian pekerja yang semakin tinggi di akhir-akhir ini, banyak pula tumbuh beberapa usahawan yang menjalankan pelbagai projek. Antaranya ada yang menternak ikan keli, cacing dan lintah. Ada pula yang bertanam cendawan, serai, dragon fruit, cili kulai dan bermacam lagi. Ada yang membuka tempat pembiakan dan penjualan kambing, lembu dan sebagainya. Ada antara rakan budiMaN juga menceburkan diri dalam penternakan begini. Soalnya, benarkah gembar-gembur yang di war-warkan bahawa hasil pulangan usaha sebegini tersangatlah lumayan atau ianya bukan semanis seperti yang disangkakan? Sahabat golf saya sebagai Presiden Persatuan Penternak Ikan Keli Selangor mempunyai cerita yang berbeza.

Monday, April 20, 2009

beRitA

1. Apamz ada mengirimkan gambar Aqilah yang kini sudah boleh berdiri dan merangkak. Aqilah dah nak masuk 7 bulan umurnya berada dalam sihat walafiat begitu juga dengan Miza. Begitu juga anak-anak Apamz yang lain. Shafiq masih lagi belajar di MRSM Bentong dan Apamz beritahu berkemungkinan nanti akan ditukarkan ke MRSM Pekan pula. Apamz masih lagi terpaksa membawa keluarganya bersama-sama apabila beliau berniaga di pasar-pasar malam sekitar Kuantan.

2. Fadil Sutok khabarnya hari ini tiba di KLIA setelah melancung ke Surabaya dari hari Sabtu yang lalu. Begitu juga Antu @ Amy Jarr dpA hari ini khabarnya akan pulang dari Batam, Indonesia setelah mengadakan Kejohanan Golf di sana dari hari Khamis yang lalu. Antu akan berada di Kuala Lumpur mulai Rabu minggu ini sehingga Jumaat.

3. Semasa bertemu Kudin semalam kerana menghantar kereta Iswara saya, beliau beritahu Bilal dpA ada datang untuk membaiki kereta Volvo beliau pada sebelah pagi. Bilal nampaknya sibuk dengan urusan kerja beliau akhir-akhir ini dan beliau ada e-mail kepada saya memberitahu kesibukan beliau dan masalah kereta Volvo beliau yang kerap meragam sekarang ini sejak dari kemalangan beberapa bulan yang lalu.

Sunday, April 19, 2009

biMbaNG

Semalam setelah meraikan kedatangan genapnya 44 tahun, hari ini saya nak khabarkan suatu berita yang saya rasa cukup membimbangkan. Beberapa hari lepas, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kuala Lumpur mengumumkan bahawa kes jenayah ragut meningkat 100 peratus di Kuala Lumpur dalam tempuh 4 bulan pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama 2008 lalu. 4 bulan pertama 2008 mencatatkan 606 kes melonjak ke 1,206 kes bagi tempoh yang sama tahun ini! Selain itu samun berkumpulan tanpa senajata turut meningkat 80.5% iaitu dari 1,249 kes ke 2,254 kes.

Kesan kemelesetan ekonomi dunia yang kini secara sedikit demi sedikit mula menggigit rakyat Malaysia pada pendapat saya telah mencetuskan fenomena yang membimbangkan ini. Tekanan kos kehidupan yang semakin tinggi, pendapatan yang tidak dapat memenuhi tuntutan sara hidup dan kurangnya kesedaran agama menjadi punca kadar jenayah yang makin meningkat.

2 minggu lepas, sahabat saya Mat Sani telah dirompak bersenjata di hadapan Ampang Point kira-kira jam 11-00 malam. Mat Sani pada waktu itu berjanji untuk bertemu dengan Mat Pun, seorang lagi rakan saya berhadapan Ampang Point. Mat Sani sampai dengan kereta beliau BMW 530i M5 E60 dan menunggu Mat Pun di depan Ampang Point. Apabila Mat Pun sampai sahaja, maka secara tiba-tiba seorang lelaki datang mengetuk cermin kereta dan menunjukkan pengenalan PDRM dan menyuruh keluar kereta. Lelaki tersebut memberitahu bahawa kereta Mat Sani adalah kereta curi. Mat Sani dan Mat Pun apa lagi, hangin satu badan la dan beritahu lelaki tersebut kereta beliau bukan kereta curi. Rakan lelaki itu muncul dari belakang dan terus menggari Mat Sani dan Mat Pun dan beritahu balai boleh cerita. Sebuah kereta BMW X5 berhenti di sebelah kereta Mat Sani dan lelaki tersebut mengarahkan Mat Sani dan Mat Pun menaiki X5 tersebut. Di dalam X5 itu Mat Sani nampak pistol, parang dan pedang samurai dan beliau dapat rasakan bahawa mereka bertiga tersebut bukannya Polis. Sewaktu itu Mat Sani sempat memetik handphone menelefon isterinya dan membiarkan pergelutan dengan perompak itu di dengar oleh isterinya. Mat Sani dan Mat Pun kemudiannya di tutup mata sambil pistol di acukan di kepala dan di suruh duduk tunduk di seat belakang.

Selepas itu mereka di bawa menaiki X5 tersebut dan walaupun mata di tutup, Mat Sani beritahu beliau boleh nampak sedikit keadaan di luar. Waktu itu sebenarnya mereka telah melalui 2 road block Polis tetapi tiada sebarang tindakan berlaku. Dompet dan telefon bimbit di rampas dan di setiap stesyen minyak, perompak mencuba mengeluarkan duit melalui ATM card mereka berdua. Nasib baik juga isteri Mat Sani setelah mendengar pergelutan melalui handphone menghubungi rakan dan kami semua ke Balai Polis membuat laporan. Kami juga terus menghubungi pihak bank dan meminta batalkan segala kad ATM dan kad kredit serta merta. Oleh itu perompak tersebut tidak dapat mengeluarkan sebarang wang dari ATM maupun menggunakan kad kredit.

Setelah 6 jam di seksa dan di acu pistol dengan pelbagai ugutan bunuh dan sebagainya oleh perompak tersebut, Mat Sani dan Mat Pun akhirnya di lepaskan dengan tangan bergari di Lebuhraya Shapadu di Pelabuhan Utara Kelang. Mereka terpaksa menapak hampir 12km sebelum sampai ke R&R untuk meminta bantuan. Rupanya pada malam tersebut, perompak yang sama telah cuba merompak Dato Zabidi dengan kereta Ferrarinya dan seorang lagi Dato dengan BMW 5 series tetapi tidak berjaya. Nasib Mat Sani dan Mat Pun menjadi mangsa ke 3 mereka pada malam itu dan terpaksa berhadapan selama 6 jam dengan mereka.

Kesimpulannya, kemelesetan ekonomi pastinya akan membawa lebih banyak kejadian-kejadian jenayah samada di Kuala Lumpur mahupun di mana-mana tempat di negara kita. Di sini saya mengingatkan kepada diri saya sendiri dan rakan-rakan budiMaN semua untuk lebih berhati-hati terutama kepada budiMaN yang memandu kereta-kereta mewah seperti Wish, Harrier, BMW dan sebagainya. Kalau tak bawak kereta mewah pun, berhati-hati lah kerana dengan keadaan sekarang ini, penjenayah tidak memilih mangsa dan tempat kerana apabila desakan hidup menghantui, kewarasan bukanlah lagi pilihan.

Friday, April 17, 2009

43 LaGi

Hari ini umur saya masih lagi 43 tahun dan belum lagi mencapai 44 tahun. Tapi esok 18hb April 2009 umur saya dah jadi 44 tahun. Insyaallah esok akan bermula chapter baru dalam usia yang baru. Chapter 44. Insyaallah esok juga, saya akan mengadakan gathering keluarga sambil bersilatulrahim dan beramal. Walaupun chapter sering berubah, tunjang utama, beRbudi, beRsiLatuLRahiM dan beRaMaL tetap pendukung setia sampai bila-bila, insyaallah.

Thursday, April 16, 2009

khABaRnyA

Tengahari semalam saya dapat satu sms dari seorang rakan budiMaN. Sms tersebut berbunyi :

"Belanja-belanja besar jangan kira lah dulu, tapi yang ke hulu ke hilir, makan minum, anak sekolah, api air, hutang dengan orang kampung, tu yang tak tahan tu. Tak tahu dah nak buat apa nak cari duit. Nak buat projek takde modal, nak kerja tak dapat kerja, kalau ada kengkawan nak suruh jadi driver pun tak apa dah."

Manakala malam tadi pula saya dapat satu e-mail dari rakan budiMaN juga yang berbunyi :

"Syarikat saya dah tak mahu kat saya lagi so dia tamatkan kontrak saya. Takde kerja lah sekarang, pening saya memikirkan macam mana nak teruskan kehidupan...."

Itu 2 luahan sahabat budiMaN yang saya terima dalam 1 hari iaitu semalam. Nampaknya kesan kemelesetan ekonomi yang baru bermula di negara kita telah mula mengigit sahabat-sahabat terdekat kita di sini.

Wednesday, April 15, 2009

keMbaLi

Hampir 21 hari saya tidak menulis apa-apa di dalam blog dan tentunya ramai rakan-rakan tertanya-tanya saya rasa. Saya sebenarnya bukanlah sibuk sesangat tetapi masa yang terhad dan idea untuk menulis tiada, membuatkan saya terpaksa meninggalkan blog seketika. Walaubagaimanapun ada beberapa waktu saya sempat bertemu atau mendapat berita berkaitan kawan-kawan budiMaN.

1. Semasa perhimpunan UMNO baru-baru ini(saya tak pergi pun sebab saya bukan ahli UMNO), saya sempat bergolfing dengan Amy Jarr dpA dan Hanif diB di Bangi Golf Resort. Sebelah malam selepas bergolfing pula kami sambung lagi sembang dan di tambah lagi dengan kehadiran Man Rapu dpA batch Julai 85(ASP Kamarulzaman-gambar atas semasa beliau bertugas di Timor Leste pada tahun lepas), Mat Rock diA, Apek dpA dan Raman Kerbau dbS. ASP Man Rapu yang bertugas semasa Perhimpunan UMNO kini tinggal di Seremban dan bertugas di IPK Seremban. Memang gaya Man Rapu tak berubah semenjak zaman UitM Kuantan dahulu.

2. Isnin lepas pula saya sempat bergolfing lagi dengan Tarmizi diB batch Jan 86 di Kinrara Golf Club. Mizi kini bertugas sebagai Konsulat Muda di Kedutaan Malaysia di Songkhla dan kebetulan beliau berada di Malaysia dari 12-14 April kerana bercuti menjengok anak beliau yang bersekolah di Melaka. Beliau juga mempunyai rumah di Seri Kembangan, Serdang, Selangor. Katanya kalau ada kengkawan yang nak ke Songkhla bolehlah kontek dia. Mizi sudah masuk tahun ke 3 bertugas di Songkhla dan beliau beritahu mungkin ini tahun terakhir beliau di sana sebelum di pindahkan ke Kedutaan yang lain pula. Mizi ni aktif dalam MyBenz Club (Malaysia) dan hari bergolfing tu pun datang dengan W211 beliau yang baru beli. Nampaknya kalau ada kengkawan yang nak melancung ke sekitar Asean, rakan budiMaN ada di beberapa Kedutaan Malaysia seperti kalau ke Jakarta kita ada Man Troq diA, Mizi di Songkhla dan Fadil di Cambodia.

3. Fadil Sutok dbS khabarnya pula akan ke Surabaya pada 18hb April ni. Memang ligat berjalan Fadil Sutok sekarang ni tambah-tambah baru beli Naza Ria dengar cerita. Nampaknya geng Naza Ria dah tambah lagi seorang selepas Kitang diA dan Kudeng dsS. Lepas ni boleh buka Naza Club MPV.

4. Raman Kerbau pula ada sms kepada saya memberitahu bahawa isteri beliau, Puan Kamisah akan menjalani pembedahan ketumbuhan dalam perut di Institiut Jantung Negara tidak lama lagi. Ini berikutan masalah kesihatan beliau tempohari seperti yang pernah di ceritakan dalam blog ini dahulu. Beliau sedang memikirkan cara untuk mendapatkan pembiayaan bagi pembedahan isteri beliau itu yang tentunya memakan belanja ribuan ringgit juga.

5. SK pula seperti biasa sibuk dengan pelbagai urusan mesyuarat, kursus dan lawatan kerja ke hub dan minggu lepas pun saya dan Aimin jadi bujangan juga lagi. Tapi insyaallah hujung minggu ni saya akan menganjurkan suatu gathering antara keluarga saya dan keluarga SK termasuklah semua adik beradik, sepupu dan saudara, jadi seronok nak tunggu weekend ni sambil bersilatulrahim dan beramal.

Jadi walaupun 21 hari menghilang dari blog tetapi memang aktiviti saya bertemu rakan-rakan sebenarnya padat dan sentiasa ada. Cuma minggu ni harap boleh rest sedikit dan banyak masa lapang untuk aturkan gathering keluarga, insyaallah.