Tuesday, June 26, 2007

PeTuA mEnGGodA SuaMi Di uSiA 40an

Kalau dulu Kida buat satu artikel pasal Petua Memikat suami (isi artikel tu original dari Kida). Kali ini SK nak paparkan satu artikel yg baru jer SK terima hari ini (isi artikel ini bukan dari SK yea dan tiada editing di buat). SK cuma nak share dengan kengkawan dan mungkin juga ada yang pernah dapat artikel ni… especially orang perempuan.

Walaupun artikel ni kelakar tapi ianya membantu dan memberi sedikit sebanyak pengajaran supaya bila kita makin berumur makin mengancam dan VOGUE...

ANGKA 40 membawa persepsi yang berbeza terhadap lelaki dan wanita. Bagi lelaki usia 40 dianggap sebagai permulaan hidup baru, semangat baru, semakin matang. Bagi wanita usia 40 dikaitkan dengan perkara-perkara negatif, dan selalu dikaitkan dengan musim saham mula menurun. Bukan berniat merendahkan orang perempuan, jauh sekali untuk memperlekeh kaum wanita. Cuma saya ingin bercakap perkara yang betul di depan mata. Satu hakikat perihal Adam dan Hawa.

Macam mana pun golongan pejuang wanita menegaskan tidak ada beza antara lelaki dan perempuan, saya tetap berasa ada perbezaan yang jelas. Ini bukan soal fizikal - yang memang jelas ada bezanya tetapi ciri-ciri lain yang menyebabkan Leha dan Leman tidak serupa. Sebenarnya, awal-awal sudah berbeza. Dari segi tahap kematangan semua orang mengakui perempuan lebih cepat dewasa berbanding lelaki. Anak perempuan baligh lebih awal dari lelaki. Ada gadis yang mula haid seawal sembilan tahun. Sebaliknya, ada lelaki yang sudah masuk usia 17 belum ada apa-apa. Mereka yang mempunyai anak-anak lelaki dan perempuan boleh melihat hal yang sama. Baru darjah enam anak perempuan sudah boleh diharap mengemas bilik tidur, mencuci pinggan mangkuk, membancuh susu adik. Anak lelaki sudah tingkatan tiga pun masih tidak tahu apa-apa.

Sebab itu orang putih kata, kehidupan seorang lelaki bermula pada usia 40 tahun. Konon, pada usia ini lelaki menjadi lebih matang, tepat membuat keputusan, bijak memberi cadangan, lebih penyayang, lebih prihatin, lebih itu, lebih ini. Hanya satu yang tidak sedap, malah tidak adil: konon pada usia 40 inilah degree kemiangan lelaki dikatakan semakin meningkat! miang, gatal, merenyam, gelenyar...banyak lagi istilah-istilah (maaf, sesetengahnya tidak sesuai disiarkan sebab kedengaran kurang sopan) yang seerti dengannya untuk menggambarkan perangai lelaki setelah melewati usia empat puluhan.

Orang perempuan selalu memberi alasan yang serupa untuk menguatkan andaian bahawa lelaki memang miang. Antaranya, yang paling biasa: suami mula menjeling wanita lain, suami mula main kayu tiga, suami kahwin baru. Bukanlah hendak menyebelah lelaki, tetapi pada hemat saya andaian seperti itu adalah rambang, dan sekali gus tidak adil. Sebab, bilangan suami yang main kayu tiga, atau membuka 'cawangan' baru adalah kecil, terlalu kecil. Mungkin yang jeling-jeling wanita lain ramai, tetapi percayalah jelingan itu tidak membawa apa-apa mudarat. Lagi pun ada sebab suami menjeling wanita lain. Maaf cakap, ketika suami mula 'meriah habis' pada usia 40, wanita pada usia tersebut dikatakan mula mengendur dan 'dingin' dalam banyak hal. Sebenarnya, ini diakui sendiri oleh ramai wanita, sebab itu mereka tidak suka usia empat puluhan disebut.

Pendek kata, angka 40 membawa persepsi yang berbeza kepada lelaki dan wanita. Bagi lelaki, usia tersebut dikaitkan dengan kematangan dan kehebatan, bagi perempuan, usia tersebut sering digambarkan sebagai peringkat saham menurun. Kalau ada suami yang mula menunjukkan tanda-tanda 'keriangan' luar biasa, saya ada panduan untuk isteri menyekat suami main mata dengan orang lain. Kaedah ini tidak ada dalam buku motivasi suami-isteri, tetapi boleh dicuba.

Pertama, layan suami seperti biasa. Hangatkan suasana dengan kata-kata yang memberangsangkan. Contoh: "Fuhhh, misai abang sekarang tebal semacam, kita tengok pun geram!" Atau: "Abang sejak minum kopi herba tu, kita rasa luar biasa!" Kata-kata seperti ini boleh membangkitkan semangat, dan suami merasa dihargai. Tetapi jangan cakap sahaja, isteri patut buktikan dengan perbuatan. Jika hanya pandai memuji misai, tetapi di bilik tidur isteri rebah dan tidur macam tunggul, pujian tentang misai itu tidak bererti langsung. Tidak guna menyiapkan kopi dengan tujuh ramuan herba, sekiranya di katil isteri berdengkur kuat seperti bom, tanpa sedikit pun menghiraukan perasaan suami yang seperti gelora tsunami.

Masalahnya ialah wanita pada usia 40, lebih-lebih lagi yang sudah beranak ramai, sudah mula dingin seks. Bukan putus haid, tetapi mula tidak berapa minat mengadakan hubungan kelamin. Mungkin sebab kesibukan di pejabat, atau letih melayan anak-anak sepanjang hari di rumah, isteri menjadi pasif di katil. Letak sahaja kepala di bantal, terus berdengkur. Pada hemat saya, tanpa mengira usia, isteri patut bijak melakukan reaksi-reaksi hangat semasa berdua di kamar tidur. Mungkin boleh cuba urutan cakar harimau yang popular itu. Sambil mencakar boleh bergurau senda, dan puji-puji tentang misai. Kalau cakaran harimau sudah mengena, suami yang letih menjadi segar semula. Pasti suami akan membalas dengan cakaran kucing jantan. Bayangkan apa akan terjadi apabila cakar berbalas cakar. Tentu harimau akan mengaum.

Amaran: hati-hati sekiranya isteri berkuku panjang dan tajam, takut tersilap cakar luka pula kulit belakang suami. Akibatnya, suami berasa kesakitan dan mungkin menggunakan tendangan kambing gurun hingga isteri terpelanting bawah katil!

Kedua, isteri mesti terus bergaya. Sebenarnya wanita pada usia 40-45, masih cantik dan menawan. Masih anggun dan mempesona. Memanglah tidak 'cun-melecun' seperti gadis belasan tahun lagi 'trang-tang-tang'. Tetapi sekiranya bijak mendandan diri, suami pasti tidak menjeling pada orang lain. Masalahnya ialah sesetengah isteri, terutama yang menjadi suri rumah sepenuh masa, tidak menghiraukan soal keterampilan diri. Tidaklah selekeh, tetapi kurang mesra alam. Rambut tidak disisir, menggerbang macam langsuir atau penunggu pohon beringin dalam Misteri Nusantara. Dahi berkerut, bibir berkedut. Tanpa bedak, tanpa gincu. Pipi pun berminyak semacam. Sudahlah begitu, pakaian pun asyik kain batik lusuh dengan t-shirt Pagoda leher bulat yang ketiaknya terkoyak sedikit. Ini sudah menjadi uniform tidak rasmi suri rumah yang tidak berseni.

Sesetengahnya langsung tidak berbaju, hanya berkemban. Sudahlah berkemban, nampak bulu ketiak keriting, betul-betul macam ibu si Tenggang. Percayalah, kalau rupa seperti ini yang dilihat oleh suami setiap hari, belum masuk usia 40 tahun pun suami sudah menjeling wanita lain. Jika hari-hari melihat puntianak atau ibu si Tenggang, suami pun berasa muak juga. Suami pun hendak melihat benda-benda indah. Sebenarnya, mendandan diri bukan susah sangat. Lagi pun kebanyakan suami tidak cerewet sangat. Suami tidak mengharapkan isteri menyambutnya dengan pakaian berjenama antarabangsa, atau jari lentik dengan kuku berwarna, bibir merah dan basah berkilat, rambut ikal mayang teknik rebonding, alis lentik bagai penari Mak Yong. Apa yang dikehendaki oleh kebanyakan suami ialah penampilan seorang isteri yang kemas, sopan dan kelihatan manja. Jangan lentuk sangat, suami naik lemas pula. Rambut perlu disisir kemas, pada hari-hari tertentu (petang Khamis umpamanya!) boleh letak bunga ros di kepala. Tetapi, jangan pula terlebih hingga pacak bunga manggar di kepala. Nanti suami ingat isteri sudah sewel. Pipi patut dihias supaya tidak nampak berminyak macam mamak jual capati. Kalau tidak mampu pakai bedak yang berjenama, bedak biasa pun boleh, asalkan disapu dengan kemas. Jangan asyik lumur dengan bedak beras sejuk sehingga wajah kelihatan seperti wayang China purba!

Tidak salah menyambut kepulangan suami dengan haruman. Semburlah pewangi yang boleh membangkitkan semangat. Kalau tidak ada pewangi pun gunakanlah haruman asli dari bunga cempaka, melur, kenanga atau lain-lain bunga wangi. Kalau pun teruk memasak di dapur pastikan bau serbuk kari, sambal belacan, budu, atau bau ikan pekasam goreng tidak melekat di tubuh. Amaran: jangan sekali-sekali ada bau semburan ubat lipas atau kapur barus pada tubuh. Mati selera suami.

Ketiga, mesti selalu senyum. Sambutlah suami dengan senyum paling manis. Senyum yang ikhlas, dan bukan dibuat-buat. Ingat, orang lelaki dapat membaca antara senyuman ikhlas dan senyum palsu. Tetapi, jangan tersengih tidak tentu pasal, nanti suami ingat isteri tersampuk puntianak sundal malam. Tidaklah diharapkan isteri mengurut-urut bahu atau dada suami sebaik masuk ke rumah, lebih-lebih lagi di hadapan anak-anak. Memadailah isteri menegur: "Abang nampak letih, boleh kita ambilkan air? Abang nak air sejuk atau air panas?" Tetapi, jangan pula memberitahu suami benda-benda yang mungkin mematikan semangatnya, seperti: "Tadi ada orang datang, dia kata abang dah tiga bulan tak bayar ansuran kereta, betul ke?" Atau: "Orang sebelah tu beli TV 29 inci, boleh tak kita beli yang 36 inci?"

Keempat, etika di bilik tidur. Ini paling penting, sebab bilik tidur adalah tempat rehat bagi suami isteri. Tempat tidur mesti selalu kemas dan menarik. Semburkan haruman supaya semerbak sepanjang malam. Sesekali taburkan bunga-bunga wangi di atas tilam. Barulah bersemangat untuk cakaran harimau atau cakaran kucing. Malangnya, bagi isteri yang sudah melewati empat puluhan, bau haruman di kamar beradu biasanya tidak dihiraukan lagi. Tidak ada bau minyak wangi, seperti zaman baru-baru kahwin dulu. Apa yang memenuhi bilik tidur sekarang hanyalah bau minyak angin. Bilik tidur penuh dengan beraneka minyak angin. Penjuru katil ada minyak lenguh sendi, tepi bantal ada minyak sengal tulang, atas tilam ada minyak pening kepala, bawah katil pun ada minyak semput.

Walaupun sudah lenguh sana-sini, minyak-minyak itu bukan di kamar tidur tempatnya. Kalau setiap malam hidung suami tersumbat bau minyak angin, matilah seleranya untuk mencakar. Ini yang isteri kena faham.

Selamat mencakar ..... Aummmm !!!!

10 comments:

Anonymous said...

salam.
Very the good artikel la SK..hehee
anyway petua ni mmg ada bagusnya...

p/s kita cakar-cakar ayam jer...

Anonymous said...

Salam sk...
Hehe..seperti pernah ku baca artikel ini..tapi di mana yaa?? Memang bagus gak sk paste article ni..kita brainstorm sikit..hehe.

Yeap!! Woman at 40 actually at their prime..supposed to!! Ada banyak kisah rumahtangga yang berlaku di sekeliling kita yang boleh kita jadikan tauladan dan sempadan. Sememangnya kita harus hargai sebab kita sempat mencapai usia sebegini dan merasai kematangan diri..Hanya kita yang tahu taste suami kita kan...Bergaya pun biarlah sopan dan berpada-pada, sesssuaaiii dengan umur..janganlah nak bagi nampak muda sangat pun, pakai baju baby usia 6 - 12 bulan lak! Hiks!! Muka pun tampal le sesedap mata memandang dan yang penting atas keizinan suami jugak..(**ada jugak suami yang x suka isteri bergaya lebih2, bergincu, berbedak tapi bila di luar yang macam tu lah yang dia pandang sangat.. **ampun para bapak2..x niat pun..hehe..)

Pasal cite cakar mencakar..hehe.. takut terpanjang lebar kang..(*alaa dah masing2 kawin 10 thn ke atas, takkan tak tau lagi kuku sapa lebih tajam..or mencengkam).

Kata orang nak ikat suami.. memangpun kena jaga makan pakai dia..

Xpa lah sk, xnak ulas panjang.. lain padang, lain belalang hehe..
Kita berbuatlah apa yang patut demi keharmonian rumahtangga. Cuma sendiri mau ingat lee..

p/s: Kata orang, shopping/window shopping ker, salah satu urat kebahagian/terapi wanita untuk awet muda..selain makan ulaman..
N kena senyum sokmo le..(*seadanya..)Hikss!!

Anonymous said...

to ummi- haah mmg sk dapat dari email(kan sk ada tulis kat first para). masa baca tu gelak sampai kuar air mata kelakar giler! mula2 tu tak teringat pun nak letak kat blog ni sbb artikel orang tak originallah gitu ahaks!..tapi bila teringat psl kidanye artikel "petua memikat suami' terpikir lah nak kongsi (walaupun sk tau ramai yg pernah baca dan dpt melalui email).

Anonymous said...

to walid...sk tak main ler cakar2... sk bukan hantu ahaks!

Anonymous said...

Emm...Its ok sk. Xpalah sk paste kat sini..Selalu kalu baca pun, habis baca senyap je..gelak sorang2. Bila sk letak kat sini bagus banget!! Kasi otak jalan sikit n untuk suka2 kan....

Kaum Adam kalu bab ni..mesti diaorang bacanye...pastu gelak sindir la kat kaum Hawa tuu...(*hiks, ampun pakk)

Anonymous said...

To Walid,
Stop lah cakar2 ayam tu..cubalah cakar2 harimau n kucing jantan cam sk cakap tu..hehe...(*jangan cakaran bawak maut dah le..(**xda maksud tersirat yee).

Anonymous said...

salam sk n ummi...
anyway mmg tu la kaum Adam...40 baru nak stat..kaum hawa da spai 40 da nak pencen...ni semua nya bidalan jer..sbenarnya xder permulaan tiada penyudah pasal bab2 umur nie..dari mula spai la ke akhir hayat..diri kita yg perlu mengalas n mencoraknya..anyway..this is a good artikel..

p/s. kuat2 cakar nanti berbelang pulak...lagi haru.heheeee

Anonymous said...

banyak lagi nak kena belajar walaupun di usia ini...he3
apapun berilah suami2 awak kebebasan,.. kalu dia nak ada gf tu biarkan aja .. tak kemana pun,.. kalu dia nak bergaya, awakpun bergaya... tak salah kan.
kalu dia nak kawin lagi satu,.. galakkan...(untuk keamanan) sekurang2nya awak dapat adik,.. siapa yang senang... awaaaak jugak.

Anonymous said...

hehehe.tergelak2 saya membaca artikel ni tp betul2 bermanfaat.memg byk kena atas hidung saya..tp bagus sgt kurang2 saya da tak sangka buruk je kat suami saya..mmg saya sedar kelemahan punca dari saya..saya akan buka buku baru..insyaallah

Anonymous said...

Hey There. I discovered your blog the use of msn. That is a really well
written article. I will be sure to bookmark it and come back to read more of your useful
information. Thanks for the post. I'll certainly comeback.


Here is my homepage: DIY Security System DIY Security System
DIY Security System ()