Wednesday, January 31, 2007

pROjeK meMbaNTu maNGsa baNJiR jOhOr - siRi 11

Pagi tadi dalam perjalanan ke Selayang kerana beberapa urusan kerja, Che Dat telah menelefon saya untuk memberitahu bahawa jadual seperti perancangan kita di artikel 10 dibawah telah disahkan. Sebagai tambahan maklumat terkini pula adalah :

1. Program bersama-sama Jabatan Belia Dan Sukan Batu Pahat di Pusat Pemindahan Banjir Sri Medan akan dimulakan sekitar jam 10-00 pagi iaitu apabila konvoi kita sampai. Oleh kerana itu kita sememangnya terpaksa bermula awal pagi dari Kuala Lumpur seperti rancangan iaitu bertolak dari Tol Sg Besi sekitar jam 7-00 pagi. Semua kawan-kawan yang menyertai konvoi di minta keluar rumah awal dan kalau terpaksa nampaknya kena lah sembahyang suboh di mana-mana dalam perjalanan itu. Perjalanan ke Exit Yong Peng Utara mengambil masa 2jam setengah dan dari Tol Yong Peng Utara kita akan bertemu konvoi Kuantan terdiri dari Bilal dan Puan Ummi dan keluarga. Dari Tol Yong Peng Utara ke Sri Medan perjalanan sejauh 15km pula untuk ke Pusat Pemindahan Banjir tersebut. Eloklah kita bermula awal kerana pengalaman seperti di Pregat dulu perjalanan dari KL ke Kuantan mengambil masa 6 jam bila berkonvoi ramai-ramai macam tu padahal sepatutnya dalam 3 jam sudah sampai ke Kuantan.

2. Minuman dan kuih-kuih, makan tengahari dan minum petang akan disediakan oleh Jabatan Belia & Sukan Batu Pahat dan kita mungkin akan membayar mengikut kiraan kepala yang akan diberitahu nanti. Oleh itu sesiapa yang namanya telah disenaraikan dibawah untuk pergi atau ada sebarang perubahan sila beritahu saya dengan kadar segera. Sesiapa yang nak menyertai konvoi ini juga diminta membuat keputusan dengan segera dan memberitahu saya supaya penyediaan makanan dan minuman nanti dapat disediakan untuk semua peserta konvoi. Makanan dan minuman itu juga nanti adalah ala kadar sahaja dan mungkin juga nasi bungkus jadi harap semua peserta tak banyak cikadak sangat lah.

3. Jumlah keluarga mangsa banjir yang akan kita ziarahi nanti berjumlah 30 keluarga dan semuanya adalah keluarga beragama Islam.

4. Acara gotong royong yang akan diadakan pada sebelah petang bersama-sama Team Rakan Muda Daerah Batu Pahat akan membersihkan kawasan surau di sebuah kampung berdekatan. Peralatan pembersihan akan disediakan oleh Jabatan Belia & Sukan BP.

5. Untuk makluman semua kawasan gotong royong masih lagi dalam keadaan becak dan berlumpur, jadi bawalah pakaian yang bersesuaian untuk kerja-kerja pembersihan tersebut. Walaubagaimanapun pakaian konvoi di sebelah pagi adalah tetap seperti pakaian yang digalakkan iaitu T'Shirt Putih Plain dengan seluar jeans/khakis biru gelap atau hitam. Dinasihatkan membawa tuala dan pakaian gantian kerana mungkin selepas gotong royong ada yang nak mandi dan bertukar pakaian dsb.

6. Sebenarnya kalau kita ingin bermalam di Melaka, rasanya tempat Che Dat di Komplek Sukan Alor Gajah mempunyai asrama yang boleh digunakan. Siap ada Futsal lagi katanya. Tapi terpulanglah kepada kawan-kawan kerana maybe ramai yang nak balik juga selepas selesai eM2bJ di Sri Medan, Batu Pahat nanti. Kalau nak tido Melaka ramai-ramai pun gua tak kisah beb.

7. Pembelian barangan untuk sumbangan keluarga dan hadiah serta sumbangan untuk kanak-kanak akan digunakan dari duit sumbangan tabung eM2bJ yang setakat ini berjumlah RM1,770. Sumbangan barangan keluarga akan dibeli dari Kedai Mydin Nilai untuk 30 keluarga dan hadiah pertandingan mewarna sebanyak 10 hadiah manakala sumbangan alat tulis dan peralatan sekolah adalah untuk 100 kanak-kanak di sana nanti. Saya dengan kawan-kawan akan cuba mendapatkan kewangan yang secukopnya bagi mengadakan barang-barang tersebut. Sumbangan untuk keluarga dalam bentuk barangan adalah seperti sejadah, Al-Quran, Telekung, kain pelikat dan kain batik adalah sebagai keutamaan.

Setakat ini itulah perkembangan terkini berkaitan eM2bJ yang akan kita laksanakan insyaallah pada 3hb Februari 2007 nanti. Kepada kawan-kawan yang belum menyumbang silalah membuat sumbangan dengan kadar segera dan sumbangan akan ditutup pada jam 5-00petang 2hb Februari 2007. Kepada sesiapa yang nak menyertai konvoi amatlah di alu-alukan kerana kita masih kekurangan peserta untuk konvoi. Terkini Clark Gable dan Kudin Mekanik akan menyertai konvoi ke Sri Medan.

pROjeK meMbaNTu maNGsa baNJiR jOhOr - siRi 10



Setelah berbincang dengan Che Dat, Bilal dan Kitang pada petang semalam maka eM2bJ ini akan dilaksanakan pada 3hb Februari 2007 seperti berikut :

Pukol 7-00 pagi : Semua peserta yang akan menyertai konvoi akan berkumpul di area Gerai Buah-Buahan Serdang selepas Tol Sg Besi untuk bertolak ke Sri Medan, Batu Pahat.
Pukol 9-00 pagi : Konvoi dari KL akan bertemu Konvoi dari Kuantan di Tol Yong Peng Utara dan akan bertolak terus ke Pusat Pemindahan Banjir Sri Medan, Batu Pahat.
Pukol 10-00 pagi : Semua peserta bersama-sama Jabatan Belia dan Sukan Daerah Batu Pahat akan memulakan acara pertandingan mewarna bagi kanak-kanak yang dibahagikan kepada 2 kategori iaitu peringkat sekolah rendah dan pra-sekolah. Sedikit minuman ringan dan kuih-kuih akan disediakan. Di penghujung acara ini akan diadakan penyampaian hadiah dan cenderamata kepada kanak-kanak berkenaan. Penyampaian bantuan barangan kepada 30 buah keluarga juga akan dilakukan sekali.
Pukol 12-30 tgh : Makan tengahari bersama keluarga-keluarga mangsa banjir, peserta dan kakitangan Jabatan Belia dan Sukan Batu Pahat.
Pukol 2-30 ptg : Gotong-royong bersama Team Rakan Muda anjuran Jabatan Belia dan Sukan Batu Pahat, membersihkan rumah-rumah mangsa banjir akan diadakan. Peralatan pembersihan akan disediakan oleh Jabatan Belia.
Pukol 5-00 ptg : Program eM2bJ dijangka selesai dan konvoi bertolak balik ke destinasi masing-masing.

Pakaian konvoi : Baju T'Shirt berkolar putih plain dan seluar jeans/khakis biru gelap atau hitam.
Konvoi akan dikenali sebagai BUDIMAN iaitu Bekas-Bekas Pelajar UiTM Caw. Pahang.

Setakat ini peserta-peserta yang telah mengesahkan untuk menyertai konvoi adalah seperti berikut :

1. Bilal dan keluarga - 2 orang dan anak2
2. Saya dan keluarga - 2 orang dan anak2
3. Kitang dan isteri - 2 orang
4. Syed Hamid - 1 orang
5. Kudeng - 1 orang
6. Nor Anita - 1 orang
7. Raman Shakri - 1 orang
8. Ummi dan keluarga - 2 orang dan anak2 ( belum comfirm betul2 lagi)
9. Sidi - 1 orang
10. Fadil Othman - 1 orang

So sekarang cuma ada 14 orang dewasa sahaja yang akan pergi dan kita memerlukan seramai 20 orang dewasa sekurang-kurangnya. Maka dengan itu saya merayu jika ada kengkawan yang mempunyai kelapangan agar dapatlah sudi kiranya menyertai konvoi nanti. Sebuah program kebajikan yang di lakukan dengan kerjasama sebuah jabatan kerajaan khas untuk melayani kehendak kita bukanlah suatu acara yang boleh dipandang remeh. Marilah kita bersama-sama meramaikan demi menunjukkan kepaduan ikatan persahabatan bekas-bekas pelajar ITM Pahang terutamanya dalam aktiviti kebajikan sebegini. Sesiapa yang ingin menyertai konvoi nanti silalah berhubung dengan saya atau Kitang untuk mendapatkan maklumat lanjut.

pROjeK meMbaNTu maNGsa baNJiR jOhOr - siRi 9




Mendengar cerita kawan-kawan berkaitan eM2bJ yang akan kita jalankan Sabtu ini, saya rasa amat terharu dengan usaha-usaha sesetengah daripada kita dalam memastikan perancangan kita ini berjaya. Ada yang saya dengar begitu teruja dengan ekspedisi ini dengan menghantar sms, menghantar e-mail dan membuat salinan photocopy artikel blog bagi difaxkan kepada kawan-kawan sebagai usaha untuk memohon sumbangan. Ada yang seluruh keluarga begitu teruja untuk membuat kerja-kerja pembungkusan pakaian dan barangan lama sehinggakan pasangannya sanggup membasuh, menjahit balik butang-butang baju lama, seterika kan balik baju lama tersebut dan sebagainya sebagai memastikan pakaian yang dihantar nanti dalam keadaan yang baik dan sempurna. Setiap hari keluarga beliau bertanyakan perkembangan eM2bJ yang di rancang dan menantikan sebarang berita dari blog. Ada yang seluruh keluarga membantu membuat pembungkusan barangan yang dihantar oleh rakan-rakan sekerja dan jiran tetangga. Itu tidak di kira masa, wang ringgit dan tenaga yang dicurahkan demi menjayakan eM2bJ ini. Terima kasih dan semoga Allah jua yang membalas keikhlasan dan usaha penat lelah anda sekeluarga.

Rupa-rupanya itulah hikmah kita membuat eM2bJ ini. Susah untuk mencari permata diantara kaca. Syukur juga dengan izin Allah bila terjadinya eM2bJ dapat juga kita menjumpai permata-permata itu. Rupa-rupanya selama ini kita hanya dikelilingi kaca-kaca yang terhempas sahaja.
(Gambar-gambar di atas semasa Ummi menyerahkan bungkusan pakaian lama kepada Bilal di Kuantan - Gambar besar di link Gambar Blog)




Tuesday, January 30, 2007

pROjeK meMbaNTu maNGsa baNJiR jOhOr - siRi 8

Che Dat ada memberikan komen berkaitan eM2bJ yang akan di adakan pada Sabtu ini. Saya siarkan komen beliau di bawah :

Che Dat said...
Aku dah confirmkan dgn Pegawai di BP kita akan ke sana pd 3/2 seramai 20 org.Lokasi kita Sri Medan.Sumbangan kita utk 30 keluarga.Program kita adakan pertandingan mewarna/melukis utk pra sekolah n sek rendah.Kita sediakan 10 hadiah n 100 kotak pensil warna.Kemudian sampaikan sumbangan utk 30 keluarga n gotong royong membersih rumah bersama sukarelawan Rakan Muda.Peralatan dah ada.Lepas tu kita balik.Semoga ramai lagi RODONGS yg akan bersama dan sumbangan wang amat diperlukan lagi supaya lebih byk barang blh diberi kpd saudara kita di BP

So minta kengkawan yang bermesyuarat semalam ambil perhatian. Kalau ada yang nak menderma sila-silakanlah walaupun tak dapat menyertai ke Johor. Kalau dapat pergi ke Johor sekali memanglah dialu-alukan sesangat kerana memang yang pergi tak sampai 20 orang lagi. Baru ada 7 orang setakat ini. Mintak lah jasa baik kengkawan yang prihatin. Semuga dibukakan pintu hati kalian semua oleh Allah swt.

pROjeK meMbaNTu maNGsa baNJiR jOhOr - siRi 7




Semalam petang setelah bergolfing dengan Antu dan Che Dat di Bangi Golf Resort, saya sempat berbincang dengan Che Dat berkenaan eM2bJ yang telah dirancang untuk diadakan pada hujung minggu ini. Setelah berbincang dengan Che Dat, saya terus pula menemui Kitang dan beberapa kawan-kawan kita yang telah menunggu di Sri Petaling untuk perjumpaan yang telah diatur oleh Kitang pada sebelah pagi semalam. Walaubagaimanapun kerana beberapa urusan Che Dat dan Antu tidak dapat menyertai perbincangan yang di adakan semalam di sebuah Restoran Mamak di Sri Petaling.

Saya sampai di Sri Petaling kira-kira jam 9-30 malam dan disana telah sedia menunggu Kitang, Nor Anita dan Kudeng. Tidak berapa lama kemudian Syed Hamid dan Fadil Othman juga turut serta sampai. Malangnya FG selaku Ketua Penyelaras eM2bJ tidak menjawab panggilan telefon dan terus tidak menghadirkan diri langsung.

Jadi kami berenam pun berbincang lah. Setelah semuanya mengeluarkan pandangan masing-masing maka hasilnya semua bersetuju untuk mengadakan eM2bJ seperti cadangan di bawah:

1. eM2bJ akan dilaksanakan dengan cara mengadakan sukaneka kanak-kanak dengan kerjasama Pejabat Belia dan Sukan Batu Pahat di salah sebuah Pusat Pemindahan Banjir di Batu Pahat yang akan dipilih mengandungi lebihkurang 30 keluarga mangsa banjir.

2. Sumbangan pakaian yang telah dikutip di Kuantan akan disalurkan juga kepada mangsa banjir sementara sumbangan pakaian dan barangan lama di Kuala Lumpur tidak akan diadakan memandangkan sambutan dan respon yang amat menyedihkan daripada kengkawan.

3. Sumbangan tunai daripada beberapa individu yang terkumpul setakat ini akan digunakan untuk membeli barangan yang akan di sumbangkan kepada mangsa banjir nanti.

4. Oleh kerana keperluan barangan seperti makanan dikatakan sudah terlampau banyak terkumpul di Pusat-Pusat Pemindahan Banjir, maka perbincangan semalam bersetuju untuk memberikan sumbangan berbentuk Kain Pelikat, Kain Batik, Sejadah, Al-Quran, Telekung dan beberapa barangan yang akan di fikirkan bersesuaian dengan kutipan yang ada. Setiap keluarga mangsa banjir akan menerima satu bungkusan mengandungi barang-barang tersebut nanti.

5. Satu acara sukaneka kanak-kanak seperti permainan dan pertandingan lukisan dan mewarna akan diadakan di Pusat Pemindahan Banjir itu nanti dengan kerjasama Pejabat Belia & Sukan Batu Pahat yang akan diuruskan oleh Che Dat. Kita akan menyediakan hadiah-hadiah untuk setiap acara permainan dan pertandingan sebagai satu cara sumbangan kepada kanak-kanak serta memastikan semua kanak-kanak akan menerima sumbangan. Sumbangan hadiah itu nanti ialah seperti peralatan alat tulis sekolah, pensil warna, beg sekolah, buku rampaian dan sebagainya. Kita akan turut terlibat sebagai pembantu kepada Jabatan Belia & Sukan dalam mengendalikan acara itu nanti disana.

6. Acara penyerahan sumbangan dan sukaneka itu nanti berkemungkinan akan diadakan pada pukol 2-30 petang 3hb Februari 2007 bertempat di Pusat Pemindahan Banjir yang akan dipilih nanti di Batu Pahat. Pada hari itu konvoi BUDIMAN (Budak ITM Pahang) akan berkumpul di Kedai Mydin Nilai dan dijangka akan bertolak ke Batu Pahat pada jam 10-30 pagi 3hb Februari 2007. Kita menjangkakan perjalanan tersebut akan mengambil masa 2 1/2 jam dan akan sampai di Batu Pahat pada lebih kurang jam 1-00 tengahari. Setakat ini yang telah mengesahkan penyertaan untuk konvoi nanti ialah :

- Bilal dan keluarga
- saya dan keluarga
- Kitang
- Syed Hamid
- Nor Anita
- Fadil Othman
- Kudeng

Sementara Che Dat akan menunggu kita semua di Batu Pahat dan itulah antara sebilangan kecil antara kita setakat ini yang sudi menyertai konvoi nanti. Kepada mereka yang sudi membuat kerja-kerja kebajikan sebegini, marilah kita bersama-sama nanti. Luangkanlah satu hari ini untuk mengejar pahala akhirat yang berkekalan dan tinggalkanlah kerja-kerja dunia yang sementara dan penuh mainan ini. Hanya untuk satu hari sahaja. Mereka yang pergi ini nanti akan turut mengendalikan acara penyerahan sumbangan serta membantu dalam acara sukaneka. Di fahamkan kebanyakan sukarelawan yang ditempatkan di Pusat-Pusat Pemindahan Banjir kini telah keletihan akibat terlalu lama berada di situ dan amat mengharapkan usaha dan bantuan dari kita semua. DRESS CODE : Semua peserta yang akan menyertai konvoi BUDIMAN nanti di galakkan memakai T'shirt berkolar putih plain dengan seluar gelap samada jeans atau khakis biru gelap atau hitam. Ini supaya menampakkan kita dalam satu kumpulan akan lebih terserlah.

7. Acara penyerahan sumbangan dan sukaneka tersebut di jangka selesai selewat-lewatnya dalam pukol 6-00 petang dan selepas itu konvoi akan bertolak balik ke Kuala Lumpur.

8. Sehingga tengahmalam semalam sumbangan tunai terkumpul hanyalah sebanyak RM1,400 dan sumbangan tunai amatlah diperlukan lagi bagi menampung cadangan perbelanjaan yang akan di lakukan nanti. Ini kerana kita memerlukan sekurang-kurangnya sebanyak RM3,000 bagi melaksanakan tujuan ini dan masa amatlah suntuk bagi kita. Ramai lagi antara kengkawan kita yang masih belum menyumbang dan saya amatlah berharap dalam bulan Muharam ini agar Allah swt membuka pintu hati anda semua untuk menyumbang dan sama-sama merasakan belas ihsan dan kepahitan mangsa-mangsa banjir di Johor. Kesengsaraan yang ditanggung oleh mereka bukanlah sedikit, si bapa hilang punca pendapatan, hilang harta benda, anak dan isteri harus di bela, persekolahan anak-anak terganggu, makan dan minum tidak menentu, tidor dan jaga tak seperti dulu. Bukalah pintu hati anda semua, sumbangkanlah mana yang termampu, mana yang terdaya, masa ini masa mereka, masa kita tak siapa yang tahu. Sumbangan anda nanti yang akan diberikan dalam bentuk sejadah dan Al Quran akan berkekalan pahalanya selagi ianya di gunakan, selagi Al Quran itu dibaca sehingga ke akhir hayatnya. Kawan-kawan, rebutlah tawaran dan ganjaran pahala ini, bukan selalu ianya menjelma, bukan selalu ianya datang.

Monday, January 29, 2007

pROjeK meMbaNTu maNGsa baNJiR jOhOr - siRi 6

Ini pesan Kitang dalam chatbox pada pagi tadi 10 Muharam 1428 :

KiTanG: Perjumpaan utk finalized our program bantuan banjir Johor akan diadakan di Carrefour Sri Petaling, jam 8.30pm, 29/01/07 (10Muharram 1428H)...semua rodong2 di Kelang Valley,PJ,S.Alam,Gombak,Sg Buluh..

Semua dijemput hadir ke sebuah Restoran Mamak berhampiran Carefour Seri Petaling pada malam ini.

FG juga ada sampaikan pesan kepada saya menerusi SK minta kawan-kawan semua comfirmkan samada nak pergi konvoi ke Johor. Tarikh pergi ke Johor tidak pula diberitahu kepada saya. FG kata dia nak buat headcount. So sape nak pergi sila call FG atau tanya dia untuk butiran lebih lanjut. No phone FG ada dalam artikel eM2bJ- akaun bank.

Sunday, January 28, 2007

eSOk 10 mUhaRaM - haRi aSYuRa

Esok Isnin adalah 10 Muharam 1428 bersamaan 29hb Januari 2007. Banyak fadilat kepada sesiapa yang menunaikan puasa dari 1 Muharam sehingga 10 Muharam tetapi fadilat yang besar berpuasa pada 10 Muharam. Antara fadilat yang terdapat pada 10 Muharam adalah seperti yang dikirimkan oleh Kitang kepada saya. Antaranya ialah :

1. Melapangkan masa / belanja anak isteri
fadhilat - Allah akan melapangkan hidupnya pada tahun ini.
2. Memuliakan fakir miskin
fadhilat - Allah akan melapangkannya dalam kubur nanti.
3. Menahan marah
fadhilat - Di akhirat nanti Allah akan memasukkannya ke dalam golongan yang ridha.
4. Menunjukkan orang sesat
fadhilat - Allah akan memenuhkan cahaya iman dalam hatinya.
5. Menyapu / mengusap kepala anak yatim
fadhilat - Allah akan mengurniakan sepohon pokok di syurga bagi tiap-tiap rambut yang di sapunya.
6. Bersedekah
fadhilat - Allah akan menjauhkannya daripada neraka sekadar jauh seekor gagak terbang tak berhenti-henti darikecil sehingga ia mati. Diberi pahala seperti bersedekah kepada semua fakir miskin di dunia ini.
7. Memelihara kehormatan diri
fadhilat - Allah akan mengurniakan hidupnya sentiasa diterangi cahaya keimanan.
8. Mandi Sunat
fadhilat - Tidak sakit (sakit berat)pada tahun itulafaz niat : "Sahaja aku mandi sunat hari Asyura kerana Allah Taala"
9. Bercelak
fadhilat - tidak akan sakit mata pada tahun itu.
10. Membaca Qulhuwallah hingga akhir seribu kali
fadhilat - Allah akan memandanginya dengan pandangan rahmah diakhirat nanti.
11. Sembahyang sunat empat rakaat
fadhilat - Allah akan mengampunkan dosanya walau telah berlarutan selama 50 tahun melakukannya.lafaz niat : "Sahaja aku sembahyang sunat hari Asyura empat rakaat kerana Allah Taala" Pada rakaat pertama dan kedua selepas fatihah di baca Qulhuwallah sebelas kali.
12. Membaca "hasbiyallahhu wani'mal wakil wa ni'mal maula wa ni'mannasiiru"
fadhilat - Tidak mati pada tahun ini .
13. Menjamu orang berbuka puasa
fadhilat - Diberi pahala seperti memberi sekalian orang Islam berbuka puasa.
14. PuasaNiat - "Sahaja aku berpuasa esok hari sunat hari Asyura kerana Allah Taala"
fadhilat - Diberi pahala seribu kali Haji, seribu kali umrah dan seribu kali syahid dan diharamkannya daripada neraka.

Semoga kita semua dapat melakukan sebahagian atau kesemua perkara di atas pada 10 Muharam nanti.

Saturday, January 27, 2007

maLaM Ni mESia vS sPOre daN FA cUp ePL

Malam ni jangan lupa pasukan Malaysia akan berentap dengan Singapura dalam separuh akhir Piala Asean (Tiger Cup). Ada siaran langsung kat ESPN dan TV1. Mari kita ramai-ramai beri sokongan kepada pasukan Malaysia. Selain itu kat ESPN dan Starsport juga ada FA Cup dan tengah malam nanti MU ada main.

Friday, January 26, 2007

pROjeK meMbaNTu maNGsa baNJiR jOhOr - siRi 5

Berikut adalah beberapa komen yang perlu diberi perhatian berkaitan sambutan terhadap program Ekspedisi Membantu Mangsa Banjir Johor (eM2bJ). 2 komen yang siarkan ini adalah dari Che Dat dan Bilal yang di postkan disini semalam.

Che Dat said...
Rodongs sekelian sumbangan segera anda akan memudahkan urusan menghantar bantuan kpd mangsa banjir.Rodongs diminta hantar sms/call rodongs yang lain untuk memberikan sumbangan.Kalau kita hanya byk cadangan sahaja tanpa tindakan yg pantas ianya tidak memberi apa2 makna.Biar sikit cadangan tapi kita laksanakan dgn pantas,berkesan n mencapai matlamat.Kerja2 amal ini mendekatkan kita dgn masyarakat n akan mendorong kita menghargai manusia,rodongs, masyarakat n kehidupan n boleh memberi ketenangan kpd jiwa kita.Cubalah kalau tak percaya

Anonymous said...
Che Dat, Kida, sumbangan berbentuk pakaian terpakai, barangan terpakai seperti pinggan mangkok datang mencurah-curah dari rakan-rakan tempat kerja lama dan jiran tetangga. Ingat nak minta tolong rozain dan hantu atau sesiapa yg ada di Kuantan untuk bantu Koi hari Ahad ni untuk menyusun atau membungkus. Rakan-rakan di Kuantan masih sepi tanpa berita. Mungkin mereka akan kerumah Koi hari Ahad ni kut.. Doa dan harapan begitulah hendaknya. Bilal

Setelah masuk 3 hari kita membentuk AJK atau steering committee (SC) yang akan melaksanakan eM2bJ dengan akaun untuk menyalurkan sumbangan kewangan, nampaknya usaha-usaha dari kita semua untuk menjayakan projek eM2bJ ini masih lagi tidak menampakkan bayangannya. Usaha hanya tertumpu kepada sesetengah individu sahaja yang berusaha keras untuk menjayakannya. Sedangkan masa amatlah penting dalam projek ini dan mangsa-mangsa banjir sememangnya menunggu dan mengharap bantuan kita semua. Walaupun kita lihat diakhbar atau di media banyak bantuan yang dihulurkan tetapi masih ramai lagi mangsa yang masih belum menerima bantuan disana.

Sehingga kini kita masih tiada ketentuan berkaitan beberapa perkara. Saya berharap SC akan dapat memutuskan dengan seberapa segera. Antaranya :

1. Apakah projek ini hanya untuk memberi bantuan tunai dan barangan sahaja atau adakah kita akan membentuk sukarelawan bagi membantu membersihkan kawasan banjir?
2. Dimanakah collection point barangan lama di KL? Di Kuantan telah ditetapkan dirumah Bilal.
3. Bilakah kerja-kerja pembungkusan barangan lama akan dijalankan? Siapakah sukarelawan yang akan terlibat dalam kerja-kerja pembungkusan? Peralatan untuk pembungkusan?
4. Dimanakah kerja-kerja pembungkusan barangan lama akan dijalankan?
5. Bagaimanakah barangan lama di Kuantan akan dibawa ke Johor?
6. Jika ingin menjalankan kerja sukarelawan membersih kawasan banjir, siapakah yang akan bertindak sebagai pendaftar sukarelawan? Bagaimanakah tentang peralatan pembersihan, siapakah yang akan menyediakan untuk sukarelawan? Dari manakah budget untuk pembelian peralatan pembersihan tersebut? Bagaimanakah tentang makanan dan penginapan sukarelawan? Pergi secara berkeluarga atau sendiri? Meeting point konvoi dsb.
7. Bagaimanakah pengankutan untuk membawa kesemua barangan ke Johor samada dari Kuala Lumpur dan juga Kuantan? Jika Bilal kata ada pinggan mangkuk dan barangan rumah lama, bagaimanakah cara ianya akan dibawa, cukupkah dengan pengankutan yang ada?
8. Bilakah tarikh sebenar eM2bJ ini akan dibuat, tarikh pergi ke Johor?

Saya berharap pihak SC sudah membincangkan dan memikirkan perkara-perkara di atas kerana kami di blog menantikan penerangan dari anda semua. Selain itu saya juga ingin mencadangkan beberapa perkara kepada SC iaitu :

1. Saya rasa kita tidak perlu menunggu berapakah jumlah kutipan sumbangan kita. Saya rasa SC mestilah mempunyai target berapakah sumbangan yang diperlukan untuk menjayakan projek ini. Mestilah mempunyai target berapa keluargakah yang akan dibantu. Contohnya 30 keluarga maka SC mestilah memikirkan berapakah peruntukan kewangan yang diperlukan untuk membantu 30 keluarga ini. SC mestilah berusaha mencapai target peruntukan kewangan untuk 30 keluarga tersebut melalui sumbangan dan sebagainya.
2. SC mestilah sudah mempunyai budget untuk melaksanakan projek ini. Apakah item barangan makanan yang akan disumbangkan dan berapakah peruntukan perbelanjaan untuk setiap keluarga yang akan dibeli dari Kedai Mydin Nilai. Walaupun ada perbezaan maklumat berkaitan keperluan sebenar barangan di tempat mangsa banjir tetapi barangan keperluan asas seperti air mineral, pampers, tuala wanita, makanan segera semestinya adalah item barangan yang akan disumbangkan dan perlu dibudgetkan.
3. Berapakah budget yang telah dirangka oleh SC bagi peruntukan tunai setiap keluarga mengikut target keluarga yang hendak dicapai?
4. Apakah alternatif SC jika target kewangan tidak tercapai? Plan B?
5. Adakah pihak SC ingin memanggil media untuk membuat liputan kecil?

Itu adalah beberapa persoalan yang perlu dijelaskan dan di rancang oleh SC dalam menjayakan projek ini. Ternyata ianya bukan satu projek kecil atau kita boleh anggap ini sebagai suatu perkelahan bersukaria sahaja. Dengan ini saya menyeru kawan-kawan yang lain semua untuk membantu SC dan janganlah hanya berdiam diri sahaja atau sekadar menghulurkan pakaian lama dan sumbangan tunai sahaja kerana kerja ini memerlukan pembabitan kita semua dan tidaklah boleh dijalankan secara one man show sahaja. Kalau nak kata kita semua sibuk bekerja, saya rasa ramai juga yang sibuk lagi dari kita dan terpaksa menguruskan projek beratus juta ringgit, tapi luangkanlah masa anda semua untuk kerja-kerja kebajikan ini walupun sekejap saja dalam sehari. Kalau tak dapat sumbang tenaga, sumbangkanlah buah fikiran dan cadangan bagi memudahkan SC menjalankan projek ini dengan jayanya.

Walaubagaimanapun saya penuh percaya SC yang telah diamanahkan untuk menjalankan projek ini akan dapat menjalankan tugasnya dengan penuh berwibawa demi menjayakan tujuan murni kita ini. Harap SC akan mengeluarkan sedikit kenyataan untuk menjelaskan perkara-perkara ini. Masa semakin suntuk dan eM2bJ ini saya fahamkan sudah mendapat perhatian dari pelbagai pihak seperti jiran-jiran tetangga kita, bloggers dan novelis, rakan-rakan sekerja di peringkat swasta dan lain-lain lagi. Jadi menjadi tugas kita untuk membuktikan bahawa kita bekas pelajar-pelajar ITM Cawangan Pahang semua mampu melaksanakan projek ini dengan jayanya, Insyaallah.

Thursday, January 25, 2007

thEaTeR mUZikaL kAnaK-kAnaK aLi bABa




Baru-baru ini pada cuti sekolah yang lepas telah berlangsung Theater Muzikal Kanak-Kanak Ali Baba dari 19 - 28 Dis 2006 di Panggung Sari, Istana Budaya. Saya sekeluarga sempat melapangkan masa beriadah menonton theater kanak-kanak ini yang saya rasakan memang best dan kerana itulah saya selitkan dalam artikel untuk kali ini. Next time kalau ada theater kanak-kanak sebegini memang saya tak nak lepaskan peluang untuk membawa family saya lagi. Berbaloi dengan masa selama 4 jam kita habiskan disitu.

Theater ini jalan ceritanya adalah biasa kita lihat sebelum ini seperti didalam cerita P.Ramlee, Ali Baba Bujang Lapok. Namun begitu persembahan yang dibawa oleh pelakun kanak-kanak dan Aznil Hj Nawawi pada malam itu memang menghiburkan sampai anak-anak saya yang sebelum ini pernah menonton theater yang lain tidak berganjak dari tempat duduk dan penuh konsentrasi.

Namun yang paling mencuit hati penonton pada malam itu selain dari telatah Aznil ialah pelakun kanak-kanak yang berlakun sebagai Sarjan Penyamun iaitu Putera Syamimhaikal yang berusia 6 tahun bersekolah di Tadika Gemilang, Jalan Gurney, Kuala Lumpur. Keletah beliau begitu bersahaja mencuit hati sehinggakan Aznil sendiri tak dapat menahan gelak beberapa kali dalam beberapa babak dalam theater tersebut. Lain-lain pelakun seperti Ahmad Zaidyanshah 10 tahun(Johan Bintang Kecil Smart-Kids 2006, Naib Johan Bintang Kecil RTM 2005), Ati Afira Kholid 12 tahun (membintangi theater DiMana Singa dan Theater Muzikal Rubiah), Ahmad Najib Badarudin 10 tahun, Sakdiyah Saleh 11 tahun serta Kumpulan Penyamun, Penari dan Kumpulan Alam dari Akademi Seni Pak Ngah sememangnya berbakat dan amat menghiburkan. Lain kali kita boleh konvoi ramai-ramai gathering tengok theater sambil bawak family di Istana Budaya pulak yer..

Wednesday, January 24, 2007

pROjeK meMbaNTu maNGsa baNJiR jOhOr - siRi 3

Semalam menerusi Chatting Conference yang telah diadakan lebih kurang pukol 3-30 ptg telah disertai oleh ramai pengunjung blog. Ianya bagi membincangkan berkaitan Ekspedisi Membantu Mangsa Banjir Johor. Hasilnya sebulat suara terlantik beberapa orang sebagai Steering Committee seperti berikut :

Muslim@ FG - Ketua Penyelaras Ekspedisi ( 016-6267708)
Sidi @ Che Dat - Penyelaras Urusan di Johor ( 013-6843639)
Azmi @ Bilal - Penyelaras di Kuantan ( 013-9864049)
Zainordin @ Kitang - Bendahari ( 019-7567799)
Nizam @ Slambe - Penyelaras Pengankutan ( 012-3931159)

Kita cuma tiada Penyelaras bagi kawasan KL. Saya cadangkan Dona yang saya rasa sesuai. Bagaimanapun terserah kepada kawan-kawan semua. Petang tadi selaku Ketua Penyelaras Ekspedisi, FG telah menghantar e-mail seperti dibawah untuk makluman kawan-kawan semua. Saya juga berharap agar kawan-kawan semua dapat memberikan kerjasama yang padu kepada AJK di atas demi menjayakan satu tujuan murni yang amat memerlukan sokongan dan bantuan kawan-kawan semua.

Salam semua,

Semalam (Selasa - 23 Januari 2007), para itm85 musketeers telahpun berbincang dan memberikan pandangan, buah fikiran yang baik bagi projek 'Membantu Mangsa Banjir Johor'. Antara mereka adalah Kida, SK, Kitang, Kudeng, Mlon a.k.a Slumber Jr, Walid, Jun, Ummi dan FG sendiri. Selaku 'steering committee' bagi menjanakan perlaksanaan projek murni ini, beberapa keputusan telah dibuat (mungkin boleh dibincangkan semula; sila komen). Antaranya:

1. Bantuan berbentuk wang dialu-alukan. Dengan wang derma yang kita terima, kita boleh membeli barang-barang bantuan yang diperlukan. Ini memudahkan kita meng'specify'kan apa barangan yang kita perlu donate.

2. Barang-barang tersebut akan dibeli di Mydin Nilai yang mana pengurusnya sudah kita kenali yakni Slumber Jr. Terima Slumber Jr. Jasamu dikenang.

3. Transportation. Mlon (Slumber Jr) telah bersetuju untuk kita menggunakan 'lori' Mydin bagi mengangkut barang-barang dari Mydin ke Johor Bharu. Bermakna 'checkpoint' bagi semua sukarelawan adalah di Mydin Nilai.

4. Wang donation tersebut haruslah diserahkan kepada Kitang pada atau sebelum 2 Februari 2007 (sehari selepas Hari Wilayah);

Cadangan:
5. Pertemuan pada hari Sabtu ini 27 Januari 2007 untuk diadakan bagi membincangkan secara terperinci mengenai perkara ini. Di mana dan jam berapa belum dipastikan. Sila komen untuk beri pendapat.

Antara isu yang perlu dibincangkan:
6. Gotong-royong membersihkan kawasan di Johor;
7. Pembikinan T-shirt bagi semua yang hadir;
8. Waktu yang tepat bilakah masa untuk berkumpul/konvoi ke Johor
9. Contact person di johor di fahamkan telah diuruskan oleh Che Dat. Harap Che Dat dapat hadirkan diri bagi memberikan penerangan lanjut.

Harapan agar usaha suci ini dapat berkat dan direstui oleh Allah s.w.t dan sama-sama kita mengeratkan silaturahim sesama kita.

Salam sahabat.


FG
6:30 pm

fUTsaL

Baru-baru ini dalam chatbox ada antara kawan-kawan kita yang mengeluarkan idea untuk mengadakan pertandingan futsal antara kita di blog ini. Saya rasa ianya satu idea yang bagus dan kalau ada sesiapa yang ingin menguruskan acara-acara sebegini amatlah dialu-alukan. Tempat pun saya rasa banyak kat KL ni seperti di Sport Planet di Jalan Ampang memang sesuai sangatlah. Kegiatan riadah sebegini sememangnya boleh mengeratkan lagi silatulrahim sesama kita dan sesiapa yang berminat menganjurkannya amatlah dialu-alukan. Harap ada kawan-kawan yang tampil untuk menganjurkan kegiatan ini yang boleh dijalankan bersama-sama keluarga sekali.

Tuesday, January 23, 2007

aGeNda

1. Volunteer untuk collection pakaian dan barangan di KL dan Kuantan
2. Volunteer untuk kerja-kerja pengasingan pakaian lama dan pembungkusan barangan
3. Transport untuk membawa barang-barang bantuan ke destinasi
4. Jika ingin membuat kerja-kerja kebersihan....meeting point utk konvoi, lodging, peralatan membersih dll

cHaTTing cONfeRenCe paDA pUKoL 3-30 ptG haRi iNi

Saya nak cadangkan kita adakan chatting conference pada pukol 3-30 petang ini di Chat Box Gerai Taman Gelora kepada semua kengkawan yang ingin menjayakan Ekspedisi Bantuan Banjir Johor dan kepada Volunteers yang ingin menjayakan ekspedisi ini. Kepantasan kita untuk berbincang dan bertindak amatlah diperlukan segera dan harap kengkawan semua dapat meluangkan masa jika ada kelapangan.

pROjeK meMbaNTu maNGsa baNJiR jOhOr - siRi 2

Lanjutan dari artikel pertama yang di ilhamkan oleh Bilal, Che Dat ada mencadangkan supaya kita semua membuat kutipan wang tunai dan pakaian serta barang-barang lain yang ingin di dermakan. Daripada kutipan yang dibuat nanti barulah kita semua dapat mengetahui jumlah bantuan yang boleh kita agihkan kepada mangsa-mangsa banjir tersebut. Contohnya jika kutipan tunai boleh mencapai sekitar RM3,000 maka mungkin boleh diagihkan kepada 20 keluarga jika setiap keluarga menerima sumbangan tunai RM150. Oleh itu di harap sumbangan tunai dapat dibuat secepat mungkin kerana jika kita boleh mendapat angka kutipan barulah boleh kita tentukan Pusat Pemindahan Banjir mana yang kita nak pergi bantu. Ini kerana jika kita boleh membantu 20 keluarga, kita hanya akan pergi ke Pusat Pemindahan Banjir yang mempunyai 20 keluarga sahaja. Jika kita pergi ke Pusat Pemindahan Banjir yang mempunyai 100 keluarga maka tidak sesuai pula untuk kita memilih keluarga tertentu sahaja untuk menerima bantuan dan ada keluarga yang tak menerima bantuan.

Dari maklumat yang diterima juga menerusi Lan Kentei, barang-barang seperti pakaian lama sudah banyak di dermakan di sana. Yang amat di perlukan adalah makanan segera kerana mangsa banjir yang telah balik ke rumah tidak mempunyai peralatan untuk memasak. Jadi makanan segera seperti roti, biskut, maggi, air mineral dan lain-lain lagi amat diperlukan. Selain itu Che Dat juga memberitahu jika kita ingin memberi bantuan kepada keluarga mangsa banjir maka setiap bantuan yang ingin diberikan eloklah di siapkan dalam satu bungkusan untuk setiap keluarga yang mengandungi wang tunai, pakaian lama yang ingin didermakan dan barang-barang makanan segera. Jadi senang bila acara penyerahan telah siap semua dalam satu bungkusan untuk setiap keluarga.

Itu tadi senario jika kita ingin memberi bantuan tunai dan barangan kepada mangsa banjir. Jika senario seperti yang dicadangkan oleh Bilal pula iatu memberi bantuan tunai dan barangan serta kita semua pergi membuat kerja-kerja kebajikan maka kalau ingin membantu membersihkan rumah-rumah mangsa banjir maka ia perlu dilakukan segera kerana mangsa banjir sudah beransur-ansur pulang kerumah dalam minggu ini maka ianya perlu dilakukan dalam minggu ini atau semasa mereka pulang ke rumah seperti yang dilakukan oleh beberapa badan kebajikan pada hari Sabtu dan Ahad baru-baru ini di Kota Tinggi. Mangsa banjir di Kota Tinggi cuma tinggal dalam 100 keluarga sahaja itupun kerana mereka tidak mempunyai rumah lagi atau rumah mereka tidak boleh didiami langsung kerana rosak teruk. Mangsa banjir di Batu Pahat masih ramai iaitu kira 50,000 orang.

Bagaimanapun jika kita ingin membuat kerja-kerja membantu membersihkan kawasan banjir tidak semestinya dengan membersihkan rumah sahaja. Kita boleh membersihkan surau, masjid, balai raya, sekolah-sekolah, kawasan-kawasan pemindahan banjir dan lain-lain lagi. Oleh itu keperluan tersebut tidaklah memerlukan jangkawaktu yang terdekat sangat. Maybe kita boleh arrange dalam masa 2 minggu lagi. Kalau kita ingin membuat kerja-kerja kebajikan seperti membersihkan kawasan banjir, Che Dat telah menerima maklumat bahawa peralatan-peralatan untuk kerja-kerja pembersihan tersebut mestilah di bawa dan disediakan oleh pihak kita yang mana memerlukan perbelanjaan juga. Selain dari itu kita juga perlu bermalam di situ kerana kerja-kerja tersebut memakan masa dan untuk travel balik sudah tentulah kepenatan. Maka kita mesti memikirkan tempat penginapan dan makanan untuk keluarga yang menyertai ekspedisi bantuan ini. Selain dari itu berapa ramaikah sebenar antara kita yang sanggup untuk menyertai ekspedisi bantuan dan membuat kerja-kerja kebajikan ini? Jika dapat dalam 50-80 orang maybe ianya boleh dilaksanakan. Jika kurang dari jumlah ini maka tentu sukar sedikit untuk kita membuat kerja-kerja pembersihan tersebut dengan cepat.

Setelah berbincang dengan Kitang dan Man Troq di Suzy Corner malam tadi maka di putuskan bahawa Kitang akan menjadi Bendahari untuk projek ini (kesihan Kitang, selalu dia jadi Bendahari, alasan sebab dia kerja bank, volunteer lain takde ker? tak berhijrah lagi ker? Tak nak buat pahala free ker?) Maka itu segala sumbangan tunai untuk Ekspedisi Bantuan Banjir Johor Bekas Pelajar-Pelajar ITM Cawangan Pahang bolehlah di bank in ke dalam akaun :

A/C Maybank : 114254123223
Nama pemegang akaun : Zainordin Awang Samah (Kitang)
Telefon : 03-22972584 (O), 019-7567799 (H/Phone), 03-22832491 (Fax)

Sebarang jumlah sumbangan amatlah di hargai kerana bukan jumlah yang jadi ukuran tetapi niat dan keikhlasan hati penyumbang itu yang penting. Jika telah membuat sumbangan, maka telefonlah kepada Kitang atau sms atau e-mail nama dan jumlah sumbangan. Tidak kiralah jika sumbangan tersebut berjumlah RM5 ker atau RM10 ker, janji ianya ikhlas. Nama penderma dan jumlah dermanya akan dirahsiakan dan derma tersebut akan di sumbangkan atas nama Sumbangan Bekas Pelajar-Pelajar ITM Cawangan Pahang.

Bagi derma pakaian terpakai pula saya masih memikirkan lokasi tempat pengumpulan tetapi saya rasa sesuai jika di adakan di suatu tempat yang mana kita boleh asing-asingkan dan bungkuskan sekali. Jadi kena cari tempat yang sesuai yakni kawasan yang besar sikit. TOLONG BAGI IDEA TEMPAT PENGUMPULAN INI ATAU ADA VOLUNTEER KAT MANA-MANA KER. Tarikh pengumpulan saya rasa dalam masa cuti weekend ini (Coming Saturday or Sunday). Mintak ada volunteer untuk uruskan tempat dan kerja-kerja pembungkusan ini untuk kawasan KL. Bagi kawasan Kuantan mintak volunteer untuk uruskan kutipan pakaian di sana.

Selain dari itu hasil kutipan tunai tadi, sebahagiannya akan dibeli barang-barang makanan segera untuk di beri kepada mangsa banjir dan rasanya kita boleh beli di Kedai Mydin Nilai. Nanti mintak Slambe kalau boleh tolong uruskan perkara tersebut termasuk membungkus bantuan untuk setiap keluarga. Item barangan akan ditentukan berdasarkan jumlah kutipan tunai kita nanti, jadi semuanya bergantung kepada kepantasan kawan-kawan semua bertindak menderma wang tunai, memberi maklum balas dan bersedia menjadi sukarelawan untuk kerja-kerja ini.

Kesimpulannya saya amat memerlukan kepantasan tindakan dari kawan-kawan semua untuk perkara-perkara berikut :

1. derma tunai yang telahpun di sediakan akaunnya seperti di atas
2. Maklumbalas samada ingin menyertai ekspedisi kebajikan membersihkan kawasan banjir atau tidak mahu pergi ( saya perlukan jawapan samada boleh pergi atau tidak boleh pergi) (Ekspedisi ini mungkin akan di lakukan pada 3 dan 4 Februari 2007)
3. Saya perlukan volunteer untuk kutipan pakaian di KL dan Kuantan, kerja-kerja mengasingkan dan membungkus.
4. Volunteer jika ada lori untuk membawa semua barangan bantuan nanti ( sebenarnya intai lori Slambe kot-kot boleh)

Sekian dan kerjasama kawan-kawan yang segera amatlah diharapkan. Segala maklumbalas sila tulis di ruangan komen.

Monday, January 22, 2007

aRSeNaL 2 sYAiTAn ma(E)Rah 1




Musim ini sudah tiada pertandingan liga EPL untuk Arsenal vs SyaitanN Merah lagi kerana kedua-dua perlawanan liga EPL antara dua pasukan tersebut sudah berakhir malam tadi dan keputusannya Syaitan Merah kalah kedua-dua perlawanan liga EPL musim ini baik di tempat sendiri di Old Trafford dan juga malam tadi di Emirates Stadium. Sudahlah Syaitan Merah kalah di Old Trafford 1-0, mereka datang dengan penuh semangat ke Emirates Stadium untuk membelasah Arsenal tetapi malang seribu kali malang rupanya mereka di malukan dan di aibkan, Ronaldo, Carrick tak berupaya rupa-rupanya. Tambah pula dengan kuda-kuda tua seperti Giggs, Neville, Saha, Scholes rasa-rasanya musim depan kuda-kuda tua tu Syaitan Merah kena jual lah....Lelong murah kat pasar malam termasuk Van De Sar sekali yang tak berupaya nak gapai tandukan Theiry Henry..jual je lah. Cari pemain umur 16-21 tahun je macam Arsenal. Apa-apa pun syabas untuk peminat The Gunners dan tahniah juga untuk The Reds yang memalukan Chelsea malam Sabtu lalu.

siNGkaTan BuDAk ItM PaHaNG

Semasa bersembang-sembang dengan Bilal dalam acara teh tarik tempoh hari, Bilal ada cadangan supaya Blog ni kita jadikan semacam suatu pertubuhan rasmi untuk bekas-bekas pelajar ITM Cawangan Pahang. Dengan cara ini kita boleh bergerak secara lebih efektif dengan pengenalan yang lebih formal. Kita juga boleh mencetak T'Shirt atau sticker kereta dan sebagainya. Oleh itu apa kata kita fikirkan suatu singkatan nama untuk komuniti kita ini untuk pengenalan kita semua. Contohnya BUDIMAN ker atau ada idea lain lagi.

pROjeK meMbaNTu maNGsa baNJiR jOhOr

Idea untuk membantu mangsa-mangsa banjir di Johor dan Pahang sebenarnya sudah tercetus semasa keadaan banjir round pertama kira-kira 2 minggu dulu. Namun akibat kurang sambutan dari kengkawan semua maka usaha-usaha untuk kerja-kerja kebajikan sebegini tertangguh lah juga. Kerja-kerja kebajikan sebegini jika ingin di lakukan memerlukan kerjasama dan usaha dari semua pihak dan tidak boleh mengharapkan effort seorang individu sahaja. Kerja-kerja kebajikan sebegini adalah perkara-perkara yang akan membantu kita sendiri kerana ianya akan membawa banyak pahala dan insyaallah akan membantu kita di masa kita sendiri di timpa kesusahan nanti. Berikut adalah cadangan Bilal yang telah dihantar kepada saya :

Baru-baru ni kita diterjah dengan gelombang kedua banjir besar di Johor dan Pahang yang melibatkan hampir 120,000 penduduk. Berita demi berita, perkhabaran demi perkhabaran kita terima. Tak cukup di dada akhbar kita di tunukkan visualnya di kaca TV semuanya menyedihkan. Begitu berat ujian tuhan pada saudara kita di sana yang bukan sahaja kehilangan mata pencarian, malah ada yang kehilangan harta benda khususnya mereka yang bekerja sendiri.Terharu dengan apa yang telah menimpa mereka, kami seakan terpanggil untuk turut sa membantu seadanyadan dengan ini ingin menggerakkan rakan-rakan untuk turut sama berbakti pada masyarakat.

Berikut cadanganya:

Misi : Program sehari membantu mangsa banjir di Kota Tinggi.
Tarikh : Cuti Tahun Baru China ( Akan dimaklumkan kelak) -
Aturcara program :
Konvoi berkereta. Gotong royong membersihkan kawasan membaiki keadaan rumah yang mana perlu. Masak beramai-ramai. Bermalam dan mengadakan doa selamat di surau berhampiran. Menyerahkan dan mengaggihkan bantuan
Bentuk Bantuan di perlukan :
1. Pakaian Terpakai untuk pelbagai dewasa mahupun kanak-kanak
2. Barang terpakai seperti TV, sterika, kerusi, kabinet kecil, pinggan mangkok dll
3. Duit - Sasaran RM10,000 ( Sasaran untuk duapuluh keluarga)

Justeru itu, kami ingin merayu penyertaan rakan-rakan seramai yang boleh agar dapat membantu projek berkenaan. Sasaran kami ialah 30 keluarga menyertai projek ini. Moga anda bersama-sama kami dan harap segera memberikan maklum balas.

Sunday, January 21, 2007

rEUniON dBs 1995


Semasa saya dan SK mengemas-ngemas 2 almari yang kami buat stor barang-barang lama baru-baru ini, saya terjumpa 4 keping frame yang menjadi tandamata kenang-kenangan semasa saya dan sekumpulan kecil kawan-kawan menganjurkan Reunion ke 1 bekas-bekas pelajar ITM Cawangan Pahang kursus Diploma In Business Studies pada 5 dan 6 Ogos 1995 iaitu kira-kira 12 tahun yang lalu. Reunion tersebut telah di adakan di Pondok Pangsoon, Hulu Langat, Cheras, Selangor di sertai bekas pelajar dan keluarga masing-masing.

Dalam ingatan saya penganjur Reunion tersebut adalah saya bersama beberapa orang AJK seperti SK, Padil Sutok, Kudin dan Arfah Zakiah ( saya sebenar tak ingat nama-nama yang lain jadi kalau ada yang ingat pernah jadi AJK sila komen nanti yer). Masa ini saya masih berkhidmat di BPR dan dapatlah saya gunakan kemudahan BPR untuk tracking balik semua geng-geng DBS dulu. Itupun ada juga 2-3 orang yang saya tak dapat nak tracking pada masa itu.

Venue di Pondok Pangsoon pula adalah Training Centre untuk Shapadu Bhd yang mana pada masa itu Shapadu Bhd dimiliki oleh bapa saudara kepada Arfah Zakiah. Jadi dapatlah kami menggunakan Training Centre tersebut dengan percuma sahaja tanpa apa-apa bayaran. Memang cantik tempat itu dengan sungai yang mengalir di hadapannya, sesuai untuk perkelahan dan mandi-manda, kompleks sukan, asrama, dewan dan sebagainya. Jadi kami cuma mengenakan bayaran untuk makanan dan hadiah serta peralatan sahaja saya rasa sekitar RM100 satu keluarga.

Ramai jugak yang datang untuk Reunion ini ialah selepas 10 tahun kami semua berjumpa di ITM Pahang dulu. Saya rasa lebih kurang 85% dari jumlah pelajar DBS batch Julai 85 ITM Pahang yang hadir. Itupun memang susah nak tracking mereka-mereka ni maklumlah masa tu ramai yang belum kahwin, belum mendapat pekerjaan yang stabil, baru keluar universiti setelah melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah dan sebagainya. Seingatan saya yang hadir geng lelaki seperti Padil, Kudin Mekanik, Hakim, Adenan, Puis, Kla-Kla, Jepun, Mat Dwan, Kamaruddin, Raman Shakri, KB, Jeff dan Mat Brengsek (masa tu dia kerja kat Singapore) ( Maaf jika ada nama-nama yang tertinggal, tulis kat komen yer). Geng perempuan pula yang datang seperti SK, Arfah Zakiah, Mazidah, Norliza, Shema, Rosmah dan Fatimah (sekali lagi maaf jika ada nama yang tertinggal).

Acara Reunion telah di mulakan dengan pendaftaran peserta pada 5hb Ogos 1995 hari Sabtu bermula jam 2-30 petang. Kemudian pada lebih kurang jam 4-30 petang pula telah di adakan acara minum petang sambil berkelah di sungai Pangsoon. Ramai yang mandi manda sambil bersantai dan bersembang. Pada masa itu yang berkahwin dan membawa anak-anak pun tak ramai. Seingatan saya keluarga saya, Padil, Kudin, Jepun, Mat Dwan, Kamarudin dan Fatimah. Yang lain tu ada yang masih bujang lagi.

Sebelah malam pula telah di adakan acara mengenalkan diri dan ahli keluarga serta karaoke sambil menikmati Jamuan Makan Malam. Semua peserta telah bermalam di situ dimana disediakan penginapan yang sesuai. Keesokan paginya setelah sarapan di adakan pula acara sukaneka keluarga dan hadiah-hadiah telah disampaikan kepada setiap keluarga. Acara Reunion tersebut telah diakhiri dengan Jamuan Makan Tengahari dan penyampaian tandamata seperti gambar yang tertera di atas. Tandamata ini telah di tempah melalui Zailan Abu dan Halimi (suami Rozmah) yang berniaga Kedai Stationery saya rasa pada masa itu di Gombak. Catatan dokumentasi Reunion ini sebenarnya ada dalam bentuk hard copy saya simpan dalam salah sebuah kotak barang-barang lama di rumah saya ini. Ianya mengandungi minit mesyuarat AJK serta catatan perjalanan Reunion tersebut dan juga senarai nama peserta, alamat dan no telefon pada masa itu. Malangnya pula saya tidak mempunyai gambar-gambar semasa Reunion tersebut mungkin kerana saya tidak mempunyai kamera pada masa itu. Jadi sesiapa yang ada gambar tersebut maybe boleh scan dan hantarkan kepada saya untuk disiarkan di sini nanti.

Saturday, January 20, 2007

sELamAt mENyaMbUt mAaL hiJRah 1428

Hari ini kita semua menyambut 1 Muharam 1428 yang bermakna kita semua telah meninggalkan tahun 1427H dan akan memulakan penghidupan baru dalam tahun 1428H pula. Alhamdulillah kita semua masih dapat bernafas lagi di tahun baru ini dan semoga kehidupan kita sekeluarga akan bertambah baik, bertambah ketaqwaan dan keimanan kita kepada Allah swt dan semoga diri kita akan menjadi manusia yang lebih cemerlang, matang dan bertambah maju dari segi rohani dan jasmani.

Dalam kita melangkah ke tahun baru ini, sewajarnyalah kita merenung kembali pencapaian hidup kita dengan memikirkan apakah selama lebih kurang 40 tahun hidup kita ini telah tercapai segala tujuan dan asal usul kejadian kita sebagai manusia yang di jadikan oleh Allah swt sebagai khalifah di muka bumi ini. Apakah sumbangan kita kepada diri kita sendiri, sumbangan kita kepada keluarga kita, sumbangan kita kepada masyarakat kita dan sumbangan kita kepada agama kita, bangsa kita dan negara kita.

Dan kini sesuai dengan langkah kita di tahun baru 1428H, kita semua di Blog ITM Pahang telah melangkah pula ke dalam suatu kehidupan komuniti bekas-bekas pelajar ITM Cawangan Pahang sebagai suatu agenda baru di dalam sejarah kehidupan kita. Dalam mengharungi komuniti baru kita di blog ini, sewajarnyalah kita memikirkan pula apakah penglibatan kita dalam komuniti ini. Apakah kita akan hanya berdiam diri, mengikut arus, menjadikan komuniti ini sebagai satu laporan harian sahaja tanpa bersuarakan pendapat, pandangan atau mengilhamkan suatu aktiviti yang dapat memberikan sumbangan kepada komuniti atau masyarakat di keliling kita. Apakah kita perlu berhijrah minda dan fikiran kita untuk menjadi lebih terbuka, lebih menglibatkan diri kita secara langsung atau kita hanya akan terus menjadi pak turut yang tak mahu menyusahkan diri sendiri atau perasaan "malas terlibat" kita yang selama 40 tahun terbenak di kepala kita akan terus menguasai kita sehingga kita mati?

Kita perlu berhijrah. Selama 40 tahun hidup kita di muka bumi ini kalau kita hanya berhijrah rumah, berhijrah pekerjaan tetapi tidak pernah berhijrah akal dan fikiran, tidak pernah berhijrah minda dan hati kita, maknanya kita hanya berhijrah fizikal sahaja dan bukan spiritual sedangkan penghijrahan spiritual itulah akan membawa lebih banyak kebaikan dan ketaqwaan kita kepada Allah swt. Apakah penghijrahan spiritual dalam konteks komuniti kita di dalam blog ITM Pahang ini....

Dalam konteks blog ini beberapa perkara saya rasakan perlukan penghijrahan dari kita semua. Antaranya :

1. Para Pengskodeng.
Masih ramai yang tidak mahu mengenalkan diri mereka dan hanya suka skodeng sahaja memerhatikan kawan-kawan semua berbicara atau membaca profile kawan-kawan yang disiarkan atau artikel yang disiarkan di sini. Kenapa skodengers ni tidak mahu mengenalkan diri mereka dan keluarga mereka. Malu? Adakah anda skodengers malu dengan diri anda sendiri, malu dengan isteri anda yang gemuk ker atau tak cantik ker atau dah tua sangat ker atau isteri atau suami anda terlalu cantik atau hensem sehinggakan kawan-kawan semua tak boleh tengok atau mengenali siapa pasangan anda. Anda malu ker nak kenalkan anak-anak anda? Bagus sangat ke keluarga anda sehingga anda skodengers berasakan biar kami sahaja mengenalkan keluarga kami kepada anda. Atau skodengers ini manusia yang terlalu kaya sehinggakan tak boleh dikenalkan diri mereka atau mereka ini papa kedana kerana manusia papa kedana yang tak mahu mengenalkan diri ini ialah jenis manusia hipokrit dan suka bermegah-megah kerana jika kaya sahaja baru mereka-mereka ini nak go public. Adakah kawan-kawan yang menyiarkan artikel di sini dan memberitahu bahawa mereka mempunyai pekerjaan bagus adalah manusia-manusia yang riak atau adakah kawan-kawan kita yang artikelnya mengambarkan kemiskinan dan kesusahan mereka adalah jenis manusia haprak dan di pandang rendah oleh kita di sini? Saya rasa anda skodengers yang berasakan begitu kerana bukan skodengers saya rasa tidak pernah berfikiran begitu.

Kadang-kadang ada antaranya yang masuk ke dalam ChatBox atau masuk ke dalam ruangan komen tetapi tidak mahu mengenalkan nama sebenar mereka. Apakah rasional anda berbuat demikian? Takut di kenali, takut dikutuk, takut apa lagi agaknya yer? Memang anda manusia penakut dan pengecut. Satu lagi ada yang kata kalau masuk chatbox ni macam budak-budak dan dah tua tak sedar diri nak chatting lagi atau berchatting itu suatu perkara yang menjatuhkan maruah diri. Bukan saya ada-adakan, memang pernah disuarakan kepada saya oleh sahabat kita tentang chatting ni. Sesungguhnya saya rasa manusia yang berfikiran begitu adalah manusia yang amat ketinggalan kerana di zaman sains dan teknologi ini, video conferencing, chatting conferencing, e-mail adalah suatu perkara lumrah sahaja dikalangan dunia maju dan korporat. Sememangnya kengkawan yang berfikiran begitu sengaja tiada masa, bermegah diri, takut jatuhkan maruah diri, berasa diri superior dan tidak suka bersembang untuk sekali sekala dengan sahabat demi mengukuhkan tali silatulrahim antara kita semua sedangkan inilah cara termurah untuk kita bertemu dan bertanya khabar. Nak harap suroh telefon atau sms jangan haraplah. Bak kata Abg Amid...rodong ni kalau tak masyuk, sms kita pun tak nak dijawabnya.

2. Mengilhamkan sesuatu aktiviti.
Saya dapati apabila seseorang mengilhamkan sesuatu aktiviti maka beban untuk menjalankan sesuatu aktiviti itu akan terletak di tangan pencadang aktiviti tersebut. Tiada siapa yang menawarkan diri mereka untuk membantu atau menghulurkan bantuan secara sukarela demi menjayakan aktiviti tersebut. Contoh nyata Rancangan Bilal untuk membantu mangsa banjir di Johor. Belum ada seorang pun lagi yang menyatakan kesanggupan untuk mengutip duit ker, untuk bertindak selaku pemungut pakaian untuk di sedekahkan ker, semuanya menunggu Bilal memulakannya atau tunggu dan lihat sahaja. Dan untuk diri sendiri mencadangkan sesuatu aktiviti jauh sekalilah kerana tak mahu menyusahkan diri sendiri, suatu sikap yang akan diterapkan kepada anak-anak dan cucu-cucu mereka sampai kiamat. Sebab itu orang alim pernah berkata bahawa manusia akhir zaman akan tersemai di dalam hatinya dengan sifat takut yakni takut untuk berperang dan takut untuk melakukan sesuatu yang akan menyusahkan diri dan keluarganya sedangkan perkara tersebut baik untuk masyarakatnya dan agamanya.

3. Orang-orang yang sama
Jika kita lihat hanya orang-orang yang sama berada di dalam blog ini dan hanya orang-orang yang sama lah yang beriya-iya bila ingin mengadakan sesuatu acara sedangkan bila di minta maklum balas tentang sesuatu acara yang ingin di adakan maka walau dapat atau tidak menyertai acara tersebut, suka benar dia biarkan kawan-kawan yang menganjurkan acara tersebut tertunggu-tunggu jawapan seolah-olah kawan tersebut takde kerja lain selain tunggu jawapan dia atau maklum balas darinya.

Sebenarnya kalau nak di senaraikan banyak lagi perkara-perkara yang memerlukan penghijrahan minda dan hati kita berkaitan dengan komuniti kita di blog ini sahaja, bukan nak suruh penghijrahan dengan masyarakat luar pun. Kenapa komuniti seperti MACOBA, STAROBA, SDARA dan ANSARA boleh berjaya mengeluarkan dan melahirkan komuniti yang berjaya dengan masyarakat nya sendiri dan masyarakat luarannya. Mereka berjaya kerana sikap proaktif, matang, tiada rasa takut dan pengecut dan berani mengeluarkan pandangan dan pendapat dan bersedia memikul tanggungjawab demi menyumbangkan bakti kepada komuniti sendiri, masyarakat luaran, agama, bangsa dan negara.

Oleh itu marilah kita semua komuniti bekas pelajar ITM Pahang yang berada di dalam blog ini termasuk diri saya sendiri berhijrah minda dan hati kita, fizikal dan spritual kita kepada sumbangan dan penglibatan yang lebih bermakna lagi kepada komuniti kita, keluar dari kepompong skodeng yang membelenggu kita, tampil dengan lebih terbuka tanpa rasa takut dan rendah diri, bersedia membantu dan memikul tanggungjawab secara sukarela tanpa perlu disuroh dan di ajak serta membuang segala sifat-sifat buruk seperti malas terlibat, takut di kutuk, malu, tak nak menyusahkan diri sendiri serta bermacam sifat-sifat buruk lagi dalam menuju perkara-perkara kebaikan dan kebajikan.

Friday, January 19, 2007

bLOg pRObLeM

Semalam blog telah mengalami pencerobohan kali ke 2 dan hackers nampaknya telah berjaya membolosi password blog yang mengakibatkan blog tidak dapat di layari. Sememangnya saya ada membuat backup file untuk setiap artikel di dalam blog tetapi untuk memulakan kembali blog ini rasanya tidak terdaya saya nak lakukan kembali. Pada mulanya saya berasakan blog ini akan berkubur macam tu sahaja tetapi dengan pertolongan Google dan sahabat saya di Badan Pencegah Rasuah akhirnya blog ini dapat ditemui semula. Itupun nasib baik blog ini tidak dipadamkan terus cuma dipindahkan sahaja ke tempat lain dan ditukar password sahaja.

Di sini saya nak ucapkan terima kasih kepada junior saya masa di BPR dulu Superintendant Wan Zulkifli, Ketua Unit Computer Forensik yang telah bersusah payah mengerahkan anggota-anggotanya untuk mengesan kembali blog ini. Dekat 2 jam jugaklah mereka nak tracking balik. Nasib baik peralatan komputer forensik BPR sudah setanding dengan NSA di USA yang membolehkan mengesan dan membuat satelite tracking setiap movement dan jejak yang ditinggalkan dalam sesuatu komputer. Wan Zul pesan saya tadi, katanya pasanglah Firewall atau sistem anti-hackers tapi saya kata kalau BPR nak tolong bayar, saya pasanglah, sebab web BPR pun pernah diceroboh oleh hackers suatu masa dulu. Saya pun pesan kat Wan Zul tadi lepas ni jangan tracking komputer saya lagi, kalau nak tracking kawan-kawan saya macam Mydin Nilai ker atau Jabatan Belia dan Sukan Melaka ke, Hospital Kuantan ke takpelah...hehehe

wiFe biLaL oPEratE di iJn - siRi 2




Wife Bilal, Rohani telah selamat menjalani pembedahan pada pukol 9-00 pagi semalam dan telah berada selama 4 jam 40 minit sebelum keluar dari operation theatre di Institiut Jantung Negara semalam. Beliau kemudiannya telah dipindahkan ke wad biasa pada pukol 1-40 tengahari dan pada pukol 7-00 petang semalam telah dibawa balik ke Kuantan. Harap wife Bilal, Rohani akan sembuh dan sihat semula. Bilal dan isteri mengucapkan terima kasih kepada semua kawan-kawan yang telah mendoakan isteri beliau semasa menjalani pembedahan tersebut.

faDziL oTHmaN diB


Fadzil Othman yang pekena teh tarik bersama-sama saya, Bilal, Kitang, Man Troq dan Kudin Mekanik baru-baru ini ada menghantar profile keluarga. Di bawah ni saya siarkan e-mail Fadil :

Terlebih dahulu aku aku nak ucapkan berbanyak terima kasih atas blog yang engkau buat ni. Dapat juga tahu kisah member-member lama masa belajar kat itm dulu....gemok ke, kurus ke, rambut ada lagi ke, rambut putih habis ke, anak berapa, bini berapa kerana dah hampir 22 tahun tak dapat berita ...lama tu.... Memandangkan engkau dah masukkan serba sedikit cerita tentang aku, so aku kenalah cerita pulak kisah diri aku..Aku nak ceritakan kisah aku masa kat itm..... punyalah haru maklumlah aku bukannya hebat masa kat itm tu, macam orang yang lain-lain. panjang ceritanya ....setahu aku, aku jea seorang yang ada kes haru kat itm tu. Aku ni walaupun senior kat itm (batch januari 85) tapi aku jugalah junior (Julai 85). Beginilah kisahnya bermula, aku dan geng batch januari 85 merupakan group yang mula-mula berada di kuantan bila itm pahang dibuka...biasalah batch januari ni biasanya dah berumur dan dah ada yang dah kerja. Dia orang ni samada cuti belajar atau berhenti kerja untuk sambung belajar. Macam kes aku ...aku kerani maybank kat HQ, masa tu.. HQ maybank kat jalan tuanku abdul rahman masa tu menara maybank belum siap. Baru kerja 3 bulan dah dapat offer itm ....so cabut jea. Masa tu cita-cita nak jadi manager bank balik bila dah lulus kat itm...angan-angan tu tinggal kenangan jea. Masa belajar kat itm...aku seorang kantoi first semester.....pening-pening ....aku mintak repeat ..dapat ...tapi kena joint group junior dib ...anuar adik, anuar mangkok, zul sani, halim lucah, charlie, pyan, joe, abang mie, mat taib, Hamdan boli, bai, tok batin, fizah dan lain-lain budak dib lain (sorry kalau tak sebut). Sebab tu lah aku kenal ramai juga budak batch julai 85. Masa tu juga aku ada beli motor RXZ warna putih biru...no JBJ 9125....motor ni masih ada lagi kat aku sekarang ni ...tapi uzur sikit banyak nak kena repair ...motor ni aku selalu lumba dengan Honda raider JBK 9171 kat haighway muazam segamat/kuantan bila balik bercuti. Mizi balik batu pahat aku balik kluang ada 2 lagi RXZ satu budak dpim JBL 8708 dan seorang junior.(tak ingat lagi ...RXZ hitam) ...biasalah dia kalah jea sebab berat badan dia...(sorry mizi). Alhamdulilah graduate juga aku ....CGPA cukup makan jea. Lepas tu buat kerja merapu 4 tahun sementara nak dapat kerja tetap ......sampai orang tua aku pun naik pening tengok aku lepak. Ada pulak kawan orang tua aku yang kata `kerja aku aku tanam buah anggor dan berangan'....maksudnya menganggur dan berangan lah tu. Syukur .....tahun 1992 aku dapat kerja gomen, mula kena kerja kat HQ Kementerian Kesihatan kat sebelah mesjid negara. tahun 1996 aku masuk wisma putra. masa masuk tu jumpa si mizi JBK, kira oky jumpa geng lama. Si mizi ni baru 3 bulan dah kena pergi manila.....dalam kes aku enam bulan aku diarah bertugas di High Commission Malaysia kat Fiji.... lepak juga 4 tahun kat sana...2001 ..orang fiji ni dulu-dulu makan orang ....tapi dia orang ni respect Malaysia dari segi kemajuan negara berbanding negara dia....(lagi satu fiji ni tak habis-habis rampas kuasa sampai sekarang ni). lepas tu aku diarah bertugas kat Consulat Jeneral Malaysia kat New York selama 5 tahun terus dari fiji dan aku balik Malaysia Mac 2006 yang lalu. Aku kat luar negara hampir 9 tahun. Masa kat New York aku ambil kesempatan pergi melawat amir, afizah dan ariff (anak dia) kat detroit dan dia juga ada melawat aku kat New York. Amier dan fizah banyak cerita tentang member-member kat malaysia...(terima kasih amir dan afizah). Negara yang dah dilawati Fiji, New Zealand, Australia, Nauru, Tonga, UAE, Canada & USA.Untuk makluman semua...budak itm pahang yang aku tahu ada kat wisma putra ni adalah aku, Azman Roslee kat Putrajaya (balik dari Brazil) batch januari85, Mohd Tarmizi Taib (kat medan sekarang ni) batch januari 85, Mizi (kat songkhla) batch januari86.

Dari segi keluarga aku pulak...nama wife aku norazah abdul rahman . ...jumpa masa kerja kat Kementerian Kesihatan. tanya-punya tanya junior aku rupanya. ..dia ni budak dbs itm pahang batch julai 89. anak aku 5 orang ..Nor Nabilah (12 tahun) & Mohamad Alief Danial (10 tahun) lahir kat KL, Nor Adlina (9) lahir kat Suva, Fiji, Amier Danial (3 ) & Nor Erina (2) lahir kat New York. Aku sertakan gambar keluarga aku untuk tatapan semua. begitulah serba sedikit kisah hidup aku yang dapat aku gambarkan buat kalian....tammat.

"hidupbudakitmpahang".
mohd fadzil bin mohd othmanDIB

Thursday, January 18, 2007

wiFe biLaL oPEratE di iJn

Semalam saya sms Bilal dan beliau memberitahu telah berada di Kuala Lumpur menginap di Dorsett Regency bersama-sama isteri dan anak bongsunya. Isteri Bilal Rohani dijangka akan menjalani satu pembedahan kecil di IJN pada hari ini jam 9-00 pagi. Isteri Bilal menghadapi masalah saraf di jantung yang di dapati semasa mengandungkan anak yang ke 5 dan doktor memberitahu bahawa suatu pembedahan segara mesti dilakukan. Sama-sama kita mendoakan agar Rohani isteri Bilal akan selamat menjalani pembedahan tersebut. Jika kawan-kawan ada peluang mungkin boleh melawat Bilal dan isterinya di IJN. No. Phone Bilal ialah 013-9864049.

bLOg keCOh dGn haCKeRs

Tengahari semalam rupanya selepas saya jadi bas sekolah macam biasa rupanya blog ini kecoh dengan kehadiran Hackers yang buat hal tak senonoh di Chat Box dan Shout Box baru kita tu. Patutlah sebelum tu bila saya masuk rasa lain je presentation admin kat blog tu dan msg yang saya postkan berulang banyak kali. Memang Hackers ni kerja dia untuk test site-site kat internet. Masa saya kerja di BPR dulu memang ada satu software yang telah di develop di Israel oleh Mossat tetapi di keluarkan di Germany telah ditawarkan untuk di beli oleh BPR, PDRM dan beberapa agensi penguatkuasaan di Malaysia. Software ni macam phone tapping cuma ianya adalah berkaitan komputer dimana menggunakan software ini kita boleh control dan command setiap komputer dalam dunia ni menerusi IP address komputer tersebut. Software ini telah digunakan oleh NSA, CIA dan banyak agensi penguatkuasa lain di dunia. Semasa saya di BPR dulu, kami hampir membeli software tersebut tetapi last minute saya telah mendapat info dari seorang sumber yang mengatakan softaware tersebut telah di developed di Israel oleh Mossat dan itu memang tujuan Mossat untuk get thru semua agensi penguatkuasaan dunia. Software yang berharga jutaan ringgit tersebut memang canggih kerana berupaya untuk control dan command dan access dan buat apa sahaja kepada mana-mana komputer. Memang Hackers yang cerdik dan pandai akan di ambil bekerja dengan CIA dan Mossat untuk develop benda-benda canggih macam ni. So, dont worry, memang kerja dia orang testing site-site kat internet ni dan kita tak perlu bimbang sebab site kita ni bukan ada apa benda yang menarik pun.

Wednesday, January 17, 2007

sEcaRa raSMi bLOg diBukA uNTuk seMUa

Dengan ini setelah mendapat nasihat dan pandangan dari beberapa orang kawan-kawan maka dengan ini secara rasminya Blog Budak ITM Pahang tidak lagi ditujukan khas kepada hanya bekas-bekas pelajar ITM Cawangan Pahang batch Julai 85 sahaja tetapi dengan ini, blog ini dibuka kepada semua bekas-bekas pelajar ITM Cawangan Pahang, Kuantan,Pahang tidak kira batch mana sekalipun dan seluruh anggota keluarga (special untuk Jun MrsLK dan Lily dan sesiapa sahaja anggota keluarga ex ITM Pahang ..hehehe).

Sebenarnya tanpa pengisytiharan ini pun blog ini sememangnya telah dikunjungi bukan sahaja oleh bekas-bekas pelajar batch Julai 85 sahaja tetapi dari kalangan senior dan junior dan ini hanyalah formaliti sahaja setelah motto dibawah tajuk Budak ITM Pahang itu saya tukarkan. Di harap dengan ini blog akan bertambah lebih meriah lagi dengan kehadiran semua golongan dimana disini istilah senior, junior tidak terdapat di dalam kamus blog ini. Semua adalah sama, perkenalkanlah diri anda, keluarlah dari kepompong skodengan yang selama ini membelenggu anda dan marilah kita bersama-sama berkenal-kenal dan merapatkan silatulrahim antara kita untuk tujuan berfaedah dan bermanfaat yang mana hikmahnya mungkin tidak ditunjukkanNya sekarang tetapi di masa-masa yang mendatang, Insyaallah.

S-yaRD gOLf sET fOR sALe - miZi diB


Mizi Songkhla ada hantar e-mail kat saya mintak tolong advertise kan kat sini kerana beliau nak jual golf set dia. Mizi kata dia dah beli set golf baru TaylorMade R7. Bawah ni e-mail Mizi Songkhla :

Kida,apa khabar? Saya nak jual golf set saya jenis S-Yard Acroclass Collector's Edition. Boleh tak tolong iklankan kat website 'budakitmpahang', mana tau jika ada sesiapa yang berminat. Kalau laku nanti saya beri komisen. Harga tak mahal cuma RM1,599.00.Set mcm baru, guna cuma 5-6 kali aje. Sebab nak jual krn macam kurang serasi. Mungkin dah terbiasa dgn set lama, Callaway. Lagi pun minggu lepas saya baru beli set Talyor Made r7, sebab tu kena jual S-Yard ni. Bersama-sama ini disertakan gambar-gambar set S-Yard tersebut.Dalam golf bag tu ada:Driver loft:10.5Wood 3.5Wood 5.5Iron 3 hingga 9PWAWSWPutterS-Yard ni selalu dikaitkan dengan set orang kaya, 2nd mahal selepas Honma. Kalau nak tau cerita lebih lanjut pasal set S-Yard ni, sila layari laman http://www.transviewgolf.com.my/Sesiapa yang berminat nak beli, boleh la hubungi saya di:email: hadtamizi@hotmail.com H/p: 00869607100 sms: 0126210000

MiziSongkhla

Tuesday, January 16, 2007

teH taRiK beRSamA biLaL n paDiL diB




Semalam telah berlangsung teh tarik session bermula di Restoran Nasi Ayam Linda Onn di Jalan Bukit Bintang bersama Bilal, Kitang, Man Troq dan saya. Kemudian sessi teh tarik tersebut di sambung semula di sebuah gerai mamak berhampiran Coronete Hotel dengan di sertai pula oleh Padil Othman DIB dan Kudin Mekanik.

Padil Othman DIB kini bertugas di Wisma Putra (Kementerian Luar Negeri), Putrajaya dan beliau memberitahu sebelum ini pernah bertugas di Fiji dan New York. Semasa di New York beliau sempat berkunjung ke rumah Amir di Detroit dalam perjalanan yang mengambil masa selama 15 jam. Padil juga memberitahu beliau adalah satu batch dengan Mizi Songkhla semasa memasuki kerja dalam perkhidmatan kerajaan. Beliau kini sedang menunggu giliran untuk bertugas di luar negeri semula tetapi masih tidak mengetahui negara mana lagi. (Gambar-gambar di link Gambar Blog)

SK juga telah membuat link-link blog kengkawan kita yang lain seperti link Dona ( PioneersITM Pahang) dan Blog Slambe Jr (Jom Pancing Sokmo). Link-link tersebut boleh di dapati berdekatan link Gambar Blog jadi anda cuma klik kanan pada mouse dan open new window untuk mengikuti blog-blog tersebut.

paDiL sUToK teRJah sUHaiMi diB


Semalam Padil Sutok DBS menghantar sms kepada saya memberitahu beliau sedang berada di Pejabat Kementerian Pertahanan bersama Suhaimi @ Abg Mie DIB yang bekerja disana. Namun begitu Padil tidak pula menceritakan apa-apa berkaitan Abg Mie dalam sms beliau. Harap Padil Sutok dapat memberikan sedikit latarbelakang Abg Mie yang bekerja di Mindef sekarang dalam ruangan komen yer.

Monday, January 15, 2007

baLiK tEMeRLoh




Sabtu dan Ahad saya sekeluarga ada kat Temerloh. Keadaan cuaca di Temerloh yang mendung dengan di selang seli hujan renyai-renyai tanpa ada kelibat matahari membuatkan saya berasakan seolah-olah berada di England. Sungai Pahang kelihatan besar airnya tetapi malangnya saya tidak dapat merakamkan gambar kerana hujan lebat ketika itu. Sempat berkunjung ke Butik AVON Kitang di Mentakab dan makan tengahari bersama-sama. Malamnya saya bertemu pula dengan Raman Shakri @ Kerbau di benteng tepi Sungai Pahang sambil pekena Satay Hj Yunus (bapak saudara Cigak DIA) dan mee goreng basah Restoran Abu Rokiah. Sebelum tu saya sempat juga menolong ayah saya di Kedai No1, Pasar Besar Temerloh yang penuh dengan orang ramai untuk membeli makanan serta sayur-sayuran kampung yang banyak terdapat disitu.

Semalam sebelum balik ke KL, seperti biasa ayah saya memang tahu kegemaran saya ikan patin asam pedas tempoyak dan semalam ada satu sambal istimewa yang lama dah saya tak rasa iaitu sambal buah bachang....perghh. Buah-buahan seperti rambutan juga banyak boleh didapati di Temerloh. Kebun ayah saya di Kg Bukit Kelulut memang penuh dengan rambutan tetapi keadaan cuaca hujan membuatkan keadaan sukar sedikit.

Masa menempuh pekan Temerloh untuk balik ke KL, saya sempat merakamkan gambar Sekolah Menengah Abu Bakar dimana sekolah saya dahulu yang mempunyai banyak nostalgia dan kenangan. Sekolah yang turut menempatkan Allahyarham Sudirman(senior saya) dan junior-junior saya seperti Kitang, Lily(isteri Kitang), Noranita Md Yusof (Junior DSS), Juliza Adlizan, Amy Rosnaida dan lain-lain lagi. Sebab tu budak-budak ABS pandai menyanyi..kalau kat karaoke champiano....hehehe. Tu sebab juga saya pasangkan lagu Unwanted - Masih Ada Rindu sebab teringat banyak nostalgia lama bila melalui pekan Temerloh...betul tak Kitang dan Lily?

keDai kiTaNG di mENtaKaB




Sabtu lepas di Temerloh, saya sekeluarga sempat berkunjung ke kedai Kitang iaitu Kedai AVON yang terletak berhampiran pasaraya The Store di bandar Mentakab. Lokasi kedai Kitang yang terletak di kawasan strategik di tengah-tengah pekan Mentakab sememangnya begitu sesuai dengan perniagaan stokis AVON yang dijalankan oleh Kitang dan isterinya Lily. Menurut Lily, isteri Kitang, perniagaan ini telah dimulakan oleh Kitang sendiri yang mendapat idea semasa bertugas di Mayban Finance Kota Tinggi sekitar tahun 2001 dahulu. Akhirnya terdirilah kedai stokis AVON seperti yang dapat kita lihat seperti gambar diatas. Khabarnya Kitang mungkin akan menumpukan sepenuh masa terhadap perniagaan AVON ini sementara isterinya akan memulakan perniagaan baru. Semoga Kitang sekeluarga akan beroleh kejayaan hendaknya.

Selepas berkunjung ke kedai Kitang, kami 2 keluarga iaitu keluarga saya dan keluarga Kitang sempat pula menjamu selera di sebuah Restoran yang berhampiran makan nasi berlaukkan Ikan Patin Masak Tempoyak, Ikan Kembung Bakar cicah air asam serta sayur-sayuran dan ulam-ulaman kampung... perghhh...kesian kat Amir, Piyang, Fezah dan Mizi. Sebelum balik juga Lily sempat membekalkan kami dengan beberapa barangan AVON. Thanks Kitang n Lily sekeluarga.

Saturday, January 13, 2007

sABtu dAN aHaD di tEMeRLoH



(sebelah gambar kuih Lompat Tikam dan Cendol di Pasar Temerloh)
Hari ini dan esok saya akan berada di Temerloh dan mungkin jika berkesempatan sessi terjah akan dilakukan lagi. Walaubagaimanapun semuanya terpulang kepada keadaan kerana biasanya kalau saya sekeluarga balik ke Temerloh memang setiap masa terluang ada acara, menziarahi nenek, menziarahi kubur dan lain-lain lagi insyaallah. Mungkin juga akan ke Pekan Sehari Temerloh dan yang pasti hari ini sehingga tengahari akan berada di Kedai No 1 Pasar Temerloh iaitu di kedai ayah saya tolong jual barang-barang sebab hari Sabtu memang Pasar Temerloh macam pasar, ialah pasar kan sentiasa sibuk dan ramai orang. Yang pasti kat Pasar Temerloh sebelah pagi ada jual kuih Lompat Tikam, Satay, Nasi Himpit, Keropok Lekor Goreng dan macam-macam lagi. Esok kat Pekan Sehari Temerloh kat tepi sungai tu lagi meriah, nak makan apa saja, kuih taik minyak, lepat, tapai ubi, tapai pulut hitam, laksam, laksa..perghh memang terliurlah Piyang di NZ, Mizi di Songkhla, Fezah dan Amir di Michigang ( sebutan Kudeng DSS). Internet access memang takde kat rumah ayah saya di Kg Tanjung Besar, Paya Pulai tu, sebab line telefon rumah pun takde kat situ, almaklumlah perkampungan orang-orang PAS, lambatlah sikit kerajaan nak bantu..so maybe Ahad malam untuk siaran Isnin nanti barulah blog ini akan diupdatekan, insyaallah.

Friday, January 12, 2007

biNGkiSan daRi jOe maLaDy


Joe Malady yang baru menerima cahayamata ke 2 baru-baru ini ada hantar gambar baby barunya tu. Nama anak Joe yang ke 2 ini ialah UMAR, pendek tapi penuh makna. Joe juga ada beritahu saya Sarip DPA sudah berpindah bermastautin di Kelantan sekarang ni. So saya pun sms kat Sarip malam semalam dan Sarip comfirm kata dia sudah berpindah ke Kelantan sekeluarga. Sebab-sebab berpindah tak pulak di nyatakan kepada saya walaupun saya bertanya kepadanya.

keLUaRgA faTOnaH


Semasa acara makan-makan di rumah Shema dan Jepun baru-baru ini kerana meraikan Fatonah yang kini bekerja di Arab Saudi sempat saya ambil gambar sekeluarga. Fatonah kini bekerja sebagai Jururawat di Arab Saudi dan beberapa negara Timur Tengah yang lain seperti Mesir dan Jordan. Suami dan 4 orang anak-anaknya kini menetap di Kelang. Fatonah mempunyai 4 orang anak yang mana anak yang sulong kini berada di Tingkatan 2. Semoga Fatonah memperolehi kebahgiaan dan kesejahteraan sekeluarga sentiasa.

Thursday, January 11, 2007

paSUkaN piLiHan aNDa di EpL




Malam semalam selepas balik bertemu Antu dan kawan-kawan di Suzy Corner saya sempat menonton secara langsung perlawanan antara Arsenal dan Liverpool di Channel 82 Astro pada jam 5-00 pagi. Perlawanan berkesudahan Arsenal membelasah Liverpool 6-3. Pasukan-pasukan di Liga Perdana Inggeris ini memang mempunyai ramai peminatnya disini. Diantara kawan-kawan kita disini juga mempunyai pasukan-pasukan pilihan masing-masing. Kla-Kla dan Che Dat yang saya tahu adalah peminat Manchester United sementara Bob MG adalah peminat setia pasukan Liverpool.

Pasukan pilihan saya adalah Arsenal. Saya meminati pasukan Arsenal semenjak tahun 2000. Baru lagi sebenarnya. Sebelum ini saya amat meminati pasukan Manchester United. Seingatan saya MU sudah menjadi pilihan saya sejak dari kecil lagi pada tahun 1970an semasa zaman Gordon McQueen, Joe Jordan dan Sammy McIIroy lagi. Masa tu siap kumpul duit belanja sekolah untuk beli majalah Shoot ( majalah dari England) berharga lebih kurang RM3-50 sekitar akhir tahun 1970an. Kalau di TV pulak masa tu kita boleh tengok Liga Inggeris dalam rancangan Star Soccer yang disiarkan pada petang Sabtu setiap minggu.

Walaubagaimanapun minat saya kepada MU berakhir bila bermulanya New Millenium selepas zaman Captain Marvel Bryan Robson dan saya mula meminati pasukan Arsenal atau The Gunners. Saya meminati stail pengurusan Arsene Wengers yang bermula dengan Japanese Grampus dengan membawa pemain-pemain muda yang tidak berharga mahal tetapi mempunyai kualiti yang tersembunyi. Pemain-pemain yang telah dibentuk seperti Patrick Viera, Nicholas Anelka, Thiery Henry telah menjadi super player dari hanya sebagai pemain-pemain simpanan sahaja sebelum ini. Dengan kehadiran pemain-pemain muda berumur antara 16-21 tahun yang membarisi pasukan utama Arsenal sekarang seperti Chec Fabregas, Sanderos, Hleb, Rosicky, Flamini, Robbie Van Persie, Adebayor, Theo Walcott dan lain-lain lagi saya percaya Arsenal akan menjadi super team dalam masa 5 tahun lagi. Kebanyakan pemain-pemainnya hanya berumur 16-21 tahun sahaja dan tengah membentuk karier dan belum mencapai puncak lagi. Pemain yang berumur dalam pasukan utama Arsenal hanyalah Jens Lehman, Thiery Henry dan Kaolo Toure sahaja. (Lundberg sedang dalam proses penjualan kepada West Ham kerana dah tua). So, nantikan pasukan pilihan saya Arsenal The Gunners n The Winners.

Apa pula pasukan EPL pilihan anda?

wiFe biLaL oPeRate di IjN

Malam semalam saya sms kepada Bilal bertanyakan khabar beliau. Sebelum ini beliau ada memberitahu saya bahawa isterinya Rohani akan menjalani pembedahan di IJN pada bulan Januari 2007 ini. Bilal memberitahu saya bahawa isterinya akan menjalani pembedahan jantung di IJN pada 18hb Januari 2007 pada jam 9-00 pagi. Isterinya mengalami masalah saraf jantung yang dikesan semasa melahirkan anak ke 5 dahulu. Saya mendoakan agar Rohani, isteri Bilal akan selamat menajalani pembedahan itu nanti dan semoga Bilal sekeluarga akan tabah dalam menghadapi pembedahan tersebut. Jika berpeluang nanti bolehlah kita semua mengunjungi Bilal sekeluarga di IJN pada 18hb Januari 2007.

Wednesday, January 10, 2007

HaPPy biRthDaY KaK nOOr

11 January (21 Zulhijjah 1427), a friend of mine (my dearest Kak Noor) celebrates her birthday. Thinking about Kak Noor on her special day SK would like to wish Kak Noor a life filled with happiness, good health, wealth and great success. May your day be filled with love and everything that makes you happy. Have a wonderful Birthday! May Allah swt bless you always...

Luv U sis mmuaach!






posted by SK

Tuesday, January 09, 2007

meLaWat beNGkeL kuDiN

Petang semalam saya sempat singgah kat Bengkel Kudin di Selayang. Check lampu brek Volvo saya yang tidak berfungsi di samping menukar minyak hitam dan oil filter. Sempat ngeteh kat Kedai Mamak Barakath di Jalan Ulu Yam sambil Kudin bercerita pertemuan beliau dengan Antu dan Niazor di Jerantut pada hari raya AidilAdha yang lalu.

Semenjak tersiarnya artikel Kudin Mekanik di blog ini, Kudin memberitahu saya ramai jugak kawan-kawan yang menghantar kereta untuk di baiki oleh beliau. Saya lihat di Workshop Kudin pun ada kereta kawan-kawan seperti kereta Syed Hamid dan kereta Padil Othman DIB yang masih tersadai di sana. Katanya lagi Apek, Kitang, Khatilah DSS ada menghantar kereta kepadanya samada untuk di servis atau di baiki. Kudin juga beritahu kawan-kawan kita pun ada yang memintanya mencari kereta untuk di beli seperti Niazor, Antu dan Jepun serta Syed Hamid.

Monday, January 08, 2007

raCe keREta




Bila singgah kat bengkel Kudin selalu saya teringat masa muda-muda dulu sekitar tahun 1992-1996 kerap race kereta dengan Kudin ni. Masa tu Kudin kerja Remisier kat Lion Securities di Kelang. Selalunya saya, Kudin dan Padil Sutok selalu lepak-lepak sambil repair kereta kat Bengkel Wahab depan Rumah Pak Ali kat Gombak. Bengkel Wahab ni memang famous pasal repair kereta-kereta untuk budak-budak racing. Selalu jugaklah ikut Kudin race kereta kat area-area Pasar Borong Selayang, Batu 3 Shah Alam masa muda-muda dulu. Bila fikir-fikir balik memang bahaya betul masa tu tapi tengah muda-muda macam tu mana ada fikir semua tu.

Tapi paling saya tak lupa sekali saya pernah race dengan member-member kat MRR2. Dari Summit Subang kami pecut 4 biji kereta, saya dengan volvo saya, sebijik BMW 525i (double vanos), sebijik Merc C200 Kompressor dan sebijik Lexus RX300, siapa dapat punch dulu Smart Tag kat Tol MRR2 Puchong. Lexus RX300 tu walaupun 3000 cc tapi tak bimbang sebab meter dia sampai 180km dah cut-off. Saya ingat masa tu bawak dalam 180-220km sejam. Giler. Tapi nak tahu apa, tiga-tiga bijik kereta sampai sama kat depan tol, saya, bmw dan merc. Tapi bukan nak action...hehehe...saya dapat punch dulu smart tag tu.....saya rempuh Smart Tag tu dengan kelajuan 100km sejam dan palang Smart Tag tu betul-betul terbuka dengan beberapa inci saja dari cermin depan kereta saya....fuhhh...legaaa..terus kami berhenti minum kat area Carefour Seri Petaling. (Kepada penonton2 di rumah jangan tiru aksi ngeri tersebut dan aku pun tak mahu dah cuba buat lagi beb)

Sunday, January 07, 2007

maKaN-maKaN mERaiKaN faTOnaH di RumaH jEPun




Semalam telah diadakan acara makan-makan yang telah di hostkan oleh Jepun dan Shema sekeluarga di rumah mereka di Seksyen 4, Shah Alam. Acara tersebut bagi meraikan Fatonah DBS yang bekerja di Arab Saudi yang sedang bercuti di Malaysia sebelum berangkat semula ke Arab Saudi pada 16hb Januari 2007 ini.

Acara yang telah bermula pada pukol 4-00 petang semalam telah dihadiri oleh Kudeng DSS sekeluarga, Padil DBS, Mat Dwan dan anak sulongnya, Lan Kentei sekeluarga, Mat Rock sekeluarga dan Charlie Koi sekeluarga. Shema telah menyediakan makanan seperti spaghetti dan laksa di samping beberapa kuih-muih untuk kengkawan semua pada petang semalam.

Saya nak cerita lebih lanjut tentang kemeriahan acara rasanya tidak perlu dihuraikan dengan terperinci di sini. Mana-mana kengkawan yang pernah pergi acara-acara yang telah beberapa kali di adakan sebelum ini seperti di rumah Walid, rumah Lan Kentei dan pregathering mesti tahu keseronokan berjumpa kawan-kawan lama dan bercerita serta bertanya khabar. Memang meriah sangat-sangat. Tak tergambar dek kata-kata lah. Pendek kata kalau terpaksa drive sejauh 300km atau terbang dari Kota Kinabalu semata-mata kerana nak menghadiri perjumpaan dengan kawan-kawan sebegini, memang berbaloi sangat-sangat.

Peluang berjumpa Fatonah sekeluarga, Mat Rock yang pertama kali membawa keluarganya serta berjumpa dengan Hafaz Charlie Koi dan keluarga menjadi suatu excitement yang sukar digambarkan. Setelah gelas pun dah pecah sebab anak-anak mengantuk mata dah layu, semua mencari serpihan gelas pecah atas carpet dan mevacum carpet, blackout sekejap sebagai tanda-tanda suroh balik sebab dah lama sangat maka acara yang bermula pada pukol 4-00 petang semalam telah berakhir pada jam 12-00 tengahmalam dan itupun setelah anak dan isteri semua dah pakat-pakat jeling semacam jer. Akhir kata terima kasih kepada Jepun dan Shema yang telah bersusah payah menyediakan juadah dan menghoskan acara makan-makan yang begitu meriah semalam. ( Gambar-gambar di link Gambar Blog)