Friday, February 29, 2008

NGeteh di seRi gOMbaK

Semalam saya dan beberapa budiMaN seperti Kitang, Fadil Sutok, Apek, Arash dan Zul Sani telah ngeteh bersama-sama di sebuah restoran mamak di Taman Seri Gombak. Kami sampai lebih kurang pukol 10-00 malam di situ. Kawan-kawan yang datang pun ada yang baru balik dari mendengar ceramah-ceramah politik di kawasan-kawasan yang berhampiran. Berbagai cerita tentang politik dan juga berkaitan kengkawan budiMaN di perbualkan. Akhirnya setelah sembang punya sembang tak sedar jam dah menunjukkan pukol 3-00 pagi dan kami semua bersurai.

Tuesday, February 26, 2008

jOM kitA baWaK faMiLy mAkaN-MakAN

Dah lama kita semua di sini tidak mengadakan PotLuck atau acara makan-makan bersama keluarga. PotLuck yang terakhir pun rasanya diadakan di Temerloh awal tahun yang lepas. Saya ada memikirkan untuk mengadakan PotLuck tetapi mungkin kerana ketiadaan waktu yang sesuai, hasrat tersebut terpaksa dipendamkan buat sementara waktu ini. Sementara itu, jikalau ada budiMaN yang nak bawak keluarga keluar makan-makan terutama pada hujung minggu atau malam Sabtu ini, jomlah kita ramai-ramai bersama keluarga keluar makan bersama di Uptown Damansara pada Sabtu malam ini. Saya mungkin nak ajak Kudin Mekanik sekeluarga dan Fadil Sutok sekeluarga sekali. Kalau ramai lagi bagus dan boleh kita sembang-sembang sambil ahli keluarga kita beramah mesra. Saya sekeluarga pun selalunya pekena makanan kat Foodcourt Uptown tu saja. Murah tapi bolehlah. Nak steak ada Pirate Steak (The taste can kill you). Mee kari, Lala pedas dan macam-macam lagi. Sendiri order sendiri bayar. Minum ada Salleh Place (ni actually site chatting yang terawal dalam internet di Malaysia dalam MIRC pada tahun 1995 dulu). Walid selalu ngeteh sini rasanya sebab office YM Raja isterinya kat McDonald sebelah Uptown tu saja. Jadi jomlah kita beramai-ramai malam Sabtu nanti (1hb Mac 2008) jam 9-00 malam. Macam biasa sape nak join bubuh kat komen bawah atau sms je kat saya.

Sunday, February 24, 2008

maN tRoQ

Pada pagi Jumaat lepas 22hb Feb, Man Troq diA telah menghantar sms kepada saya memberitahu bahawa isteri beliau telah selamat melahirkan anak lelaki di Hospital Kuala Lumpur pada jam 4-07 pagi. Beliau juga memberitahu bahawa isteri dan anaknya berada dalam keadaan sihat. Tahniah kepada Man Troq kerana memperolehi anak yang ke 5 (rasa2nya) semoga rezeki anda sekeluarga bertambah-tambah lagi dengan kehadiran ahli keluarga baru itu.

Friday, February 22, 2008

haNif daN ziL

Baru-baru ini beberapa budiMaN telah bersama-sama bermain golf di Bangi Golf Resort yang mana antara yang hadir ialah Hanif dan Zil yang turut bermain. 2 flight golf budiMaN telah bermain bermula sekitar jam 3-00 petang dan habis sekitar jam 8-30 malam ( tertangguh sekejap sebab hujan lebat). Selepas bermain, kami sempat bersembang di coffee house club sehingga jam 11-00 malam. Antara budiMaN yang hadir ialah :

1. Hanif diB (gambar atas sebelah kiri). Hanif ni batch Januari 1985 iaitu batch pioneer UitM Kuantan. Beliau kini menetap di Kuala Lumpur dan menjalankan perniagaan sebagai kontraktor di sekitar Lembah Kelang.

2. Zil (gambar atas sebelah kanan) pula ialah kursus dsS batch 1992 iaitu batch terakhir di UitM Kuantan sebelum berpindah ke kampus Jengka Pusat. Beliau juga satu batch dengan isteri Antu dpA dan sama-sama satu kursus dan pernah pergi kerumah Antu di Kuantan. Beliau mendapat tahu berkaitan blog dari kawan-kawan beliau dari kursus dpiM. Zil kini bekerja di sebuah syarikat swasta di Kelang dan menetap di Kelana Jaya. Regular golfer dan boleh tahan juga permainan golf beliau sebagai Ladies Golfer.

Thursday, February 21, 2008

LaGi beRitA kaWan-KaWaN

Ada beberapa berita kengkawan yang nak saya share kat sini. Antaranya ialah :

1. Bulu atau Razani diA ada menghantar sms kepada saya bertanyakan khabar semalam. Beliau beritahu saya beliau sihat sejahtera dan kini sedang menunggu cahaya mata pertama beliau dengan isterinya Izan yang di jangka bersalin pada bulan Ogos ini. Bulu yang sebelum ini mempunyai 3 anak angkat bersama aruah isteri dahulunya juga mengirim salam kepada semua kengkawan budiMaN yang mengikuti blog ini.

2. Amir USA juga ada menelefon saya dari Michigan semalam bertanyakan khabar. Beliau sekeluarga juga berada dalam keadaan sihat sejahtera dan mengirimkan salam kepada semua kengkawan budiMaN.

3. Tak sangka juga artikel saya pada hari Selasa lepas (artikel di bawah) berkaitan perkara 3 membuatkan ramai kengkawan budiMaN yang menghubungi saya untuk menceritakan kisah mereka dan mendapatkan kepastian dari saya. Walaubagaimanapun tidak dapatlah saya revealed apa-apa cuma ceritanya berkemungkinan berkaitan dan agak menyedihkan kepada sesetengah kengkawan budiMaN kita. Harap kepada mereka yang telah menghubungi saya supaya bersabar dalam menempuh liku-liku hidup ini walaupun betapa berat mata memandang berat lagi bahu yang memikulnya.

4. Jam sekarang dah hampir pukol 1-17 pagi. Antu dan Puis ada menghubungi saya menyatakan beliau berada di Kuala Lumpur atas urusan kerja. Saya tergerak untuk menghubungi Apamz bertanyakan khabar berita beliau sekeluarga. Tapi dah lewat malam dah ni. Ada tak kengkawan budiMaN yang menghubungi beliau dan bertanyakan khabarnya mungkin boleh share dengan kita di sini.

seMbaNG-seMbaNG

Saya ni memang orang Pahang sejati yakni di lahirkan di Temerloh dan membesar di Kg Bukit Kelulut, Temerloh iaitu sebuah kampung yang memang suasananya seperti kampung-kampung terpencil di negeri Pahang. Memang masa kecil-kecil dulu, kampung saya ada waktu curfew (perintah berkurung) kerana masalah komunis dan sekali-sekala di datangi wayang gambar dari Jabatan Penerangan. Walaupun saya ni SK kata memang pekat dengan slang kampung Temerloh saya yang tak hilang-hilang jugak walaupun dah berpuluh tahun merantau ke sana-sini hatta bekerja di luar negeri sekalipun. Tapi sebenarnya saya ni boleh juga berbahasa dengan slang-slang dari tempat-tempat lain.

Semasa mengaji di Ipoh selama hampir 3 tahun dulu sekitar 1982-1984, kebanyakan kawan-kawan saya adalah budak-budak Batu Pahat, Johor. Jadi saya pun boleh berbahasa Johor macam dia orang. Di tambah pula budak-budak Johor ni berbahasa Kacap Telabik ( Cakap Terbalik). Daji, ida roang ni lakau kacap, kacap telabik jee so saya pun pandailah berbahasa kacap telabik ni sampai sekarang dan masih di praktikkan lagi bila jumpa geng-geng Johor ni. Rasanya Fadil Othman, Bilal dan Mizi atau geng-geng budiMaN Johor tentunya pandai kacap telabik ni macam Kumpulan Spider dengan lagu Kacap Telabik. Seronok juga sebab kalau kacap telabik laju-laju kebanyakan orang yang ada sekeliling tak dapat catchup dan tak faham, jadi bolehlah cakap rahsia sikit.

Bila masuk UitM Kuantan, saya jumpa pulak Sarip n The Gang dan dia orang ni berbahasa slang Kuantan/Beserah macam slang Terengganu sikit. Tambah pula selepas itu saya juga bekerja di Kuantan dengan Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian Negeri Pahang selama hampir 3 tahun juga dan kebanyakan staff-staff di pejabat saya pada masa itu berbahasa slang Kuantan/Beserah. Jadi tukar pula pelat Kuantan/Beserah.

Apabila bertukar kerja ke Badan Pencegah Rasuah kemudiannya dan di tempatkan di Ibupejabat di Kuala Lumpur, maka geng-geng satu jabatan saya di Urusetia Jabatan Siasatan pula kebanyakannya orang Negeri Sembilan maka apo nak di kato laie, den bantai cakap nogori la. Dokek 11 tahun la den cakap nogori ni di selang seli dengan slang Johor dan macam-macam lagi. Nak buek camno, den jo yang ado pun orang Pahang dokek situ, terpakso la.

Setelah meninggalkan BPR dan berniaga sendiri pula, kebanyakan kawan-kawan saya baik dalam perniagaan ( client-client saya sebenarnya ramai Mat Salleh dan Jepun ) dan beriadah bergolfing pula terdiri dari orang-orang Utara. Tambahan la pula SK pun keluarganya berasal dari Utara, maka sekali lagi slang bertukaq dok habaq kat depa kita ni boleh la cakap sikit2 macam depa tu. Itu pun mungkin pasai hari-hari dok pekena gulai kari baguih punya macam nasik kandaq Line Clear, jadi bila berbahasa dengan lenggok kepala sekali dok mai macam mamak mydin, chek oiii. Mula-mula dulu sebenaqnya bila dengaq depa ni bercakap, gelak nak mampuih sebab macam lawak jenaka kat TV Piee dengan Mydin tu. Depa pulak geng chek ni, kuat merapu, tambah gelak, tapi la ni chek pun dah terikut depa dah, sembang kedai kopi merapu boleh sampai 4 jam tak berhenti. Lawak sungguh la chek oii kadang-kadang dengaq cerita depa geng-geng Utara orang tua-tua ni.

Begitulah sembang-sembang pasal berbahasa ni yang telah saya lalui hampir 43 tahun umur saya ini. Alhamdulillah dengan pengetahuan tersebut insyaallah bila berjumpa dengan mana-mana slang yang saya pernah lalui itu saya masih boleh lagi menyesuaikan diri berbahasa mengikut slang dia orang setakat ini. Kalau jumpa geng Kacap Telabik, boleh lagi, geng Kuantan/Beserah, boleh sikit-sikit lagi, geng Johor lu, gua, boleh lagi, geng nogori boleh jugak dan geng Utara pun boleh. Tapi bila balik kampung saya kat Temerloh, bahasa ibunda saya slang Temerloh masih tetap menjadi priority walaupun berbagai-bagai slang, terma yang berlainan yang saya ketahui.

Geng budiMaN yang lain macam mana?

Tuesday, February 19, 2008

seDiKit beRitA kaWan-KaWaN

Ada beberapa berita yang nak saya sharekan di sini berkaitan budiMaN. Ada yang saya ketahui melalui e-mail dan ada juga yang menelefon saya sendiri. Antaranya ialah :

1. Kitang ada mengirimkan gambar surau Kg Tanjung Belengu tempat berlangsungnya eM2bP oleh budiMaN tempohari. Ianya gambar seperti di atas di mana penduduk kampung tersebut nampaknya telah memanfaatkan duit tunai sumbangan budiMaN tempohari dengan membuat tangga batu/simen (sebelum tu tangga surau hanyalah kayu dan batu sahaja) serta tangga tempat wuduk serta memasang tiles di bahagian hadapan surau. Ianya adalah saranan dari budiMaN sendiri yang mengharapkan agar sumbangan tunai tempohari yang disampaikan kepada Ketua Kampung Tg Belengu, di manfaatkan dengan memasang tiles di bahagian hadapan surau. Alhamdulillah, insyaallah semua budiMaN yang menyumbang dalam eM2bP akan memperolehi saham akhirat yang amat besar dengan binaan tiles tersebut.

2. SK ada memberitahu bahawa beliau menerima e-mail dari Fezah di USA. Fezah kini sedang menduduki pengajian peringkat phD di sana. Katanya baru 1st year tapi dah rasa mengah dan banyak sangat kerja. Katanya lagi less then 25% yang tak dapat menghabiskan doctorate ni dan ramai student especially kat UK tak dapat nak habiskan. Fezah juga ada memberitahu bahawa beliau menyokong penuh kerja amal budiMaN dan kalau ada peluang misi amal budiMaN ke tempat-tempat macam Cambodia dan Myanmar, beliau akan menghulurkan bantuan. Fezah kata umat Islam di Cambodia dan Myanmar sememangnya memerlukan bantuan dan sumbangan dan amat suka kalau ada pihak yang ingin membantu. Mungkin juga kita boleh minta Fadzil Othman yang kini bertugas di Cambodia untuk membantu. Fadzil pun ada memberitahu di ruangan komen artikel di bawah berkaitan kerja amal di sana ni. Harap Fadzil boleh ceritakan secara terperinci bentuk kerja amal yang budiMaN boleh lakukan di sana. Insyaallah, kalau ada rezeki dan akan diusahakan secara serius, budiMaN boleh charter satu flight untuk ke Cambodia buat kerja amal nanti. Amin, mudahan-mudahan jadi kenyataan. Thanks Fezah for the info dan harap Fezah dan keluarga serta rakan-rakan lain seperti Mizi, Fadzil dan Pyan dll yang berada di luar negeri tabah menjalani kehidupan di perantauan.

3. Baru-baru ini saya terima call dari seorang rakan budiMaN (kerja berniaga juga) yang menghadapi masalah kewangan. Khabarnya kereta beliau telah ditarik dan masalah kewangan beliau amatlah kritikal. Susah juga kerana dia telefon saya pun masa tu saya di Perlis selama 3 hari untuk urusan kerja dan saya tak berpeluang untuk membantu beliau. Beliau pula memohon bantuan secara urgent. Saya pun tak tahu nak bantu beliau macam mana kerana kewangan saya pun boleh di katakan kritikal juga ni beb.... dok keluar jer..masyuknya tak nampak-nampak lagi. Kata orang dah makan modal dah. Tapi memang begitulah adat orang berniaga, ada masa cerah dan ada masa hujan lebat tak berenti-renti. Nak kata tak beringat, memang dah beringat dah tapi ada masanya memang tak dapat nak dielakkan... cuma ada yang boleh bertahan tu... buat-buat bertahan je la. Yang senang orang makan gaji...cukup bulan, lebat, masyukkk....tambah2 yang buat part time lagi macam Niazor (Mahligai Pengantin)...hehe..ye tak?

Sunday, February 17, 2008

cadAnGaN biLaL

Bilal ada mengirimkan e-mail kepada saya baru-baru ini dengan cadangan beliau untuk mengadakan beberapa program budiMaN. Di bawah ini saya siarkan e-mail cadangan beliau untuk maklumbalas kengkawan budiMaN semua. Harap kengkawan dapat memberikan maklumbalas terhadap idea dan cadangan beliau ini.

Salam SAHABAT
Ana sekadar nak mengisi Kalendar aktiviti BUDIMAN.untuk 2008. Itupun kalau ada yang setuju.

1. Group Trip Ke Tasik Danau Toba, Medan (Buat permulaan just want to startthe ball rolling) - 4 Hari 3 malam. 5,6,7 dan 8 Dec 08 (Cadangan)Sasaran - 5 Family (Minimum. Kalau ramai lebih lagi bagus kerana kosnya jadilebih murah). Kot ada kengkawan yang ada kenal Tour agent yang bolehdipercayai dan boleh negotiate boleh juga kita menafaatkan.Bayarannya kita buat secara bulanan seperti main kutu.. Contohnya katakanlahRM600 per pack.dan Rodong memilih untuk ambil 4packs (suami, istridan 2 anak) Bermakna RM2,400 jadi bulanan depa kena menabung RM200.. Inicuma contoh je.. Mungkin kita boleh dapat rate yang lebih menarikjika ada kenalan atau dikalangan sahabat kita sendiri yang jadi Tour agent/agensi pelancungan. Kita jadikan ia sebagai annualevent..untuk pelbagai destinasi sehinggakan satu peringkat nanti kita bolehbuat pakej umrah bersama.. Mana tahu satu hari dapat kita ke NZ visit Pyan..he..he

2. Program eskpidisi berkereta some sort like treasure hunt. Cadangan tarikh16, 17 dan 18 August 2008. Kita berkumpul di KL 16hb. Tengahhari di MasjidWilayah. Selepas Zohor kita berlepas ke satu destinasi di Utara dan kitabuat projek amal dan juga aktiviti riadah. Next on 17 kita mengahala pula keNegeri Che wan kembang dan kita ke satu destinasi terpilih untuk buat projekamal dan juga aktiviti riadah. On the 18th Kita bertolak ke Kuantan untuksatu lagi projek amal terakhir. Kita akhiri aktiviti ini selepas asar. Kita boleh buat kutipan Perdana dan apa saja aktiviti dari sekarang sehingga Ogosseperti Car boot sales, malam consert amal nasyid sempena maulidur rasul ke,atau apa saja aktiviti yang boleh mendatangkan duit dimana semua danatersebut dikumpul dan akhirnya kita agihkan kepada samada rumah orang tua,rumah anak yatim atau fakir miskin yang tidak langsung dibiayai oleh kerajaan. ketika ekspidisi berkenaan. Wow bunyi macam besar program ini tapikalau kita pecahkan dan agihkan serta rancang dengan baik.. pasti berhasil.Dapat 10 hingga 15 buah kereta pun dah kira grand.

Apa pendapat rakan-rakan ?

Thursday, February 14, 2008

piLihaNRayA La pULOk

Tengahari semalam Pak Lah telah mengumumkan bahawa Parlimen Malaysia telahpun di bubarkan berkuatkuasa pada hari ini, begitu juga dengan semua Dewan Undangan Negeri kecuali Sarawak. Maknanya kita semua rakyat Malaysia akan menghadapi pilihanraya umum tidak lama lagi. Demam pilihanraya yang telah pun bermula sejak awal tahun ini lagi nampaknya akan sampai ke kemuncaknya dalam masa 2 minggu ini. Perang poster, kempen dan pelbagai risalah manifesto pilihanraya akan bertaburan di sekeliling kita dari parti-parti yang bertanding dengan pelbagai janji untuk memenangi hati pengundi.

Saya sendiri yang telah mendaftar sebagai pengundi yang sah insyaallah akan pulang mengundi di Parlimen dan DUN Semantan di Temerloh pada pilihanraya nanti. SK pula mengundi di Parlimen Setiawangsa, Kuala Lumpur. Nampaknya pada hari mengundi nanti terpaksa ke haluan masing-masinglah untuk mengundi.

Kalau dulu-dulu zaman masa di kampung, bila saja di umumkan Parlimen di bubarkan maka seluruh kampung akan berjaga dan berkumpul. Biasanya BalaiRaya akan dijadikan markas atau Bilik Gerakan untuk parti yang kuat di kampung tersebut. Parti pembangkang biasanya hanya menjadikan rumah sebagai Bilik Gerakan mereka. Dulu-dulu orang kampung berjaga kerana takut sebab kekadang ada khabar-khabar angin semasa tiada kerajaan ini, mungkin komunis atau tentera akan mengambil peluang berkuasa memerintah negara.

Dulu-dulu kalau nak duit lebih atau nak cari duit, pergi sahajalah ke Bilik Gerakan parti pemerintah, boleh dapat duit untuk kerja-kerja tampal poster dan sepanduk. Bolehlah dapat dalam RM5-10 semalam. Jadilah dan besar sangat dah nilainya pada masa itu. Lagipun bagi budak-budak macam saya dulu, time ni lah boleh mintak dengan mak bapak untuk keluar malam, kononnya ambil upah tampal poster. Kalau parti pembangkang pula, takde upah sebab kebanyakannya miskin, tolong tampal poster, dapatlah mereka belanja kopi dengan biskut kering. Tupun kira okay jugaklah, janji boleh berseronok jumpa kengkawan sambil tampal poster dan bergayut sana sini untuk pasang sepanduk. Habis semua tempat di tampal poster dan sepanduk. Tiang letrik, segala pokok kat tepi jalan, dinding BalaiRaya, pagar dan macam-macam lagi lah.

Masa tu pun meriah dengan baju cap dacing percuma. Eksyen kalau dapat baju tu dan member yang lain tak dapat. Baju free. Pembangkang takde baju. Miskin. Haprak. Dengan baju tu lah hari-hari arak keliling kampung sebab nak tayang dapat baju free dan nak beritahu sekali bahawa tuanpunya baju tu tengah loaded sebab dapat upah tampal poster dari geng dacing. Lebih meriah kalau calun YB datang melawat Bilik Gerakan. Gerenti dapat duit lebat beb. Sesetakat RM20 tu singgah kat poket. Masa tu jugalah kalau nak mintak calun YB dacing sponsor T'Shirt Team Bola kampung dan beli Bola Adidas atau bola takraw. Gerenti dapat. Janji pakai baju dacing. Pembangkang masa tu hapah pun tarak. Miskin. Haprak sampai la ni.

Memang kalau kat kampung calun YB dacing ni cukup di hormati sebab kaya dan pakai kereta besor. Lagipun dia boleh tabur duit dan bagi macam-macam, kain pelikat, kain batik, baju dacing, baja dan macam-macam lagi. Pembangkang biasanya haprak, miskin dan tak boleh nak bagi semua tu. Pembangkang pun kalau datang pakai kereta buruk, takde duit dan harapkan simpati orang sahaja. Orang kampung sebelah matapun tak pandang masa tu.

Rumah calun YB dacing besor, mewah dan anak-anak pompuan dia lawa-lawa sebab dia orang ni kulit tak bekaroh sebab tak bercampur dengan orang-orang kampung. Orang kampung macam saya cuma perhatikan sahaja la... ternganga masuk langau. Tapi walaupun YB dacing ni sorang je yang kaya giler dan pengundi-pengundi dia miskin papa kedana giler tapi orang kampung tetap sokong dia dan tak pernah marah kat dia. Habis kuat pun orang kata sebab dia YB lah dia kaya, padanlah dengan taraf dia, YB lah katakan. Tak tau, YB jenis ni lah yang perabis duit rakyat untuk tembolok dia sorang saja. Tapi jangan cakap kat orang kampung macam tu, marah dia orang, sebab itu YB dia orang yang pilih, takpelah biar dia kaya...kita susah kedana dah nasib kita. YB tu ada juga bagi kain pelikat, kain batik, baja, buatkan gelanggang takraw...cukuplah tu, kata orang kampung. Lagipun YB tu ada kena-kena dengan waris kita juga, bukan orang lain pun.... itulah jawapan biasa dari orang kampung saya.

Tapi di zaman internet dan serba canggih ni, maklumat sudah senang diperolehi dan di akses baik kepada orang kampung mahupun di bandar. Zaman dacing dan upah RM5 telah lama berlalu. Orang kampung pun dah makin cerdik untuk membezakan pemimpin mana yang patut di pilih oleh mereka. Pemimpin tidur, lembik, tak membangunkan negara, rasuah dan kroni sudah mula ditolak oleh penduduk kampung. Hanya yang betul-betul boleh membawa perubahan dan kerajaan yang berkebajikan kepada rakyat akan mendapat tempat di hati orang kampung. Oleh itu mengundilah dengan bijak pada pilihanraya ke 12 nanti.

Wednesday, February 13, 2008

seDiKit beRitA kaWan-KaWaN laGi

Sepanjang cuti tahun baru cina dan selepas cuti, nak kata sibuk sangat tu takdelah tapi tak sempat nak menulis apa-apa untuk blog. Berita berkaitan kengkawan budiMaN pun tak banyak yang saya boleh share kat sini kerana tak banyak kengkawan yang saya jumpa dan berkomunikasi kebelakangan ni. Tapi sesekali bila jengok blog dan lihat kaunter yang sentiasa menerima kunjungan melebihi 100 hits sehari membuatkan saya fikir ramai yang mengunjungi untuk mengetahui artikel terbaharu atau perkembangan kengkawan budiMaN di sana sini. Insyaallah jika ada sebarang berita terbaharu berkaitan kengkawan, akan saya siarkan di sini secepat mungkin.

Pada 10hb Februari 2008 yang lalu, saya sekeluarga meraikan harijadi Aimin, anak ke 2 saya di tempat biasa kegemaran beliau iaitu di Pizza Hut, Wangsa Maju sebelum menghantar kakak sulong beliau pulang ke asrama. Dah 13 tahun dah umur Aimin dan kami pun dah tinggal bertiga sahaja di rumah sejak anak sulong saya Sarah tinggal di asrama. Kekadang terasa sunyi juga maklumlah keluarga kecil macam saya. Rupa-rupanya Kudin Mekanik pun ada memberitahu saya perkara yang sama sejak anak ke2 beliau juga kini tinggal di asrama. Kudin pun berkeluarga kecil macam saya juga. Nampaknya sudah sampai kita semua ke tahap umur di mana anak-anak meninggalkan kita untuk tinggal di tempat lain. Jangkamasa ibubapa dengan anak-anak serasakan semakin pendek dan kita cuma ada sekitar 12 tahun untuk bersama sentiasa dengan anak-anak dan selepas mereka meninggalkan kita untuk duduk di asrama, yang ada cuma masa apabila mereka pulang ke rumah untuk bercuti sahaja. Dan ianya akan terus berkekalan apabila mereka seterusnya melangkah ke universiti dan kemudiannya memperolehi pekerjaan dan hidup sendiri. Bila memikirkan keadaan sebegini, akan menyedarkan kita bahawa ibubapa sentiasa mengingati anak-anak mereka walaupun di mana mereka berada dan sentiasa mengharapkan khabar berita. Telefonlah mereka sekerap yang boleh dan jika berkesempatan pulanglah sekerap yang boleh untuk berjumpa dengan mereka, itu kesedaran yang saya perolehi bila berjauhan dengan anak sendiri.

Malam Isnin lalu, saya juga berkesempatan teh tarik dengan Antu dpA dan Puis dbS yang datang ke Kuala Lumpur. Itupun dah agak lewat juga dalam pukol 1-00 pagi kerana saya mempunyai urusan sebelum itu. Sembang-sembang pun sampai pukol 3-00 pagi juga. Balik dari teh tarik sempat juga tengok perlawanan ePL Arsenal vs Blackburn yang dimenangi oleh Arsenal dengan keputusan 2-0 hasil jaringan Sanderos dan Adebayour. Kini Arsenal mendahului ePL dengan lebihan 5 mata dari Manchester United.

Baru-baru ini juga sempat tengok filem terbaharu di pawagam iaitu Rambo 4. Cerita mengisahkan Rambo menyelamatkan sekumpulan sukarelawan amal yang pergi ke Mynmar dan terperangkap dalam perang disana. SK ada tanya saya, agak-agaknya kalau budiMaN menganjurkan misi sukarelawan ke Myanmar macam tu, ada ke orang yang nak pergi. Susah saya nak jawab. Misi amal dalam negeri pun separuh nyawa nak mengusahakannya, kalau kat tempat asing tak taulah. Tapi memang saya akui, mat-mat salleh memang ramai yang sanggup bersabung nyawa untuk pergi ke misi-misi sukarelawan ke tempat-tempat yang di landa perang dan disamping itu mereka menyebarkan agama mereka kepada penduduk yang diziarahi. Mereka pergi bukan pun dengan bantuan kerajaan tetapi melalui persatuan-persatuan mereka seperti persatuan gereja kampung dan sebagainya dengan menyusup masuk ke tempat-tempat tersebut dengan penuh risiko bahaya dengan penuh cekal dan berani untuk memberikan bantuan dan menyampaikan dakwah agama mereka. Tetapi kalau kita lihat umat Islam terutama sekali bangsa kita sendiri, orang Melayu, memang menyedihkan. Kalau ada pun ura-ura nak pergi mesti di tentang dengan kata-kata... "buat apa nak menyusahkan badan pergi tempat-tempat macam tu" ... atau... "negeri sendiri tak tertolong nak sangat bantu tempat orang". Kalau adapun macam persatuan Mercy Malaysia, itupun dengan bantuan kerajaan. Memang Melayu Islam tidak suka dan mempunyai keberanian, kecekalan untuk explore tempat-tempat baru, jauh sekali untuk menyampaikan dakwah Islamiah dan sebab itulah Melayu Islam di Malaysia ini hanya berkokok di negara sendiri tidak seperti bangsa-bangsa lain yang merata terdapat dimuka bumi Allah yang luas ini. ( Nasib baik juga budiMaN ada Amir sekeluarga yang begitu cekal di negeri asing membina kehidupan di sana... Syabas Amir!) Sebab itulah kita dapati agama Kristian berkembang maju dengan bilangan penganutnya yang semakin ramai. Contoh kalau siapa tengok African Cup baru-baru ini, sebilangan besar pemain-pemain membuat tanda salib sebelum masuk ke padang. Bilakah agaknya umat Islam khususnya bangsa Melayu akan menjadi berani dan cekal sebegitu meredah perang dan risiko untuk mengembangkan agama Allah di serata pelusuk dunia ini?

Yang saya perhatikan di sekeliling saya cuma mereka yang bercerita tentang politik yang tak habis-habis. Maklumlah menjelang pilihanraya. Cerita pemimpin kerajaan yang lembik, kaki tidur, rasuah, kroni, harga barangan naik dan kerajaan yang lemah atau pembangkang yang semuanya tak betul. Ada kawan-kawan saya pula bercerita bagaimana dia orang nak sapu duit peruntukan kerajaan menjelang pilihanraya ni. Nak buat duit berjuta-juta. Masa nilah ketikanya yang sesuai dia orang kata. Ada tu yang dah sapu pun duit kerajaan. RM18juta dan sekarang hidup berpoya-poya sahaja. Dalam kepala hanya : bangun tidur, golf, perempuan, enjoy, mabuk dan balik tidur. Bangun esok perkara yang sama. Aman betul dunia ni pada dia orang. Ananda Krishnan pun tabik spring kat dia orang ni. Takde fikir masalah dunia, masalah dia orang...golf, pompuan, mabuk, tidur. Segala night club kat Heritage Corner dan area Jalan Sultan Ismail dia orang yang punya. Kat Heritage Corner tu, berderet-deret BMW, Merc, Porsche, Ferrari, Lambo parking kat situ. Kebanyakannya Melayu Islam Malaysia dan itulah bakal-bakal pemimpin kita di masa hadapan. Yang kuli-kuli macam kita ni berperit jerih buat kerja, yang boss-boss kita yang nampak cerdik, elegen, berkuasa, bagus-bagus (muka kalau kat office nampak macam gentleman, warak, tak pernah fikir pasal berpoya-poya) tulah yang sebenarnya malam-malam dok bagus kat Shunshine Club, Bar Club, The Loft, Sapphire, Hard Rock Cafe, Planet dan macam-macam lagi berparty dan berbelanja hampir RM10 ribu satu malam. Ada satu personaliti ni saya dengar kalau dia dapat untung kontrak RM10 juta, separuh daripada tu RM5juta memang khas untuk party sahaja (kalau sebut nama memang semua kenal). Ada satu personaliti lagi ( kalau saya sebut nama lagi korang kenal dan ada sangkut paut jugak dengan sorang budiMaN), pasal nak pujuk girlfren merajuk sanggup bawak private jet pergi Tokyo sewa banglo USD4 ribu semalam sebelum singgah balik kat Bangkok untuk satu seminar.

Banyak pulak dah saya menceceh pagi-pagi buta ni. Jam pun dah pukol 3-00 pagi. Okaylah beb, nanti-nanti saya cerita lagi apa yang berlaku di sekeliling saya. Kepada budiMaN, kalau ada berita apa-apa tentang anda atau kengkawan budiMaN yang lain yang nak share dengan kami semua di sini, e-mail-email lah saya yer.

Friday, February 08, 2008

seDiKit beRitA kaWan-KaWaN

Cuti Tahun Baru Cina selama 4 hari bermula semalam membuatkan suasana lengang di Kuala Lumpur. Saya sekeluarga hanya mengambil kesempatan cuti ini untuk berehat di Kuala Lumpur sahaja dan setakat ini tiada rancangan untuk keluar dari Kuala Lumpur lagi. Semalam pun kami sekeluarga hanya keluar dan menikmati makan malam keluarga Mee Sup Special Kedah Style di Bandar Tasik Permaisuri. Sebelum tu pada petangnya Sarah dan Aimin pergi ke rumah kawan mereka untuk melihat hamster peliharaan mereka yang kini dijaga oleh seorang kawan Sarah. Katanya dah ada 13 ekor dah hamster tersebut daripada 2 ekor pada asalnya. Dan insyaallah pada petang ini nanti selepas sembahyang Jumaat, kami sekeluarga bercadang untuk menziarahi nenek saya yang berada di Sg Buloh. Selepas itu maybe akan singgah di rumah Kudin Mekanik untuk mengambil tempahan kain sekolah Sarah yang telah di siapkan oleh isteri Kudin, Aisyah.
Untuk pengetahuan kengkawan budiMaN, Aisyah, isteri Kudin mengambil tempahan untuk membuat baju kurung. Jadi kalau ada kengkawan budiMaN yang nak tempah baju kurung bolehlah menghubungi Kudin. Baju kurung jahitan Aisyah cantik, dengan jahitan yang halus dan teliti serta upah yang berpatutan.

2-3 hari yang lepas, Kudin juga ada menghubungi saya mencadangkan untuk pergi makan-makan bersama keluarga bersama keluarga saya dan keluarga Fadil Sutoq. Mungkin malam nanti bolehlah kami beramai-ramai bersama keluarga untuk makan malam bersama di sekitar Selayang. Kalau ada kengkawan lain yang nak join sekali bersama keluarga, marilah sekali.

Mat Taib diB pula berada di Kuala Lumpur pada cuti tahun baru cina ini bersama keluarga beliau tetapi saya tidak sempat untuk bergolfing dengan beliau. Mungkin beliau bergolfing dengan kengkawan yang lain. Puis dbS pula ada sms kepada saya memberitahu beliau akan datang ke Kuala Lumpur pada Isnin-Selasa depan untuk urusan kerja dan ingin bertemu dengan saya.

Lain-lain berita kengkawan tak ada pula yang sampai kepada saya. Mungkin sepanjang cuti tahun baru cina ramai yang pulang ke kampung atau bercuti di tempat-tempat peranginan di luar negeri dan dalam negeri.

Sepanjang minggu ini juga ada beberapa perkara yang saya perhatikan dan menarik perhatian saya berlaku di sekeliling kita semua baik di internet atau di persekitaran kita. Antaranya :

1. Rayuan oleh sekumpulan kawan-kawan kepada Kementerian Pengankutan berhubung kemalangan bas yang telah meragut 3 nyawa kawan-kawan mereka iaitu Lee Nian Ning, Mohd Zailani dan Pang Boon Eng pada 25 Jan 2008 lalu di Slim River. Rayuan mereka mempersoalkan kenapa bas yang mempunyai 13 saman masih dibenarkan beroperasi setelah sebelum ini kemalangan yang melibatkan bas seumpama ini telahpun berlaku dan melibatkan nyawa yang banyak. Nian Ning ialah pelajar jurusan perubatan tajaan JPA di Uni Of New South Wales, Australia. Nampaknya Kementerian Pengankutan masih lagi belum mengambil sebarang tindakan dan nasib pelajar-pelajar miskin yang tidak mampu menaiki kapalterbang seperti golongan kaya dan hanya bergantung kepada kenderaan awam tidak begitu mendapat perhatian. Bayangkan betapa hancurnya hati ibubapa Nian Ning yang tentunya berharapkan anak mereka itu akan mengubah nasib keluarga mereka terkorban begitu sahaja. Memang betul ianya ketentuan takdir Illahi, tetapi yang dipersoalkan apakah yang di buat oleh Kem Pengankutan dan kerajaan selama ini ke atas syarikat-syarikat pengankutan sebegini. Ianya di senyapkan begitu sahaja tanpa sebarang tindakan.

2. Begitu banyak saya lihat kini kereta-kereta Mercedes Benz CLS350, CLS500 berada di atas jalan di Kuala Lumpur ini. CLS ini lebih kurang macam S Class cuma lebih sporty dan tak nampak macam chauffer driven car. Begitu ramai golongan kaya di Kuala Lumpur sekarang ini. Harga sebuah CLS ini serendah-rendahnya untuk kereta recond bagi CLS350 sekitar RM650 ribu sebuah, Ada yang mencecah jutaan ringgit juga. Khabarnya kalau ada mesyuarat UMNO di PWTC antara ketua-ketua bahagian, berderet-deret CLS ini di tempat parking. Memang mewah ekonomi Malaysia sekarang ini di bawah kepimpinan Pak Lah. Yang menarik perhatian saya di sini ialah beberapa CLS yang saya temui di warung-warung makanan Cina tepi jalan berhampiran rumah saya. Saya kata pada SK, kalau Melayu pakai CLS ni, memang tak berhenti lah makan kat warung tepi jalan ni, tapi tengok orang Cina, sekaya mana pun mereka tetap berhenti makan di warung-warung yang Melayu kata unhygenic ni.

3. Ni lagi satu cerita pasal Melayu yang dah jadi kaya giler. Kawan jugaklah, dengan saya takde apa-apalah tapi dengan ada 2-3 orang kawan baik beliau yang dah putus sahabat baru-baru ni. Semuanya kerana pasal dah jadi kaya giler, dan merasakan sahabat-sahabat yang menumpang beliau selama ini menyusahkan dan suka mengambil kesempatan sahaja. Padahal sahabat-sahabat tersebutlah yang bela beliau selama ini masa dia susah papa kedana 3-4 tahun yang dulu. Manusia berubah apabila kaya giler, itu realiti.

4. Sebut pasal kaya giler ni, ada satu cerita pasal sahabat budiMaN jugalah, tapi takdelah kaya giler, mungkin kategori senang sikitlah. Cerita ni pun saya perolehi dari kawan budiMaN juga. Katanya ada kawan budiMaN kita ni, kalau jumpa kengkawan dia punya magic word..."Aku susah teruk sekarang ni" tapi sebenarnya duit ada bertimbun-timbun. Kalau jumpa kawan asyik mintak kawan belanja sebab kononnya dia susah. Rupa-rupanya beliau ni takut kalau kengkawan budiMaN tahu dia ni banyak duit sebab nanti takut kengkawan nak tumpang kesenangan dia dan mintak macam-macam kat dia, duit dia, projek la dll. Rupa-rupanya ada jugak kengkawan yang sanggup tipu kengkawan cuma kerana takut kengkawan nak duit dia. Susah saya nak komen jenis macam ni.

Tulah serba sedikit cerita-ceriti yang dapat saya sampaikan sempena cuti tahun cina ini.

Saturday, February 02, 2008

cLaRk gAbLe

Seperti yang di janjikan oleh Bilal semalam yang menyambut harijadi beliau bersama Clark Gable di Melaka, Bilal pagi-pagi lagi telahpun mengirimkan MMS gambar Clark sekeluarga kepada saya. Clark Gable atau Norafendi dpA memang cukup terkenal semasa di UitM Kuantan dulu. Clark kini bertugas di JPJ Melaka khabarnya di bahagian Undang-Undang dan sering bertindak sebagai Pegawai Pendakwa untuk kes-kes JPJ.

Friday, February 01, 2008

seLAMat haRiJadi biLaL

Hari ini rupa-rupanya harijadi Bilal yang ke 43. Bilal pula kini berada di Melaka kerana urusan kerja. Katanya malam ini dia nak celebrate belanja makan dengan Clark Gable dpA kat Melaka. Apa-apapun saya sekeluarga mengucapkan selamat harijadi kepada Bilal semoga sejahtera dan sihat sentiasa di samping keluarga dan sahabat-sahabat semua.

seDiKit beRitA kaWan-KaWaN

Lama jugak tak buat posting baru selepas balik dari eM2bP tempohari. Kena pulak balik dari eM2bP tu dah rasa tekak perit semacam akibat cuaca yang panas terik. Balik dari eM2bP pula Aimin demam panas dan terpaksa jaga dia semalaman. Isnin baru ni pulak pergi daftar Sarah ke Sekolah Teknik Gombak, dalam cuaca panas terik juga, jadi apa nak kata malam tu saya pula terus demam panas. Rupa-rupanya bukan saya seorang saja yang demam balik dari eM2bP, Charlie Koy juga turut demam panas sampai hari Rabu. Namun, alhamdulillah, demam saya dan Aimin dah kebah dah dan harap Charlie jugak dah sihat macam biasa. So selain dari berita demam ni ada beberapa berita lagi yang saya nak kongsi di sini dengan budiMaN semua iaitu :

1. Terimakasih kepada Bilal yang telah mengirimkan saya MMS memberitahu bahawa akhbar Sinar Harian Edisi Pahang telahpun menyiarkan berita berkaitan eM2bP pada hari Selasa yang lepas (29hb Jan 2008). Keratan akhbar tersebut seperti di atas tetapi saya tidak dapat membaca rencana tersebut dengan jelas kerana MMS yang dikirim terlalu kecil saiznya. Akhbar Sinar Harian Edisi Pahang ini pula tiada di jual di Kuala Lumpur. Walaubagaimanapun dari apa yang saya dapat baca menerusi gambar di atas telah tertera address blog ini dan seruan saya tempohari agar lebih ramai budiMaN yang tidak mengetahui tentang kewujudan kesatuan kita ini agar dapat menyertai kita nanti di acara-acara kerja amal kita yang akan datang.

2. Pada hari Rabu, 30hb Jan 2008 baru-baru ini juga, beberapa kengkawan budiMaN dari Maran, Temerloh dan Kuantan telah turun ke Kuala Lumpur kerana beberapa urusan kerja masing-masing pada hari Khamis keesokannya. Jadi pada petang Rabu itu, saya dan mereka telah sempat bermain golf bersama-sama di Bangi Equatorial Golf Club bermula jam 3-30 petang dan berakhir kira-kira jam 9-00 malam (sebab hujan lebat di pertengahan dan permainan tergendala kira-kira 1 jam). Antara budiMaN yang bermain pada petang itu ialah saya sendiri, Che Dat, Antu, Raman Kerbau, Zil (junior batch 92) dan Hanif diB (batch Jan 85). Zil pula rupa-rupanya satu batch dengan isteri Antu semasa di Kuantan dahulu dan pernah pergi ke rumah beliau di Kuantan. Selesai golf, kami sempat makan malam di Coffee House Bangi Golf Resort dan mandi serta bersalin pakaian sebelum beredar kira-kira jam 10-00malam.

Kemudian kami beredar ke Kuala Lumpur dan menanti di sana Megat diB (batch Jan 85 yang kini bekerja dengan BERNAMA) dan Mat Rock @ Nasrun diA. Puis dbS juga turut tiba dari Kuantan kira-kira jam 2-00 pagi dan turut join kami semua. Akhirnya sessi teh tarik kami semua berakhir di sebuah restoran di Kg Baru kira-kira jam 4-00 pagi. Sebelum balik ke Kuantan pada petang semalam(Khamis), sempat saya berteh tarik sekali lagi dengan Raman Kerbau, Puis dan Antu di Restoran NZ Wangsa Maju.

3. Semasa bermain golf pada petang Rabu itu juga, saya ada di hubungi oleh Mat Taib diB dari Kemaman, yang menanyakan jika ada di antara kengkawan yang ingin mengadakan acara golf semasa cuti Tahun Baru Cina nanti. Dia minta saya war-warkan di blog dan harap kengkawan dapat menghubungi beliau jika ada yang kelapangan. Mat Taib boleh dihubungi menerusi 017-9595388.

Begitulah beberapa berita yang dapat saya kongsi bersama rakan-rakan tetapi malangnya gambar-gambar semasa acara golf tak dapat saya ambil kerana terlupa nak bawak kamera dan handphone saya pula dah kekurangan bateri.